Pengasuhan Positif

Kebaikan Urutan Bayi

Bayi suka disentuh. Sentuhan ialah deria yang terbentuk sebelum mereka dilahirkan dan merupakan antara cara terbaik bagi ibu bapa berhubung dengan si kecil.

Urutan ialah satu bentuk sentuhan kulit-ke-kulit yang boleh mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan bayi kerana ia membantu membina hubungan kepercayaan, terutamanya pada tahun awal bayi. Kedua-dua ibu dan bapa juga perlu melakukan bentuk sentuhan fizikal yang lain seperti mendukung, memeluk dan mendodoikan bayi baru lahir.

Urutan = manfaat besar

Urutan adalah bentuk awal keintiman antara ibu dan bayinya. Salah satu manfaatnya ialah membantu merangsang perasaan keibuan, serta menghasilkan hormon oksitosin. Hormon ini biasanya dirembeskan sebelum kehamilan, semasa kelahiran dan kemudiannya apabila ibu bersentuhan secara fizikal dengan bayi. Ia bertanggungjawab untuk menimbulkan pelbagai fungsi fisiologi dan emosi seperti kebahagiaan, tarikan, cinta dan kasih sayang.

Satu lagi manfaat ialah sentuhan juga membantu kolostrum ibu (susu pertama yang kaya dengan nutrien yang melindungi bayi) agar boleh mengalir dengan lebih lancar. Proses penyusuan ibu juga akan lebih positif dan penghasilan susu juga akan bertambah baik. Oleh itu, pastikan anda melengkapkan sesi urutan bayi anda dengan dakapan dan pelukan!

Di samping manfaat kepada ibu, urutan dan bentuk sentuhan fizikal yang dekat dengan bayi mempunyai kesan yang kuat terhadap perkembangan mental, emosi dan fizikal mereka, sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek, kerana ia membantu:

  • Mengatur degupan jantung, pernafasan dan suhu badan bayi
  • Menenangkan bayi, dan menambah baik kualiti dan kuantiti tidurnya
  • Mengurangkan masa menangis
  • Meningkatkan berat badan
  • Merangsang penghadaman, dan minat bayi untuk menyusu
  • Mengurangkan tekanan emosi bayi
  • Menggalakkan hubungan rapat ibu bapa dengan bayi (serta mengurangkan risiko ibu kemurungan selepas bersalin)

Kenapa bayi pramatang juga memerlukan urutan

Bayi pramatang boleh mendapat manfaat daripada urutan bayi, tapi kaedahnya berbeza dengan urutan bayi cukup bulan. Antara kesan positif urutan bayi yang terbukti ialah peningkatan berat badan. Hormon stres (kortisol) juga didapati menurun. Terdapat banyak manfaat positif yang lain juga.

Bayi pramatang tidak boleh diurut semasa mereka masih menggunakan alat bantu pernafasan. Urutan bayi pramatang hanya boleh dilakukan apabila mereka telah stabil dan keluar daripada wad.

Mengeratkan perhubungan

Urutan bayi merupakan cara yang baik untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan bayi. Namun, elakkan memberi urutan kepada bayi anda sekiranya dia kurang sihat atau demam. Dalam kes kolik pula, urutan bayi telah ditunjukkan dapat membantu meredakan gejala.

Anda boleh memberikan urutan kepada bayi anda pada bila-bila masa, tapi lebih bagus jika anda menetapkan rutin yang boleh dinantikannya – contohnya, sejurus selepas mandi atau sebelum anda menidurkannya di waktu malam. Anda juga boleh menggunakan minyak/losyen/krim urutan bayi. Namun, sebelum berbuat demikian, tanyalah pakar pediatrik anak anda terlebih dahulu.

Urutan bayi perlu dilakukan dengan sentuhan yang sedikit kuat tetapi lembut untuk menunjukkan kasih sayang ibu bapa kepada si kecil. Untuk keterangan lebih lanjut mengenai cara urutan bayi, anda boleh merujuk kepada artikel Pengasuhan Positif yang lepas (“Mengurut Bayi Anda”).

Ambillah kesempatan sepenuhnya untuk menjalin hubungan dengan bayi anda seawal mungkin selepas kelahirannya. Jangan lepaskan peluang untuk memberi urutan kepada bayi anda kerana ini adalah cara mudah bagi anda untuk mula menjalin hubungan dengannya!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen