Pengasuhan Positif

Mengapa Penghadaman & Penyerapan Nutrien Yang Baik Penting Untuk Anak Anda?

Penghadaman yang bagus membantu penyerapan nutrien yang berkesan, lalu menyumbang kepada tumbesaran dan perkembangan optimum anak anda. Ini juga penting untuk mengekalkan fungsi tubuh yang sihat dan imuniti yang kuat.

Satu aspek utama kesihatan penghadaman ialah penyerapan nutrien yang cekap. Walaupun majoriti proses ini berlaku dalam usus kecil, ia sebenarnya bermula dengan gigitan pertama. Bagi memastikan kanak-kanak mendapat nutrien sebanyak mungkin daripada makanan serta mengelakkan kekurangan nutrien, proses penyerapan nutrien perlu berjalan dengan cekap.

Penghadaman dan penyerapan nutrien yang baik penting untuk tumbesaran dan perkembangan, serta fungsi tubuh yang optimum. Malah, sebahagian besar sistem imun bertempat dalam usus. Oleh itu, penting untuk anda pastikan bahawa kesihatan penghadaman anak anda berada dalam keadaan terbaik demi kesihatannya secara menyeluruh.

Faktor yang mempengaruhi penyerapan nutrien

  • Bioketersediaan (bioavailabity) nutrien: Ini merujuk kepada nisbah nutrien daripada makanan yang diserap, diguna dan disimpan oleh tubuh. Ia berbeza bagi setiap nutrien bergantung kepada pelbagai faktor sama ada yang boleh meningkatkan atau menyekat bioketersediaannya, seperti:
    • Sifat fizikal makanan tersebut (cth. mentah, dimasak, dipotong, diproses)
    • Sifat kimia nutrien tersebut (cth. zat besi heme daripada sumber haiwan lebih mudah diserap berbanding zat besi bukan heme)
    • Kepadatan nutrien
    • Interaksi dengan nutrien atau bahan lain dalam makanan (cth. tindakbalas Maillard mengurangkan kebolehhadaman protein)
  • Ubatan dan kesihatan: Sesetengah ubatan seperti julap boleh mengganggu proses penyerapan makanan. Keadaan sakit, stres atau tidak boleh bergerak juga mungkin menjejaskan proses ini.
  • Faktor individu: Umur, jantina, genetik, status pemakanan, diet, kehamilan, gaya hidup – semua ini boleh mempengaruhi penyerapan nutrien. Contohnya, tahap asid gastrik akan menurun apabila umur semakin lanjut dan ini boleh menjejaskan keupayaan menyerap nutrien. Sebaliknya, usus kanak-kanak lebih sensitif dan ini juga boleh mempengaruhi penghadaman dan penyerapan nutrien.

Meningkatkan penyerapan nutrien

Sistem penghadaman yang sihat penting untuk penyerapan nutrien yang berkesan dan begitu juga sebaliknya. Berikut adalah beberapa cara untuk menggalakkan penghadaman dan penyerapan nutrien pada anak anda:

  • Diet seimbang dan pelbagai: Kunci bagi memperoleh semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh adalah dengan makan pelbagai makanan dalam kadar yang seimbang. Sertakan sayur dan buah yang beraneka warna dalam diet anak anda untuk mendapatkan jenis-jenis nutrien yang berbeza. Cuba pelbagai protein daripada kekacang dan legum, ikan dan makanan laut, serta ayam dan daging.
  • Utamakan makanan kurang diproses: Makanan yang diproses selalunya mengandungi lebih tinggi karbohidrat bertapis, bahan tambahan dan lemak trans yang boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan penghadaman. Sediakan makanan yang segar dan lengkap untuk keluarga anda. Contohnya, membuat nuget ayam sendiri, berbanding membeli makanan segera atau produk sedia dimasak.
  • Pilih makanan padat nutrien: Makanan padat nutrien membekalkan nutrien penting untuk memenuhi saranan pengambilan nutrien bagi tumbesaran kanak-kanak yang optimum. Ambil lebih makanan padat nutrien seperti buah, sayur, bijirin penuh, susu dan produk tenusu.
  • Ambil lebih serat dan lemak baik: Serat bagus untuk kesihatan penghadaman dan boleh didapati daripada bijirin, kekacang, bijian, buah dan sayur. Lemak baik (lemak tak tepu dalam ikan berlemak, kekacang dan bijian) pula penting untuk membantu penyerapan sesetengah vitamin.
  • Sediakan makanan dengan cara yang sesuai: Makanan perlu disediakan dan dimasak dengan cara yang betul untuk mengekalkan nutrien. Jangan terlebih masak sayuran berdaun atau merendamnya terlalu lama kerana haba berlebihan menyebabkan kehilangan nutrien. Sebaliknya, sesetengah sayuran seperti tomato perlu dimasak untuk meningkatkan penyerapan nutriennya.
  • Hidrasi secukupnya: Pengambilan cecair yang mencukupi diperlukan untuk penghadaman yang baik dan mengelakkan sembelit. Air kosong, susu dan buah atau sayur yang berair ialah sumber yang baik untuk hidrasi. Galakkan kanak-kanak minum 6-8 gelas air setiap hari atau lebih pada hari yang panas atau selepas aktiviti fizikal.
  • Makan dan kunyah perlahan-lahan: Mengunyah akan menghancurkan makanan kepada bentuk yang lebih kecil, manakala air liur dalam mulut bertindak untuk memulakan proses penghadaman. Nasihatkan anak anda untuk mengunyah makanan secara menyeluruh dan perlahan-lahan sehingga hancur agar lebih mudah untuk tubuh menyerap nutrien dalam usus kecil.
  • Sentiasa aktif: Aktiviti fizikal yang kerap juga adalah satu cara untuk menambah baik penghadaman dan menggalakkan pergerakan usus yang sihat. Anda boleh berjalan-jalan di sekitar rumah dengan anak anda selepas makan.

Padanan terbaik

  • Vitamin C dan zat besi dalam tumbuhan: Vitamin C membantu meningkatkan penyerapan zat besi bukan heme dalam tumbuhan. Petua: Ketika sarapan, anak anda boleh ambil sandwic bijirin penuh (sumber zat besi) bersama jus oren (sumber vitamin C).
  • Vitamin D dan kalsium: Vitamin D daripada makanan dan cahaya matahari membantu meningkatkan penyerapan kalsium. Petua: Bermainlah di luar rumah dengan anak anda agar mereka boleh mendapat vitamin D daripada cahaya matahari. Anda juga boleh menyediakan makanan kaya vitamin D (salmon, tuna, kuning telur) bersama makanan kaya kalsium (brokoli, kailan) untuk keluarga anda.
  • Lemak dan vitamin larut lemak: Vitamin A, D, E dan K (vitamin larut lemak) lebih mudah diserap oleh tubuh apabila dipadankan dengan lemak. Petua: Ambil lemak tak tepu yang baik daripada minyak zaitun, ikan berlemak, kekacang dan bijian untuk melengkapi makanan yang kaya dengan vitamin larut lemak.

Selain daripada nasihat-nasihat di atas, satu strategi mudah dan bagus ialah diet yang “seimbang, sederhana dan pelbagai”. Dengan ini, anak anda pasti boleh makan, membesar dan hidup dengan sihat!

 

 

Reference:

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen