Pengasuhan Positif

Semua Yang Anda Perlu Tahu Tentang Vaksin Pneumokokus dalam NIP

Walaupun pandemik COVID-19 telah mencetuskan pelbagai kekacauan dan kekeliruan, setidaknya masih ada satu berita baik: pengenalan vaksin pneumokokus dalam program imunisasi kebangsaan (PIK) untuk kanak-kanak.

Parlimen telah meluluskan RM60 juta untuk program vaksinasi pneumokokus pada 2019, dan ia dijadualkan bermula pada Jun 2020. Namun, pelaksanaan program tersebut terpaksa ditangguhkan. Akhirnya, selepas lebih setahun, vaksin ini boleh didapati secara percuma di hospital dan klinik kerajaan.

Kenali vaksin ini

  • Vaksin konjugat pneumokokus (PCV) telah dipilih untuk PIK.
  • PCV memberikan perlindungan jangka panjang terhadap penyakit pneumokokus seperti penyakit pneumokokus invasif, radang paru-paru dan otitis media akibat jangkitan Streptococcus pneumoniae.
  • Ia diberikan kepada bayi dalam 3 dos (jadual 2p+1): 2 dos utama pada umur 4 dan 6 bulan, dan 1 dos penggalak pada umur 15 bulan.
  • Semua kanak-kanak yang lahir pada/selepas 1 Jan 2020 layak menerima vaksin ini secara percuma.

Bagi mematuhi kelaziman baharu dan mengelakkan kesesakan, ibu bapa dinasihatkan supaya membuat temujanji terlebih dahulu dengan klinik kerajaan untuk mendapatkan vaksin pneumokokus percuma untuk bayi mereka.

Selangkah ke hadapan

Pengenalan vaksin pneumokokus adalah satu perkembangan besar untuk PIK Malaysia. Ia adalah penambahan penting kerana kuman pneumokokus adalah penyebab utama pneumonia, bakteraemia (jangkitan salur darah), meningitis dan otitis media (jangkitan telinga tengah) di kalangan kanak-kanak kecil. Ia juga adalah hasil kerja advokasi oleh Persatuan Pediatrik Malaysia sejak tahun 2006.

Di peringkat global, penyakit pneumokokus merupakan punca utama kematian dan kesakitan akibat penyakit yang boleh dicegah vaksin di kalangan kanak-kanak bawah lima tahun. Pada 2015, hampir 10% kematian kanak-kanak bawah lima tahun dianggarkan berpunca daripada jangkitan pneumokokus. Di Malaysia, pneumonia adalah penyebab ketiga tertinggi bagi kematian bayi pada 2019, diikuti oleh meningitis di tempat keempat. Pneumokokus dikenali sebagai antara patogen utama yang menyebabkan kedua-dua penyakit tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesyorkan vaksin pneumokokus agar dimasukkan ke dalam jadual imunisasi rutin kanak-kanak sejak 2007. Banyak negara lain seperti USA, UK, Brazil, Colombia, Finland, Sweden, Kenya, Tunisia, Pakistan, Australia dan New Zealand telah pun menggunakan vaksin pneumokokus di dalam program mereka dan menunjukkan penurunan ketara kes penyakit pneumokokus invasif. Pada Mac 2020, 146 negara ahli WHO telah memperkenalkan PCV dalam PIK mereka.

Kini Malaysia bakal menyertai negara-negara ini dan seluruh warga akan mendapat manfaatnya. Program ini akan memberi lebih akses perlindungan untuk seluruh populasi dan perlahan-lahan membina imuniti kelompok. Seterusnya, golongan berisiko yang tidak divaksin, seperti warga tua berumur lebih 65 tahun, juga akan mendapat perlindungan tidak langsung terhadap pneumokokus. Vaksin pneumokokus juga penting dalam melawan peningkatan rintangan antibiotik.

Menjawab kerunsingan anda

1. Kenapa kita menggunakan jadual 2p+1, bukan 3p+0?

WHO mengesyorkan jadual 3 dos, sama ada 2p+1 atau 3p+0, dan menyatakan bahawa jadual 2p+1 dijangka mempunyai kelebihan kerana tahap antibodi lebih tinggi dapat dirangsang pada tahun kedua, semasa dos penggalak dijadualkan. Ini memberi perlindungan lebih baik yang boleh bertahan lebih lama.

2. Adakah liputan serotip mencukupi?

Satu kajian menunjukkan serotip 14, 6B, 6A, 19F and 19A merupakan serotip pneumokokus paling biasa muncul di Malaysia. PCV yang dipilih didapati dapat menghasilkan tindakbalas antibodi yang mencukupi untuk melindungi diri daripada kebanyakan serotip S. pneumoniae tersebut.

3. Bolehkah jenis vaksin ditukar apabila program/siri vaksin telah dimulakan?

Ini tidak digalakkan kecuali jika terdapat perubahan ketara dalam faktor yang menentukan pemilihan vaksin, seperti peningkatan kes serotip yang tidak diliputi oleh vaksin tersebut. Namun, mana-mana vaksin berkaitan yang ada harus digunakan untuk melengkapkan siri vaksin, jika jenis vaksin asal tidak tersedia atau tidak boleh diguna.

4. Bagaimanakah prestasi program vaksinasi pneumokokus di negara lain?

Pengenalan PCV untuk kanak-kanak dalam PIK seperti di Brazil dan Finland sejak 2010 telah menunjukkan penurunan ketara penyakit pneumokokus invasif melibatkan serotip vaksin pada 3 tahun pertama, dengan masing-masing melaporkan penurunan sebanyak 83.8% dan 92%.

Pengenalan PCV dalam PIK Malaysia adalah satu berita baik buat semua ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Generasi masa hadapan kini dilindungi daripada satu lagi penyakit yang boleh dicegah vaksin. Risiko yang dihadapi mereka semasa membesar makin berkurangan. Jika anda terlepas temujanji vaksin bayi anda, pakar perubatan keluarga boleh memberi jadual baru untuk bayi anda. Tetapkan temujanji vaksin untuk anak anda hari ini juga!

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen