Pengasuhan Positif

Obsesi Terhadap Selebriti di Kalangan Remaja

Minat terhadap selebriti bukanlah perkara baru. Remaja sejak dulu mudah dipengaruhi selebriti. Terutamanya hari ini, dengan adanya media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok yang memudahkan mereka mengikuti hidup peribadi dan kerjaya para selebriti atau idola. Naluri semulajadi ibu bapa pastinya bimbang dengan obsesi ini, yang kalau tidak terkawal boleh memudaratkan.

Adakah minat ini normal?

Minat terhadap selebriti di kalangan remaja ialah perkara biasa semasa membesar. Pada usia ini, remaja tercari-cari contoh teladan mengenai cara penampilan dan kelakuan. Selebriti biasanya mempunyai gaya hidup yang menarik, berpenampilan menawan dan berbakat, maka anak anda mudah tertarik kepada mereka.

Minat terhadap selebriti tidak semestinya memudaratkan. Selebriti boleh menjadi contoh yang positif untuk mendorong remaja mengatasi cabaran dan mencapai impian mereka. Contohnya, pemain bola sepak Cristiano Ronaldo mendorong ramai atlet muda agar mempunyai etika kerja yang positif dan keinginan mencapai yang terbaik dalam sukan.

Namun, media sosial telah mengubah cara remaja meminati selebriti. Hari ini, remaja boleh berhubung dengan idola mereka dan mendapat “like” daripada rakan apabila memuat naik foto dan hantaran. Jika remaja terlibat dengan pemujaan selebriti yang berlebihan, ini mungkin mencetuskan masalah kesihatan mental.

Apakah hadnya?

Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi tanda-tanda obsesi atau minat berlebihan dalam anak anda. Jika dia mempunyai beberapa poster di dinding atau sekadar mengikuti selebriti kegemarannya di media sosial, itu tidak mengapa. Tapi anda perlu masuk campur jika ada tanda-tanda amaran berikut:

  • Perbelanjaan melulu ke atas idola dan cenderamatanya, yang boleh menimbulkan masalah kewangan
  • Membazirkan banyak masa untuk idolanya, terutamanya dalam talian
  • Meniru kelakuan idolanya dengan mencacah tatu, mewarnakan rambut atau memakai solekan berlebihan

Apabila tidak terkawal, obsesi ini boleh mengganggu tidur, kerja rumah, kehidupan sosial dan keyakinan diri anak anda. Maka, kelakuan ini harus dicegah sejak awal.

Bagaimana ibu bapa boleh membantu remaja?

Berikut beberapa cara untuk membantu anak anda agar tidak terjebak dalam obsesi tidak sihat:

  • Sarankan contoh teladan yang positif
  • Jangan perkecilkan perasaan mereka
  • Libatkan diri dalam kehidupan harian anak anda dan pilihan mereka
  • Tunjukkan minat dan sokong anak anda, contohnya, menghadiri konsert atau perlawanan bola bersama
  • Berbual mengenai selebriti atau atlet kegemarannya – galakkan kelakuan yang baik dan kongsi pandangan anda

Sebagai ibu bapa, anda perlu ambil tahu pilihan anak anda. Usia remaja amat penting kerana anak anda sedang membentuk identiti dan membina keyakinan diri. Sentiasa berikan sokongan positif dan bimbingnya untuk meneroka dan belajar daripada orang di sekeliling, termasuklah selebriti.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen