Pengasuhan Positif

Jangan Ketinggalan: Vaksinasi Susulan (Catch-Up) Pneumokokus

Antara berita baik yang kita terima tahun lalu adalah pengenalan vaksin pneumokokus dalam program imunisasi kebangsaan (PIK). Namun, hanya bayi yang lahir pada dan selepas tahun 2020 yang layak menerimanya. Bagaimana dengan mereka yang dilahirkan lebih awal dan tidak dapat mengambilnya?

Vaksinasi tepat pada masanya amat penting untuk memastikan suatu populasi dilindungi sepenuhnya daripada penyakit yang dapat dicegah vaksin (vaccine-preventable diseases, VPD) seawal mungkin dan akan dapat mengekalkan imuniti kelompok, serta mencegah penyebaran wabak. Namun begitu, walaupun usaha terbaik telah dilakukan, tidak semua individu akan berjaya mendapatkan vaksinasi mereka seperti yang dijadualkan menurut PIK. Di sinilah peranan “vaksinasi susulan” atau “catch-up vaccination”.

Vaksinasi susulan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksinasi susulan didefinisikan sebagai amalan memvaksin seseorang yang belum menerima dos vaksin yang disyorkan mengikut jadual PIK yang rutin di atas sebab-sebab tertentu seperti penangguhan, kehabisan stok vaksin, tiada akses, keraguan, gangguan perkhidmatan dan lain-lain.

Vaksinasi susulan berperanan besar dalam mencegah jurang imunisasi yang boleh menjejaskan imuniti kelompok. Bagi mendapat manfaat sepenuhnya daripada vaksinasi, jalan terbaik adalah dengan menerima vaksin yang disyorkan sebaik sahaja layak. Namun, mereka yang “ketinggalan” vaksinasi juga harus “menyusul” sebaik sahaja berpeluang.

Sesetengah vaksin mempunyai had umur maksimum bagi penggunaan, tetapi kebanyakannya selamat dan berkesan tanpa sebarang had umur maksimum. Bagi kebanyakan VPD, pengambilan vaksin yang terlewat masih akan memberikan perlindungan penting daripada penyakit dan kematian. Walaupun pengambilan vaksin tepat pada masanya menjadi keutamaan, pepatah “biar lambat asal selamat” juga boleh diguna pakai untuk vaksinasi.

Vaksinasi susulan pneumokokus

Di Malaysia, vaksinasi pneumokokus untuk kanak-kanak diperkenalkan dalam PIK tahun lalu untuk bayi yang dilahirkan pada dan selepas 2020. Namun, ini bermakna anak-anak yang dilahirkan lebih awal, termasuk mereka yang masih bertatih atau di tadika ketika ini, tidak layak menerima vaksin tersebut. Kumpulan kanak-kanak ini juga harus dipertimbangkan untuk menerima vaksinasi susulan.

Mengapa pentingnya bagi kumpulan ini untuk mendapat vaksinasi susulan pneumokokus? Pneumokokus adalah penyebab utama meningitis bakteria di kalangan kanak-kanak bawah umur 5 tahun. Anak kecil juga berisiko tinggi mengalami komplikasi lain yang teruk akibat pneumokokus, termasuk radang paru-paru dan bakteremia. Kumpulan ini juga cenderung meluangkan lebih banyak masa berdekatan dengan kanak-kanak lain di pusat jagaan dan tadika, lalu mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi.

Selain itu, vaksinasi susulan pneumokokus mencegah kanak-kanak daripada menjadi pembawa yang boleh menyebarkan bakteria berbahaya ini kepada bayi, warga tua dan kumpulan berisiko tinggi yang lain. Malah, 20-60% kanak-kanak di peringkat sekolah mungkin menjadi pembawa. Tempoh pembawaan mungkin berbeza, tetapi secara amnya, kanak-kanak menjadi pembawa lebih lama berbanding orang dewasa. Selain itu, vaksinasi susulan membantu mengurangkan beban lain yang berkaitan (kos, produktiviti, kualiti hidup, dll.) kerana sakit dan dimasukkan ke hospital.

Kertas kenyataan WHO 2019 mengenai vaksin konjugat pneumokokus (PCV) untuk bayi dan kanak-kanak menyatakan bahawa vaksinasi susulan harus dilaksanakan ketika memperkenalkan PCV dalam PIK untuk mempercepatkan kesan pencegahannya terhadap penyakit dalam kalangan kanak-kanak berusia 1-5 tahun, terutamanya apabila terdapat beban jangkitan dan kematian yang tinggi. Semakin ramai kanak-kanak yang divaksin, semakin cepat imuniti kelompok dicapai.

Saranan jadual vaksinasi susulan PCV (daripada kertas kenyataan WHO)

 

Kanak-kanak yang layak menerima vaksin di bawah PIK masih boleh mendapatkan vaksin walaupun mereka terlepas jadual yang ditetapkan; hubungi Klinik Kesihatan terdekat untuk mengatur temu janji. Mereka yang tidak layak pula boleh mendapatkan vaksinasi susulan daripada klinik/hospital swasta. Masih tidak terlambat untuk anak anda mendapatkan vaksinasi pneumokokus walaupun mereka tidak memenuhi syarat untuk mendapatkan suntikan di bawah PIK. Tanya doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana si manja anda boleh dilindungi agar tidak ketinggalan!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen