Pengasuhan Positif

Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Kanak-kanak Warga Digital

Dengan teknologi yang semakin pintar dengan jaringan yang lebih baik, tidak syak lagi bahawa kita kini benar-benar berada di zaman digital, dan anak-anak kita sememangnya “digital native”.

Diilhamkan oleh penulis Amerika Syarikat, Marc Prensky, pada 2001, terma digital native” atau warga kelahiran digital merujuk kepada generasi yang membesar ketika era teknologi digital sudah sedia ada, dan mereka selesa menggunakan komputer sejak kecil serta menganggap teknologi sebahagian besar daripada hidup. Ramai remaja dan kanak-kanak mahir berkomunikasi dan belajar melalui komputer, media sosial, dan hantaran teks.

Namun, walaupun teknologi menawarkan banyak peluang kepada warga digital ini, ia juga mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko. Kebergantungan golongan muda pada teknologi digital mencetuskan kerisauan jika teknologi dan media sosial ini boleh memburukkan lagi kemurungan dan keresahan, mengganggu corak tidur, serta membawa kepada masalah seperti buli siber dan gangguan imej tubuh.

Maka, ibu bapa perlu sentiasa belajar dan mengambil tahu tentang kajian dan teknologi terkini agar mereka boleh mengambil pendekatan yang boleh mengurangkan risiko tanpa menyekat peluang yang ditawarkan oleh teknologi digital dan media sosial kepada kanak-kanak.

Bila perlu bermula?

Anda mungkin menganggap bahawa hidup di dunia digital tidak memberi kesan besar ke atas kesihatan mental anak-anak kecil. Tapi itu tidak tepat. Kanak-kanak kini meluangkan lebih banyak masa dalam persekitaran digital berbanding sebelum ini, malah pada umur yang lebih muda.

Tidak aneh untuk kita lihat kanak-kanak kecil yang ‘melekat’ pada telefon, tablet atau skrin komputer pada hari ini. Malah, kajian menunjukkan pengalaman pertama kanak-kanak menggunakan teknologi digital sering bermula sebelum mereka berumur dua tahun, biasanya semasa mereka masih belum boleh berjalan atau bercakap!

Menurut pakar psikologi tingkah laku, Alexius Cheang, “Penting untuk kita faham bahawa kajian telah menunjukkan hubung kait antara masa skrin berlebihan dan kesan negatif ke atas perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak, lalu menyebabkan obesiti, masalah kelakuan, keresahan serta kemurungan.”

“Contohnya, meluangkan terlalu banyak masa dengan peranti membuatkan kanak-kanak tidak mendapat tempoh tidur yang disarankan setiap malam, lalu memberi kesan negatif ke atas perkembangan fizikal serta prestasi akademik mereka, terutamanya apabila ia memakan masa yang sepatutnya digunakan untuk kerja sekolah,” tambah beliau lagi.

Oleh itu, bilakah masa yang sesuai untuk memperkenalkan anak anda pada teknologi digital? Sesetengah pakar mencadangkan tiada masa skrin sepatutnya diberi kepada kanak-kanak bawah dua tahun. Kanak-kanak berumur antara dua dan lima tahun pula seharusnya mendapat tidak lebih daripada sejam sehari masa skrin dan bagi kanak-kanak sekolah, tidak lebih daripada dua jam sehari, tidak termasuk kerja sekolah.

Selain daripada masa skrin, ibu bapa juga perlu mempertimbangkan kandungan digital yang diberi. “Bagi kanak-kanak antara dua dan lima tahun, mereka perlu diberikan kandungan berkualiti tinggi. Ini tidak bermakna anda boleh meninggalkan peranti digital kepada anak anda begitu sahaja. Perlu ada pengawasan melalui tontonan bersama,” kata Cheang.

“Melalui penggunaan teknologi yang terkawal dan cermat, ibu bapa dan guru boleh menggilap kemahiran penting dalam kanak-kanak, seperti pernyataan kendiri dan pemikiran berkomputer, yang akan mencetuskan rasa ingin tahu dan menggalakkan kejayaan dalam bidang akademik di masa depan,” jelasnya lagi.

Namun begitu, walaupun ibu bapa boleh memanfaatkan teknologi digital untuk menghiburkan dan mendidik anak mereka, terdapat kebimbangan yang kanak-kanak mungkin terdedah pada kandungan yang tidak sesuai. Adakah anda mengawasi anak anda apabila mereka melayari internet? Adakah anda menggunakan tetapan kawalan pengasuhan di peranti?

Bilakah ia berlebihan?

Sebagai ibu bapa, adakah anda sedar berapa lama anak anda menggunakan peranti dalam sehari?

Data daripada kajian Institut Kesihatan Kebangsaan yang bermula pada 2018 di Amerika Syarikat menunjukkan kanak-kanak yang meluangkan lebih daripada dua jam masa skrin sehari mendapat markah lebih rendah dalam ujian bahasa dan berfikir, dan sesetengah kanak-kanak dengan lebih tujuh jam masa skrin sehari mengalami penipisan korteks otak, iaitu bahagian otak yang berkait dengan pemikiran kritis dan pertimbangan.

“Banyak kajian yang telah menunjukkan bagaimana kanak-kanak cenderung mempunyai tempoh tumpuan lebih rendah, hingga ke tahap defisit tumpuan, apabila mereka terdedah kepada banyak rangsangan pada masa yang sama ketika masa skrin. Ini melazimkan mereka untuk mengalih perhatian dengan pantas antara aktiviti berbeza,” kata Prof Dr Alvin Ng. “Otak mereka mungkin ‘terbeban’, lalu menyebabkan masalah pembelajaran, kesukaran sosial dan kelesuan kognitif, yang membawa kepada masalah emosi.”

Prof Ng berkongsi lagi bahawa kemajuan teknologi yang pesat meluaskan lagi akses kepada peranti digital, lalu meningkatkan kerisauan tentang kesan psikologi akibat masa skrin berpanjangan, terutamanya dalam kanak-kanak dan remaja.

“Zaman kanak-kanak dan remaja merupakah tempoh yang sensitif kerana sistem neurobiologi sedang berkembang, lalu menjadikan mereka lebih rentan. Masa skrin berlebihan boleh mencuri masa yang sepatutnya digunakan untuk kegiatan penting seperti aktiviti fizikal, tidur yang mencukupi, interaksi sosial dan aktiviti akademik.”

Kata pakar psikologi klinikal tersebut, “Jika kanak-kanak kecil menghabiskan kebanyakan masa bermain dengan peranti seperti tablet dan telefon – dan ini jelas dilihat di sekeliling kita – pasti sukar untuk kita menggalakkan mereka menceburi aktiviti lain seperti meneroka alam sekitar dan bermain dengan kanak-kanak lain bagi mengembangkan kemahiran sosial.”

Prof Ng merupakan penyokong tegar bagi “masa hijau” berbanding masa skrin. “Masa hijau” bermaksud masa yang diluangkan dalam persekitaran semulajadi seperti taman-taman, di mana kanak-kanak boleh bermain di atas rumput dan tanah, serta menikmati sinar mentari.

Masalah yang kerap

“Peranti digital juga boleh menyebabkan beberapa masalah fisiologi. Antaranya ialah “text neck syndrom” akibat postur tidak betul yang berpanjangan ketika membaca mesej atau menggunakan telefon bimbit. Penyalahgunaan fon telinga (earphone) juga boleh mengakibatkan kerosakan pada pendengaran anak anda. Selain itu, terlalu banyak meluangkan masa menggunakan peranti boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti kekurangan tidur, masalah penglihatan atau pendengaran, kerosakan otot, dan lain-lain. Ini semua menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak,” kata Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Program Pengasuhan Positif.

Terdapat juga masalah sosial melibatkan media sosial. “Media sosial ialah sebahagian daripada kehidupan harian bagi lebih 4.6 bilion manusia di seluruh dunia. Dan dengan media sosial, belia terdedah kepada pelbagai kandungan seperti berita palsu, seks, keganasan dan kandungan bahaya, yang boleh membawa kepada keresahan, masalah imej tubuh, kemurungan, bunuh diri dan masalah mental lain,” tambah pakar pediatrik dan kardiologi pediatrik tersebut.

“Ibu bapa juga patut peka dengan masalah ketagihan seperti ketagihan media sosial, permainan video, pornografi, judi dan peranti, kerana isu-isu ini makin meluas. Tambahan lagi, anda perlu sedar tentang isu-isu seperti keselamatan dalam talian dan pencerobohan privasi, mesej seksual, pemangsa seks, penipuan dan sebagainya. Teknologi sentiasa berubah, lalu menyukarkan pihak berkuasa untuk mengawalnya, apatah lagi ibu bapa!”

Kebimbangan ibu bapa

Ibu bapa sering risau tentang anak-anak mereka, tapi mereka bukan warga kelahiran digital, jadi kadangkala mereka mungkin sedikit ketinggalan berbanding anak mereka dalam hal-hal digital dan teknologi.

“Para pengkaji telah mengkelaskan pelbagai risiko yang ditemui dalam talian kepada tiga kategori: kandungan (content), hubungan (contact) dan kelakuan (conduct). Ibu bapa perlu menyedari risiko ini agar mereka boleh memantau tanda-tanda anak mereka berada dalam bahaya,” kata Dr Zulkifli.

Risiko kandungan ialah apabila kanak-kanak terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai, seperti imej ganas dan pornografi, atau kandungan yang menggalakkan kelakuan berbahaya seperti mencederakan diri atau bunuh diri.

Risiko hubungan ialah apabila kanak-kanak berkawan atau berkomunikasi dengan orang tidak dikenali dalam talian hingga boleh membawa kepada kelakuan berisiko. Contohnya, mungkin ada orang dewasa yang mendekati kanak-kanak untuk tujuan seksual.

Risiko kelakuan ialah apabila kanak-kanak berkelakuan tidak elok dalam talian, contohnya dengan membuli atau menulis perkara buruk tentang orang lain atau menyebarkan imej seksual orang lain atau diri sendiri.

Menyokong warga digital

Jika digunakan dengan betul, teknologi digital boleh jadi bermanfaat untuk kanak-kanak dengan memberikan mereka peluang dan menyediakan kemahiran yang mereka perlukan untuk berjaya di dunia digital. Oleh itu, penting untuk ibu bapa berfikiran terbuka dan tidak terus menganggap teknologi digital sebagai ancaman. Jadi bagaimana ibu bapa boleh menyokong anak mereka?

Sikap ini mungkin berbeza dalam setiap budaya, tapi biasanya kanak-kanak akan berkongsi dengan rakan-rakan dahulu apabila berhadapan dengan risiko dan bahaya dalam talian. Ini menyukarkan ibu bapa untuk melindungi anak mereka.

“Maka, anda perlu sentiasa mengamalkan komunikasi terbuka di rumah, agar anak anda terbiasa untuk membincangkan dengan keluarga apa yang mereka lihat atau buat dalam talian. Ini boleh dimulakan dengan menggunakan waktu makan malam untuk berbual tentang aktiviti harian, termasuklah apa yang dibuat dalam talian dan berapa banyak masa dihabiskan dengan peranti,” kata Dr Zulkifli.

Prof Ng bersetuju dan berkata ibu bapa dan kanak-kanak perlu mempunyai saluran komunikasi terbuka dan ruang selamat untuk berkongsi dan membincangkan trend dan perkembangan terkini tanpa prejudis. “Selain itu, ibu bapa juga perlu sedar berapa kerap mereka sendiri menggunakan peranti. Kita juga perlu mengawasi tingkah laku kita dan menjadi contoh terbaik.”

Selain itu, teknologi digital juga menyediakan aplikasi kesejahteraan, serta akses lebih mudah untuk mendapatkan maklumat, kumpulan sokongan dan video bantu diri, yang memudahkan kanak-kanak dan belia untuk mendapatkan bantuan apabila perlu. Komuniti dalam talian juga menjadi jalan bagi golongan muda untuk belajar tentang kesihatan mental. Malah, kini terdapat juga sesi rawatan dan rundingan jarak jauh.

Namun, Cheang mengingatkan bahawa ibu bapa perlu menasihatkan anak-anak untuk memilih platform yang betul. “Laman web dan aplikasi perlu diperiksa ketepatan maklumatnya. Pilih laman web yang memberikan rujukan, dan sentiasa periksa sumber dan bandingkan penemuan anda,” nasihatnya.

Sebagai ibu bapa, anda juga boleh memanfaatkan ciri kawalan pengasuhan, serta aplikasi dan ciri pemantauan di telefon atau komputer anak anda agar mereka kekal selamat dan menggalakkan gaya hidup yang seimbang. “Dengan aplikasi pemantauan, anda boleh memahami corak penggunaan mereka dan kemudian mengadakan perbincangan berdasarkan panduan yang disarankan,” kata Cheang.

Keluarga boleh memberi sokongan dengan mengadakan aktiviti masa skrin atau tontonan bersama-sama. Tontonan bersama (co-viewing) mendatangkan pelbagai kesan positif, seperti menyokong kemahiran literasi awal, menggalakkan empati, dan mengawal sikap agresif selepas terdedah kepada kandungan ganas.

“Anda juga boleh bermain permainan dalam talian bersama. Dengan ini, ibu bapa boleh memahami apa yang menarik minat anak-anak, serta menggunakan bahasa yang sama dengan mereka selepas mempelajari kosa kata yang mereka gunakan dalam permainan tersebut,” kata Cheang.

Beliau menambah bahawa ibu bapa juga boleh mengikuti atau berkawan dengan anak mereka di Facebook, Instagram dan TikTok. “Kanak-kanak akan lebih berhati-hati tentang apa yang mereka kongsi dalam talian jika mereka tahu ibu bapa mereka juga akan melihatnya,” kata Cheang.

Akhir sekali, galakkan aktiviti di luar rumah agar anak anda mendapat masa hijau, senaman dan pergaulan yang secukupnya. “Pastikan aktiviti ini tertumpu pada kanak-kanak. Ini bermakna, aktiviti ini seharusnya sesuatu yang mereka mahu lakukan, contohnya, meluncur ais, bermain di taman atau melawat zoo, dan bukan apa yang anda mahu lakukan semata-mata,” terang Cheang lagi.

Membesarkan anak pada hari ini jauh berbeza daripada cara anda dibesarkan oleh ibu bapa anda. Namun, kita tidak boleh lari daripada dunia digital. Maka, keseimbangan antara hidup digital dan hidup sebenar adalah amat diperlukan.

Jika ibu bapa berusaha untuk mengambil tahu maklumat terkini, serta meluangkan masa untuk memantau, mendidik dan berhubung dengan anak-anak, mereka pasti boleh mencegah bahaya, memupuk kesihatan mental dan kesejahteraan anak-anak, serta memanfaatkan peluang yang diberi oleh teknologi digital kepada anak-anak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen