Pengasuhan Positif

Vaksin Meningokokus: Bilakah Anak Saya Perlu Divaksin?

Selain daripada vaksin yang terdapat dalam Program Imunisasi Kebangsaan (PIK), tahukah anda ada vaksin lain yang disarankan untuk kanak-kanak? Antaranya ialah vaksin meningokokus yang melindungi daripada jangkitan Neisseria meningitidis.

N. meningitidis, Haemophilus influenzae jenis b (Hib) dan Streptococcus pneumoniae adalah antara punca utama kepada meningitis bakteria, satu penyakit yang boleh menyebabkan maut dan hilang upaya. Vaksin bagi dua daripada patogen tersebut telah disertakan dalam PIK, tetapi bukan vaksin untuk N. meningitidis, juga dikenali sebagai meningokokus.

Kenali meningokokus

12 strain meningokokus telah dikenalpasti. Antaranya ialah strain A, B, C, W, X dan Y yang mengakibatkan kebanyakan kes penyakit meningokokus invasif (IMD), termasuklah meningitis (50% kes), bakteraemia (30% kes) dan pneumonia (15% kes). Ia tersebar melalui jangkitan titisan daripada individu dijangkiti atau pembawa tanpa gejala. Antara komplikasi yang boleh terjadi termasuklah kerosakan otak, kehilangan anggota badan, kehilangan pendengaran dan kematian.

Vaksin meningokokus telah dicipta sejak lebih daripada 40 tahun. Kini, tiga jenis vaksin meningokokus boleh didapati:

  • Vaksin polisakarida terdapat dalam bentuk vaksin bivalen (MenAC), trivalen (MenACW), atau tetravalen (MenACWY). Ia menawarkan perlindungan sehingga 3 tahun dan tidak berkesan untuk kanak-kanak bawah 2 tahun.
  • Vaksin konjugat terdapat dalam bentuk vaksin monovalen (MenA atau MenC) serta tetravalen (MenACWY). Vaksin ini memberikan imuniti yang lebih lama (5 tahun atau lebih) dan boleh diberi kepada kanak-kanak seawal 2 bulan (bergantung kepada jenis vaksin dan negara).
  • Vaksin berasaskan protein (MenB) ialah vaksin meningokokus yang terbaru diperkenalkan  dan belum terdapat di Malaysia.

Apakah saranannya?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan vaksin meningokokus konjugat berbanding vaksin polisakarida kerana kelebihannya dari segi perlindungan langsung atau tidak langsung:

  • Negara dengan kadar IMD endemik yang tinggi (>10 kes/100,000 populasi/tahun) atau sederhana (2-10 kes/100,000 populasi/tahun) dan negara di mana epidemik kerap berlaku digalakkan untuk melaksanakan program vaksinasi meningokokus berskala besar yang sesuai.
  • Negara dengan kadar penyakit yang rendah (<2 kes/100,000 populasi/tahun) disarankan untuk menyediakan vaksinasi meningokokus untuk golongan berisiko tinggi.

Golongan berisiko tinggi termasuklah mereka yang:

  • Mempunyai masalah kesihatan tertentu (kekurangan komponen komplemen, menggunakan perencat komplemen, asplenia secara anatomi atau fungsi, jangkitan HIV)
  • Berdepan risiko tinggi kerana penularan penyakit meningokokus
  • Melancong atau tinggal di negara di mana penyakit meningokokus adalah hiperendemik atau epidemik (jaluran meningitis di Afrika, semasa Haji/Umrah, dll.)
  • Tinggal beramai-ramai (cth. pelajar/askar pelatih yang tinggal di asrama)

Berdasarkan contoh di atas, MenACWY sering dijadualkan semasa remaja, tetapi boleh juga diberikan kepada bayi, seperti dalam PIK Australia. Sementara itu, MenB selalunya dijadualkan sebelum 12 bulan, tetapi Amerika Syarikat menyarankan agar MenB diberikan apabila kanak-kanak lebih besar.

Saranan vaksinasi di negara berlainan ditentukan berdasarkan pelbagai faktor, termasuklah epidemiologi penyakit, profil klinikal, kelebihan dan risiko bagi pilihan vaksin yang berbeza, pertimbangan ekonomi, kesan ke atas strategi kawalan dan intervensi sedia ada, dll.

Saranan juga bergantung kepada jenis vaksin yang digunakan. Contohnya, ada vaksin konjugat MenACWY yang boleh diberikan kepada kanak-kanak seawal 2 bulan, tetapi vaksin jenis lain mungkin mempunyai arahan penggunaan yang berbeza.

Ambil sekarang atau tunggu?

Vaksin merangsang tindak balas imun untuk melatih badan melawan patogen tertentu sekiranya terdedah di masa hadapan. Ini hanya berkesan sebelum diserang jangkitan, jadi masa terbaik untuk memberi anak anda vaksin adalah semasa dia masih sihat. Mungkin sudah terlambat jika anda menunggu sehingga anak anda sakit atau menjadi pembawa tanpa sedar yang menyebarkan patogen kepada orang di sekeliling.

Vaksin meningokokus adalah antara vaksin pilihan atau tambahan yang disarankan untuk kanak-kanak di Malaysia, tetapi memandangkan ia tiada dalam PIK, tiada saranan spesifik tentang bila mereka perlu mengambilnya. Kini anda tahu bahaya penyakit meningokokus, maka rujuklah pakar pediatrik untuk mengetahui jika dan bila anak anda perlu mendapatkan vaksin meningokokus. Dalam hal melibatkan kesihatan anak anda, lebih baik berwaspada daripada menyesal di kemudian hari.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen