Sempadan negara telah dibuka semula setelah sekatan perjalanan yang berpanjangan dikenakan akibat pandemik. Selain daripada vaksin COVID-19, vaksin mana lagi yang perlu anda ambil sebelum mengembara ke luar negara?
Kenapa saya perlu divaksin sebelum mengembara?
Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) Malaysia menyediakan jadual vaksinasi kanak-kanak yang menyeluruh yang melindungi daripada pelbagai penyakit berjangkit. Namun, jadual imunisasi tersebut tidak meliputi semua penyakit. Sesetengah penyakit berjangkit yang tiada dalam PIK mungkin endemik di negara lain atau mungkin terdapat penyebaran wabak di destinasi tujuan anda. Sesetengah vaksin juga wajib diambil untuk masuk ke negara tertentu.
Contohnya, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengambil vaksin demam kuning sebelum mengembara ke beberapa negara di Afrika dan Amerika Selatan. Risiko penyakit bawaan makanan, seperti demam kepialu (tifoid) dan hepatitis A, juga lebih tinggi di sesetengah negara, jadi lebih baik jika anda divaksin terhadap penyakit tersebut juga.
Jika anda dan keluarga mengembara ke tempat-tempat tersebut, anda disarankan untuk mendapatkan perlindungan daripada penyakit tempatan dengan mendapatkan vaksin pilihan yang ada. Vaksinasi adalah antara cara terbaik untuk melindungi diri daripada penyakit berjangkit serius. Dengan vaksin, anda akan mengurangkan masa sakit dan menambah masa menikmati percutian bersama keluarga.
Siapa yang perlu mendapatkan vaksin?
Sesiapa sahaja yang mengembara ke destinasi dengan risiko tinggi penyakit berjangkit perlu diberi vaksin terhadap penyakit tersebut. Ini penting terutamanya bagi golongan rentan, seperti kanak-kanak bawah lima tahun, warga emas, dan orang dengan penyakit kronik atau sistem imun yang lemah. Tambahan lagi, individu yang layak harus mendapatkan vaksin COVID-19 dan flu, tak kira ke mana mereka pergi. Jika anda hamil, rujuk doktor anda berkenaan vaksin yang sesuai.
Vaksin kembara yang mana saya perlu ambil?
Ini bergantung kepada destinasi kembara anda. Berikut beberapa vaksin yang disarankan:
- Vaksin meningokokus: Jika anda mengembara ke negara di jalur meningitis Afrika seperti Ethiopia, Niger, Chad dan Burkina Faso, di mana kejadian meningitis amat tinggi, anda disarankan mengambil vaksin ini. Arab Saudi juga mewajibkan orang yang pergi mengerjakan Haji atau Umrah di Mekah untuk mengambil vaksin meningokokus.
- Vaksin influenza: Anda boleh mendapatkan vaksin ini setiap tahun dan sepanjang tahun, tapi vaksin ini disarankan terutamanya semasa mengembara ke mana-mana pada musim flu atau apabila ke tempat beriklim sederhana pada musim sejuk.
- Vaksin ensefalitis Jepun (JE): Vaksin ini termasuk dalam PIK untuk kanak-kanak di Sarawak. Sesiapa yang tidak menerimanya dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin ini apabila mengembara ke negara endemik JE, seperti Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan negara Asia Tenggara yang lain. Disarankan juga untuk mendapatkan vaksin ini jika anda mengembara ke Sarawak daripada Semenanjung.
- Vaksin demam kuning: Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin ini sekurangnya 10 hari sebelum mengembara ke beberapa negara di Afrika (29 negara, cth: Cameroon, Kenya, Nigeria, dll.) dan Amerika Selatan (13 negara, cth: Argentina, Brazil, Colombia, dll.) di mana terdapat risiko tinggi jangkitan demam kuning. Pengembara yang datang daripada negara tersebut tanpa sijil vaksinasi demam kuning yang sah perlu dikuarantin setibanya di Malaysia.
- Vaksin rabies: Ia disarankan untuk pekerja berisiko tinggi (cth: renjer hidupan liar, pekerja kawalan penyakit haiwan, pekerja makmal yang mengendalikan virus rabies hidup). Pengembara lasak atau ekspatriat yang tinggal di kawasan terpencil dengan risiko tinggi pendedahan rabies juga perlu divaksin. Vaksin ini juga digunakan sebagai profilaksis pascapendedahan.
- Vaksin taun, demam kepialu, hepatitis A atau rotavirus: Vaksin-vaksin ini melindungi daripada penyakit bawaan makanan atau air dan disarankan apabila mengembara ke negara dengan tahap kebersihan yang teruk untuk mencegah jangkitan daripada makanan atau air tercemar.
Bila saya perlu dapatkan vaksin?
Bincangkan dengan doktor anda 6-8 minggu sebelum tarikh perjalanan untuk menentukan vaksin mana yang perlu diambil, berapa dos diperlukan dan seawal mana anda perlu dapatkan suntikan. Beberapa hari atau minggu diperlukan sebelum vaksin memberi kesan dan tubuh menghasilkan antibodi. Oleh itu, kebanyakan vaksin perlu diambil awal untuk memastikan perlindungan penuh terhadap penyakit semasa perjalanan. Bagi vaksin flu, anda disarankan untuk mengambilnya setiap tahun, dan jika anda belum divaksin, dapatkannya paling lewat 2 minggu sebelum perjalanan.
Di mana boleh saya dapatkan vaksin?
Anda boleh dapatkan vaksin kembara yang disarankan daripada klinik dan hospifal swasta. Sesetengah vaksin mungkin boleh didapati di klinik atau hospital kerajaan dan ada juga yang hanya boleh didapati di tempat-tempat tertentu. Semak dengan penyedia khidmat kesihatan anda terlebih dahulu, kerana tempat tersebut mungkin tiada stok walaupun pernah menawarkan vaksin tersebut sebelum ini.
Pesanan terakhir
Pandemik COVID-19 telah mengajar kita bagaimana penyakit boleh tersebar dengan pantas serta betapa pentingnya langkah-langkah pencegahan, termasuk vaksinasi, untuk mengekang mana-mana wabak. Bak kata pepatah, mencegah sememangnya pilihan lebih baik berbanding merawat.
Komen