Pengasuhan Positif

Kenapa Remaja Membuat Keputusan Buruk dan Bagaimana Untuk Membimbing Mereka?

Memilih jalan untuk masa depan dan membuat keputusan besar boleh menakutkan remaja. Apatah lagi ketidaktentuan akibat pandemik terus menyelubungi kita. Bagaimanakah ibu bapa boleh menyokong remaja pada masa ini?

Jika anda mempunyai anak remaja yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM atau STPM tahun lepas, ia pasti satu pengalaman yang mengecewakan baginya, serta anda sendiri! Pandemik telah menyebabkan peperiksaan ditunda dan para pelajar terpaksa melalui pembelajaran jarak jauh. Ini boleh mematahkan semangat ramai remaja. Kini mereka risau menunggu keputusan dan perlu merancang langkah hidup yang seterusnya. Menjadi dewasa ketika tempoh mencabar ini memang sukar.

Kecenderungan membuat kesilapan

Ketika remaja mula belajar berdikari, kekurangan pengalaman menyebabkan mereka sukar membuat keputusan hidup. Mereka dianggap kurang matang dari segi psikososial dan berkecenderungan untuk:

  • Terlibat dengan kelakuan berisiko
  • Membuat keputusan melulu
  • Fokus pada matlamat jangka pendek
  • Lebih suka kepuasan segera
  • Mudah terpengaruh rakan sebaya
  • Gagal mempertimbangkan akibat

Terdapat penjelasan biologi di sebalik hal ini. Bahagian depan otak (lobus frontal), yang berfungsi dalam membuat keputusan, kawalan impuls, sebab-akibat dan tindak balas emosional, hanya berkembang sepenuhnya setelah mencapai umur awal atau pertengahan 20-an. Maka, remaja dan belia mungkin membuat keputusan yang kurang waras, terutamanya apabila rasa tertekan, stres atau terpengaruh dengan rakan-rakan. Mereka perlu bimbingan secukupnya daripada orang dewasa berpengalaman agar lebih bijak membuat keputusan.

Selepas sekolah: langkah seterusnya

Ini mungkin keputusan besar pertama dalam hidup remaja. Biasanya, dia perlu memilih untuk melanjutkan pelajaran di universiti ataupun kolej. Tapi terdapat pilihan lain juga.

  • Pendidikan tinggi: Terdapat pelbagai pilihan hari ini dan ia boleh mengelirukan. Konflik mungkin timbul jika ibu bapa cuba memaksa pilihan mereka ke atas remaja. Suarakan pendapat anda, terutamanya jika pandemik telah menyebabkan isu kewangan yang mereka belum sedar. Saling mendengar pendapat masing-masing dan berbincang dengan baik. Tanya pakar dalam bidang tertentu mengenai peluang kerjaya di masa depan.
  • Kerja/Latihan vokasional: Pendidikan tinggi memang penting, tapi bukan semua orang cenderung ke arah itu. Yang penting, remaja mempelajari kemahiran yang berguna untuk masyarakat. Ini boleh dipelajari melalui kerja atau latihan vokasional. Sesetengah syarikat juga ada menawarkan bantuan jika pekerja mereka mahu melanjutkan pelajaran kelak.
  • Ambil masa: Mungkin ada remaja yang mahu mengambil lebih masa sebelum membuat keputusan. Ini masa terbaik untuk menyertai program sukarelawan atau pilihan lain seperti program keusahawanan yang menyediakan latihan pembangunan dan kelestarian bisnes. Jalan ini mungkin jarang diambil di sini, tapi ia boleh memberi pengalaman unik dan membina bagi remaja. Ia juga cara untuk meneroka minat mereka.

Bimbingan ibu bapa

Oleh yang demikian, remaja memerlukan bantuan dalam memilih arah ke masa hadapan, dan bimbingan ibu bapa amat penting. Berikut beberapa panduan untuk membimbing remaja:

  • Perah semua idea: Selalunya remaja hanya nampak pilihan yang terhad, terutamanya jika mereka terdesak. Galakkannya untuk mengambil lebih masa ketika mencari penyelesaian. Anda juga boleh memberi cadangan.
  • Teliti kelebihan & kekurangan: Nasihatkannya untuk menyenaraikan kelebihan dan kekurangan pilihannya berdasarkan sumber, kemahiran dan minat. Singkirkan satu persatu untuk memilih yang terbaik. Ini membantunya memilih dengan waras, bukan dengan perasaan.
  • Rancang langkah seterusnya: Selepas membuat keputusan, tanya apa langkah seterusnya dan cara dia akan menilai pilihannya. Lebih bagus jika keputusan tersebut boleh dipertimbangkan bersama untuk menentukan sama ada ia pilihan yang betul dan cara membuat keputusan lebih baik di masa depan.
  • Bincangkan kemungkinan: Tanya dia tentang situasi yang mungkin dihadapi dan cara untuk menanganinya. Contohnya, apa yang dia perlu lakukan jika permohonan kolej atau kerjanya ditolak? Atau jika dia menyedari dia tidak menyukai kerja atau kursus yang diambil?
  • Minta bantuan: Pastikan anak anda tahu mereka boleh meminta nasihat anda, ahli keluarga lain atau kaunselor. Yakinkan mereka yang anda terbuka dengan apa jua soalan dan mereka tidak perlu membuat keputusan berseorangan. Anda sendiri juga boleh meminta pertolongan kerana tidak semua jawapan ada pada anda.

Kata-kata akhir

Ingatkan anak remaja anda bahawa memilih untuk masa depan tidak mudah. Kita tidak boleh meramal masa depan dan mungkin akan menyesali sesetengah keputusan. Tiada pilihan yang terbaik kerana takdir sentiasa berubah. Oleh itu, pilihlah apa yang mampu dicapai kerana itu lebih praktikal pada detik itu.

Yang penting, mereka belajar bertanggungjawab dan teguh dengan keputusan mereka, serta faham terdapat faktor luaran lain yang mempengaruhi hasil pilihan hidup kita. Ia mungkin sukar bagi remaja pada awalnya, jadi sokongan ibu bapa penting. Anda juga perlu menyesuaikan diri agar anak anda boleh jadi lebih berdikari. Gunakan peluang ini sebagai proses pembelajaran bagi anda dan anak anda dalam menentukan masa depan.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen