Pengasuhan Positif

Kisah Pesakit Pertusis

329 kes pertusis dan 23 kematian telah dilaporkan di Malaysia pada tahun ini sejak Januari hingga 19 Ogos. Yang merisaukan, terdapat 189 kes melibatkan bayi berumur bawah 12 bulan, menjadikan kumpulan ini yang paling ramai terkesan. Nombor-nombor ini menunjukkan terdapat masalah yang meruncing, tapi bagaimana pula dengan pengalaman sebenar para pesakit ini?

Dijangkiti pertusis

Tiga minggu selepas melahirkan anak keduanya, Sofea mula batuk-batuk dan bersin, tapi gejalanya hanya ringan dan sementara. Namun, apabila gejalanya jadi makin kerap, dia risau penyakitnya akan merebak kepada bayinya, lalu pergi berjumpa doktor. Sofea pernah menghidap asma, jadi doktor mengesyaki yang penyakit asmanya datang kembali. Sofea kemudian diberikan ubat antibiotik dan dirawat untuk asma.

Namun begitu, batuk Sofea makin teruk pada hari-hari seterusnya, ditambah pula dengan muntah-muntah. Kadangkala, bunyi “whoop” kedengaran apabila dia mengambil nafas semasa diserang batuk. Sofea pergi ke beberapa klinik lain untuk mengetahui masalah sebenarnya, tapi dia diberitahu yang ia cuma batuk biasa yang akan sembuh tak lama lagi atau mungkin keracunan makanan.

Kerisauan terbesar Sofea akhirnya menjadi kenyataan apabila bayinya juga mula batuk dan muntah. Dia segera membawa bayinya berjumpa doktor, tapi diberitahu yang ia juga batuk yang biasa. Bayinya diberi ubat antibiotik, tapi batuknya makin teruk dan kerap. Dalam beberapa hari kemudian, bayi Sofea asyik batuk dan tercungap-cungap setiap beberapa minit. Batuk Sofea juga makin parah dan dia jadi sukar bernafas kerana pernah menghidap asma.

Malangnya, Sofea dan bayinya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana keadaan mereka amat teruk. Doktor yang merawat mereka terus mengesyaki yang mereka berdua telah dijangkiti pertusis, yang juga dikenali sebagai batuk kokol. Sampel mukus dihantar untuk ujian, dan kemudiannya mengesahkan diagnosis tersebut. Sofea dan bayinya kemudian dirawat dengan ubatan dan antibiotik yang sesuai bagi jangkitan pernafasan yang berpunca daripada bakteria Bordetella pertussis.

Mereka berdua dibenarkan keluar hospital selepas beberapa hari. Mujurlah kedua-dua ibu dan bayi tidak mengalami komplikasi yang teruk. Namun, Sofea masih ingat betapa risaunya dia apabila melihat bayinya batuk dengan amat kuat. Jika diberi satu lagi peluang, dia pasti akan lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sepatutnya untuk melindungi si manjanya daripada dijangkiti.

Apa yang boleh terjadi?

Pertusis amat mudah berjangkit, tapi sukar didiagnosis kerana gejala awal lazimnya tidak khusus dan serupa dengan jangkitan pernafasan yang lain. Namun, apabila makin teruk, pertusis boleh menyebabkan komplikasi serius, terutamanya pada bayi dan kanak-kanak kecil.

Bayi dan kanak-kanak kecil lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital apabila dijangkiti pertusis. Jika kanak-kanak bawah umur 1 tahun perlu dirawat di hospital:

  • 2 daripada 3 mungkin mengalami apnea (pernafasan terhenti seketika)
  • 1 daripada 5 mungkin mendapat pneumonia (jangkitan peparu)
  • 1 daripada 50 mungkin mengalami sawan (menggeletar tanpa kawalan)
  • 1 daripada 150 mungkin mendapat ensefalopati (penyakit otak)
  • 1 daripada 100 mungkin meninggal dunia

Pertusis di kalangan remaja dan orang dewasa biasanya lebih ringan, tapi mereka juga boleh mengalami komplikasi akibat batuk yang teruk, seperti:

  • Pengsan
  • Tulang rusuk lebam atau retak
  • Hilang kawalan pundi kencing
  • Hernia abdomen

Apa yang boleh dilakukan?

Pertusis boleh dicegah dengan vaksinasi. Dalam Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin enam serangkai yang melindungi daripada enam penyakit, termasuk pertusis, diberi kepada bayi pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Namun, dalam kes Sofea, bayinya masih belum cukup umur untuk divaksin. Jadi, apa yang boleh dia lakukan untuk melindungi bayinya daripada penyakit ini?

Perlindungan seharusnya bermula sejak kehamilan. Wanita juga disarankan untuk mengambil vaksinasi Tdap, yang melindungi daripada tetanus, difteria dan pertusis, semasa tempoh awal trimester ketiga setiap kali hamil. Dengan langkah ini, para ibu bukan saja boleh melindungi diri mereka, tapi juga bayi mereka.

Antibodi yang dihasilkan dalam tubuh ibu selepas vaksinasi akan dikongsi dengan bayi dalam kandungan. Apabila dilahirkan, bayi ini sudah pun mempunyai imuniti pasif. Oleh itu, mereka dilindungi daripada penyakit-penyakit yang boleh mengancam nyawa ini semasa beberapa bulan terawal selepas lahir, sebelum mereka boleh diberikan vaksinasi sendiri nanti.

Selain itu, ibu yang mengambil vaksin Tdap semasa hamil juga dilindungi daripada pertusis dan tidak akan menyebarkan penyakit tersebut kepada orang lain, terutamanya bayi mereka selepas lahir. Antara langkah lain yang boleh diambil oleh seorang ibu seperti Sofea adalah mengkuarantin diri sendiri apabila dijangkiti dan mengehadkan hubungan dengan bayi dan ahli keluarga lain sehingga dia sembuh. Namun, pencegahan yang terbaik adalah bermula awal dan mengambil vaksin semasa hamil.

Langgani surat berita pengasuhan kami.