Mengetahui yang anda sedang hamil merupakan satu perasaan yang mengujakan, walaupun perjalanan ini datang dengan pelbagai cabaran, terutamanya melibatkan pengurusan kerjaya anda.
Mencari keseimbangan antara kerjaya dan kehamilan akan melibatkan beberapa perkara, termasuklah peringatan di tempat kerja, menguruskan tanda-tanda kehamilan dan memahami hak anda berkaitan cuti bersalin. Namun, dengan perancangan yang teliti, anda boleh melalui tempoh ini dengan baik. Berikut beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
Pertama, pastikan tempat kerja yang selesa semasa kehamilan. Ergonomik ialah satu aspek yang penting, dan ini mungkin memerlukan perubahan di tempat kerja bagi memastikan keselesaan anda. Dapatkan kerusi yang sesuai, letakkan kaki di aras lebih tinggi dan kekalkan postur yang baik untuk mengurangkan tekanan pada tubuh anda.
Rehat yang kerap juga penting, terutamanya jika kerja anda memerlukan anda duduk atau berdiri untuk tempoh yang lama. Rehat membolehkan anda meregangkan dan menggerakkan tubuh, lalu memperbaiki aliran darah dan mengurangkan ketidakselesaan. Ingat, sentiasa minum air dan kekalkan diet seimbang kerana ini juga aspek penjagaan diri yang penting semasa mengandung.
Satu lagi kunci bagi memudahkan kehamilan adalah dengan menguruskan tanda-tanda kehamilan yang biasa seperti loya dan tekanan. Loya boleh diatasi dengan mengambil snek sihat, ringan dan mudah dihadam seperti biskut atau kacang. Teh halia atau pudina serta gula-gula getah juga boleh mengurangkan loya. Semasa trimester kedua dan ketiga, stokin mampatan boleh melancarkan aliran darah dan melegakan kaki yang letih serta bengkak di penghujung hari.
Selain itu, pastikan persekitaran yang segar dengan saliran udara yang baik bagi mengurangkan rasa loya. Tekanan boleh diuruskan secara berkesan dengan senaman pernafasan dan, apabila perlu, mengagihkan tugasan kurang penting kepada rakan sekerja lain.
Memaklumkan majikan tentang kehamilan anda pada masa yang sesuai juga penting, biasanya semasa trimester kedua apabila anda sudah membiasakan diri dengan kehamilan. Pastikan anda tahu dasar syarikat berkaitan cuti bersalin, serta manfaat dan sokongan tempat kerja untuk ibu mengandung agar anda boleh memastikan hak anda dipenuhi.
Di Malaysia, pekerja wanita berhak mendapat cuti bersalin berbayar selama 98 hari menurut Akta Kerja (Pindaan) 2022. Pekerja boleh memilih untuk bekerja sehingga hari bersalin atau memulakan cuti bersalin 30 hari sebelum tarikh bersalin yang dijangka (dengan surat sokongan doktor yang mengesahkan tarikh jangkaan). Setelah memaklumkan majikan, anda boleh merancang bila anda akan mula bercuti.
Masukkan unsur yang menyeronokkan dalam perjalanan kehamilan anda untuk menikmati masa istimewa ini. Rakam kehamilan anda melalui jurnal atau gambar kehamilan mingguan untuk menjejak perkembangan anda dan menyimpan kenangan indah. Terima perubahan tubuh anda dan dapatkan pakaian kehamilan dan kasut yang bagus yang boleh membuatkan anda rasa selesa di tempat kerja. Sambutan kehamilan di pejabat dan sesi santai, seperti hari spa prahamil atau senaman ringan yang sesuai, juga boleh menambah kegembiraan semasa tempoh perubahan ini.
Mengimbangi kehamilan dan kerjaya sememangnya satu perkara yang sukar. Dengan memahami hak anda, memupuk komunikasi berkesan di tempat kerja dan mengutamakan penjagaan diri, anda boleh melalui perjalanan ini dengan senang hati. Setiap hari yang berlalu makin mendekatkan anda dengan hari pertemuan anda dan si kecil, lalu menjadikan tempoh ini benar-benar berharga walaupun dikelilingi kesibukan kerja.