Pengasuhan Positif

Pengendali Makanan: Barisan Hadapan Melawan Tifoid

Perintah Kawalan Pergerakan, yang bermula sejak Mac 2020, telah melahirkan aktiviti e-ekonomi yang aktif. Sektor pemakanan tidak kurang meriah penglibatannya, merangkumi bukan sahaja bahan mentah, tetapi juga makanan siap dimasak. Selain restoran di pusat beli-belah dan kedai fizikal, terdapat juga industri dari rumah yang turut menjual makanan melalui media sosial, yang disampaikan kepada pembeli melalui perkhidmatan penghantaran komersil.

Namun, mungkin ramai yang terlibat dalam industri ini belum sedar tanggungjawab yang dipikul oleh pengendali makanan, sama ada sebagai tukang masak, yang membungkus, mengedar atau menghantar makanan. Mereka yang berada dalam industri makanan, iaitu pengendali makanan, berperanan penting dalam mencegah tifoid (demam kepialu).

Sebagai pengguna, kita mengharapkan makanan yang enak, dibungkus rapi dengan harga berpatutan daripada peniaga, serta penghantaran pantas tanpa tumpahan daripada penghantar makanan. Makanan yang sudah basi atau dicemari bendasing pasti akan dimuatnaik ke media sosial bersama ulasan buruk. Oleh itu, pengendali makanan perlu memastikan yang prosedur operasi piawai (SOP) dituruti agar kawasan perniagaan bersih dan bahan mentah disimpan dengan betul.

Selain itu, pengendali makanan juga diwajibkan oleh undang-undang untuk mencegah tifoid melalui pengambilan vaksin secara rutin. Selain latihan serta pemeriksaan perubatan, vaksin tifoid juga antara langkah penting dalam memastikan makanan yang disediakan bersih dan bebas daripada Salmonella, kuman yang menyebabkan tifoid.

Fakta demam kepialu

  • Disebabkan bakteria Salmonella enterica serotip typhi (S. typhi)
  • Berjangkit melalui pengambilan makanan/minuman yang tercemar
  • Tersebar melalui najis individu yang dijangkiti (pesakit/pembawa)
  • Gejala: demam panas, pening kepala, sakit perut, sembelit atau cirit-birit, kurang selera makan, kelesuan
  • Komplikasi serius: kebocoran usus, pendarahan gastrousus, ensefalopati, kematian

Peraturan Kebersihan Makanan 2009

  • Peraturan 31(1) menyatakan semua pengendali makanan hendaklah diperiksa dari segi kesihatan dan diberi vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar.
  • Mana-mana pengendali makanan yang tidak patuh boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjarakan tidak lebih 2 tahun.
  • “Pengendali makanan” termasuklah mereka yang:
    • Terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan
    • Menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan
    • Mengendalikan makanan yang berbungkus atau tidak dibungkus, atau perkakas dalam mana-mana premis makanan

Pengendali makanan: siapa mereka?

  • Tukang masak
  • Pekerja dapur
  • Pelayan
  • Pencuci
  • Pembungkus
  • Juruwang
  • Penghantar makanan

Kenapa pengendali makanan perlu divaksin?

5% daripada mereka yang dijangkiti tifoid menjadi pembawa tanpa gejala pada jangka masa yang panjang. Mereka boleh menjangkiti orang lain melalui pengendalian makanan sekiranya tidak divaksin.

Oleh itu, Bahagian Kesihatan Awam memandang berat kepentingan vaksinasi tifoid untuk pengendali makanan supaya mereka tidak mencetuskan kelompok kes tifoid dalam komuniti. Ini lebih-lebih lagi kerana tifoid tersebar melalui makan dan minuman.

Tambahan pula, terdapat peningkatan kes tifoid yang resistan terhadap antibiotik. Ini membuatkan rawatan tifoid jadi lebih mencabar.

Suntikan tifoid

Terdapat dua jenis vaksin tifoid:

  • Vaksin tifoid tidak aktif (vaksin Vi-polisakarida), diberikan sebagai suntikan
  • Vaksin tifoid hidup (vaksin Ty21a), diberikan sebagai ubat telan

Vaksinasi semula disyorkan setiap 3 tahun untuk vaksin Vi-polisakarida, dan setiap 3-7 tahun bagi vaksin Ty21a.

Pengendali makanan boleh mendapatkan vaksin daripada kebanyakan klinik dan hospital kerajaan dan swasta, serta di majlis perbandaran. Contohnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan satu dos vaksin tifoid pada harga RM60 untuk rakyat Malaysia. Kad vaksin yang sah selama 3 tahun juga diberi.

Pihak berkuasa sering mengingatkan pemilik perniagaan makanan, termasuk penjaja dan penjual di bazar, pasar malam dan peniaga dari rumah supaya mematuhi peraturan-peraturan ini. Malah, kebanyakan pihak berkuasa tempatan mensyaratkan pengendali makanan untuk mengambil vaksin tifoid sebelum meluluskan lesen perniagaan mereka. Namun, kesedaran dan pelaksanaan masih tidak mencukupi, terutamanya di kalangan peniaga kecil.

Selaras dengan usaha membanteras penularan tifoid, pengendali makanan, termasuk yang berniaga dari rumah, perlu sedar betapa pentingnya peranan mereka sebagai barisan hadapan dalam melawan tifoid dengan mendapatkan vaksin tifoid seperti yang diwajibkan oleh pihak berkuasa. Yang penting bukan sahaja makanan yang lazat, tetapi juga yang bersih dan selamat untuk semua.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan panduan keselamatan bagi produk makanan yang dijual dalam talian.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen