Bagaimana cara hari anda bermula boleh menentukan seluruh hari anda. Rutin pagi yang baik boleh memperbaiki disiplin, kebersihan, produktiviti dan tumpuan. Terdapat banyak rutin pagi yang harus dipupuk dalam anak anda, cth: bangun awal, mengemas katil, regangan mudah, memberus gigi. Sarapan yang berkhasiat juga salah satu tabiat pagi yang penting.
Manfaat sarapan
Pasti ada sebab kenapa sarapan digelar sajian harian terpenting. Sarapan meningkatkan semula bekalan tenaga selepas berjam-jam tidak makan ketika tidur. Sarapan juga menyumbang kepada jumlah pengambilan nutrien harian, jadi orang yang bersarapan lebih berkemungkinan untuk mencapai saranan pengambilan nutrien penting seperti serat, vitamin dan mineral. Sarapan juga boleh mencegah makan berlebihan semasa sajian seterusnya dan menambah baik tumpuan dan prestasi pada waktu pagi.
Apa yang penting adalah sarapan yang sihat dan berkhasiat. Ini boleh dilakukan dengan menekankan konsep seimbang, sederhana dan pelbagai semasa menyediakan sarapan untuk keluarga anda. Ingat, pilih bijirin penuh yang lebih berkhasiat berbanding bijirin halus. Jangan lupa, sertakan buah dan sayur juga ketika sarapan bagi memenuhi saranan hidangan. Dapatkan protein juga, cth: daripada susu, keju dan telur, bagi sarapan yang lengkap.
Idea sarapan mudah & sihat
- Sajian oat: Oat dengan susu, ditabur dengan campuran kacang dan buah
- Sandwic telur: Telur hancur dengan tomato dan bawang, dikapit dua keping roti bijirin penuh
- Nasi goreng telur dadar: Nasi perang goreng dan telur dadar dengan lobak dan kacang pis
Tips sarapan pantas
- Sediakan awal: Luangkan sedikit masa pada waktu malam untuk menyediakan sarapan lebih awal dan menjimatkan masa pada pagi esoknya. Contohnya, anda boleh memotong buah atau memasak oat lebih awal.
- Guna lebihan: Lebihan makan malam boleh dipanaskan atau diolah semula untuk sarapan. Contohnya, hiris dan panaskan semula lebihan ayam panggang dan jadikannya inti sandwic.
- Makan bersama: Satu cara untuk menggalakkan anak anda bersarapan adalah dengan menjadikannya rutin keluarga. Semua orang perlu cuba bersarapan bersama sebelum pergi ke pejabat atau sekolah.
- Sarapan mudah: Jika semua orang sedang bergegas, pilih sarapan sedia dimakan yang berkhasiat. Sarapan dengan dua keping roti bijirin penuh dan segelas susu lebih baik daripada tidak bersarapan.
Bagi memupuk tabiat sihat dalam anak anda, anda perlu bermula dari awal. Ini termasuklah tabiat bersarapan. Untuk berubah, mula sedikit demi sedikit, tapi berterusan. Paling penting, anda sebagai ibu bapa perlu menjadi contoh dan mengamalkan apa yang anda ajar.
Komen