Pengasuhan Positif

Mengurut Bayi Anda

Satu cara memupuk tumbesaran bayi dan menunjukkan kasih sayang anda terhadapnya adalah menerusi urutan. Urutan bayi dilakukan dengan mengusap dan menggosok badan dan anggota bayi anda secara lembut menggunakan tangan dalam cara yang spesifik. Semasa mengurut bayi anda, tahap oksitosin, hormon yang dirembeskan apabila anda mendukung atau menyusukan bayi, akan meningkat dan menjadikan anda dan bayi berasa tenang dan tenteram. Anda boleh mula mengurut bayi dengan minyak selepas tali pusatnya jatuh beberapa hari selepas kelahiran serta sepanjang tahun pertamanya.

Manfaat urutan bayi

  • Menggalakkan interaksi antara anda dan bayi
  • Menjadikan mood anda tenang sebagai ibu bapa
  • Membantu bayi anda bertenang dan tidur dengan lebih baik
  • Mengurangkan menangis dan merengek
  • Melegakan angin di perut bayi
  • Menggalakkan tumbesaran dan peningkatan berat badan untuk bayi pramatang

Panduan urutan bayi

  • Wujudkan persekitaran tenang, tenteram dan senyap sebelum memulakan urutan.
  • Pastikan persekitaran tidak sejuk.
  • Basuh tangan supaya kebersihan tidak terjejas.
  • Pilih masa yang sesuai, ketika bayi anda tenang (contohnya sebelum waktu tidur), tetapi elakkan mengurutnya sejurus selepas menyusukannya.
  • Jika anda lebih suka menggunakan minyak atau krim, pilih jenis yang tanpa wangian dan tidak bertoksik; pastikan bayi anda tidak mempunyai alahan kepada minyak.
  • Ambil kira respons bayi terhadap urutan itu; jika bayi tidak suka, berhenti mengurut.

Cara mengurut bayi anda

Lengan: Letakkan tangan di sekeliling lengannya dan picit secara lembut ke bawah sehingga ke pergelangannya seperti ‘memerah susu’. Urut pula ke atas. Kemudian, gosok lengannya dengan lembut antara tapak tangan anda. Lakukan pada kedua-dua tangannya.

Dada: Menggunakan kedua-dua tangan, urut dada sebelah kanan dan kirinya dalam gerakan putaran (seperti sayap rama-rama). Kemudian, guna tangan kanan untuk mengurut bahagian atas kiri ke bawah kanan, dan sebaliknya menggunakan tangan kiri. Ulang dalam gerakan bersilang.

Muka: Menggunakan ibu jari, urut mukanya dengan gerakan putaran. Jangan tekan terlaku kuat. Urut bahagian pelipis, dahi, kening, hidung, telinga, pipi, di sekeliling mulut dan rahang.

Belakang: Tiarapkan bayi anda. Urut kedua-dua belah tulang belakangnya dalam gerakan putaran kecil dari leher ke punggung. Urut beberapa kali dengan perlahan dan sedikit kuat dari bahunya ke kaki untuk siapkan urutan. Kemudian anda boleh meriba dan menyusukannya.

Perut: Letakkan tangan di atas perutnya dan urut dengan lembut ke bawah hingga ke pinggulnya. Ulang beberapa kali dengan bergiliran tangan. Urut sebelah kiri abdomen dari atas ke bawah. Kemudian urut dari kanan ke kiri di bahagian atas abdomen. Bawa jari anda ke sebelah kiri dan ke bawah.

Kaki: Ulang urutan ‘memerah susu’ dari pehanya ke buku lali, dan urut ke atas semula. Kemudian, gosok kakinya dengan lembut antara tapak tangan anda. Ulang dengan kaki sebelah lagi.

Mengurut bayi anda adalah cara sihat untuk menenangkan diri dan meluangkan masa berkualiti dengannya. Artikel ringkas ini boleh dijadikan panduan urutan bayi. Rujuk doktor anda jika anda mempunyai soalan lanjut berkaitan urutan bayi.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Step by step guide to a soothing & relaxing massage for babies

By Datuk Dr Zulkifli Ismail, Consultant Paediatrician

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen