Pengasuhan Positif

Makanan Tinggi Nutrien: Khasiat Dalam Setiap Suapan

Bagaimanakah anda memilih makanan untuk anak anda? Antara caranya adalah dengan memilih makanan yang tinggi kepadatan nutriennya. Makanan tinggi kepadatan nutrien penting untuk mengatasi masalah pengambilan makanan dan malpemakanan dalam kanak-kanak.

Kepadatan nutrien (nutrient density) merujuk kepada jumlah nutrien bermanfaat dalam suatu makanan, mengikut kadar isipadu, berat atau kandungan tenaganya. Makanan tinggi nutrien (tinggi kepadatan nutrien) mengandungi nisbah nutrien penting yang tinggi per kandungan tenaga. Sebaliknya, makanan tinggi tenaga (tinggi kepadatan tenaga) atau “kalori kosong” mengandungi lebih banyak kalori dan/atau lebih rendah nutrien bagi jumlah makanan yang sama.

Misalnya, bandingkan roti bijirin penuh dan roti putih. Kedua-duanya mengandungi sekitar 60 kcal dalam sekeping roti. Namun, sekeping  roti bijirin penuh mengandungi lebih serat, kalsium, zat besi, fosforus, kalium, vitamin B2 dan vitamin B3, dan kurang natrium berbanding sekeping roti putih. Ini bermakna, roti bijirin penuh lebih tinggi/padat dengan nutrien dan lebih berkhasiat untuk tubuh badan.

Contoh makanan tinggi nutrien termasuklah buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin penuh, susu dan produk tenusu, makanan laut, daging tanpa lemak dan ayam atau itik, telur, kekacang dan bijian.

Mengatasi masalah malpemakanan

Sesetengah kanak-kanak cerewet memilih makanan, makan kurang daripada sepatutnya atau mempunyai masalah lain. Jika tidak diatasi di peringkat awal, ia boleh membawa kepada masalah malpemakanan seperti obesiti, kurang berat badan, susut berat badan serta kebantutan.

Diet yang mengutamakan makanan tinggi tenaga (cth: minuman bergula, makanan goreng) mungkin membantu kanak-kanak tersebut menaikkan berat badan dengan cepat, tetapi tidak dapat memulihkan fungsi fisiologi dan imun kepada normal. Maka, kanak-kanak yang kurus boleh menjadi obes, tapi masih kekurangan nutrien.

Ramai kanak-kanak yang lebih berat badan juga mempunyai masalah kebantutan; ini menunjukkan mereka kekurangan nutrien yang diperlukan untuk proses tumbesaran. Pertambahan berat badan bukan satu-satunya penentu jika tumbesaran kanak-kanak tersebut adalah normal dan jika pemakanan mereka memuaskan atau tidak. Pertambahan ketinggian juga berperanan penting.

Oleh itu, makanan tinggi nutrien boleh membekalkan vitamin, mineral dan nutrien penting lain bagi memenuhi keperluan nutrien yang disarankan untuk tumbesaran optimum, serta mengikuti had kalori dan natrium. Diet kanak-kanak yang mengutamakan makanan tinggi nutrien ialah kunci untuk mencegah malpemakanan serta strategi penting untuk memulihkan sebarang masalah malpemakanan.

Nota tambahan

Kanak-kanak dengan masalah susut berat badan dan dengan masalah kebantutan mempunyai keperluan pemakanan berbeza. Kanak-kanak yang susut berat badan mempunyai berat-mengikut-tinggi yang rendah dan keperluan tenaga yang tinggi; maka, dia boleh diberi diet yang yang tinggi tenaga dan nutrien. Sebaliknya, kanak-kanak yang terbantut dengan tinggi-mengikut-umur yang rendah tidak semestinya memerlukan lebih tenaga; maka, diet yang tinggi tenaga boleh menyebabkan obesiti jika diberi kepadanya. Jika anda risaukan kesihatan dan tumbesaran anak anda, sila rujuk pakar pediatrik untuk langkah selanjutnya.

Rajah ini menunjukkan bahawa kedua-dua minuman mengandungi jumlah tenaga yang lebih kurang sama, tetapi susu mempunyai kepadatan nutrien yang lebih tinggi berbanding air tebu. Segelas susu mempunyai lebih protein, kalsium, kalium, fosforus dan vitamin berbanding segelas air tebu.

Makanan tinggi nutrien memastikan setiap suapan berkhasiat, dan setiap suapan adalah penting di usia muda. Dalam usaha kita mengatasi malpemakanan dan penyakit tidak berjangkit, pengambilan makanan tinggi nutrien merupakan langkah penting sebagai pelengkap amalan sihat yang lain, termasuklah pengambilan makanan yang seimbang dan sederhana, kepelbagaian dalam diet, serta pemantauan tumbesaran yang berterusan.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen