Pengasuhan Positif

Masalah Kebantutan di Era COVID-19

Adakah anak anda membesar secara optimum? Adakah anda sedar bahawa pandemik COVID-19 serta krisis sosioekonomi yang berkaitan boleh memburukkan lagi masalah malnutrisi kanak-kanak?

Tahun lalu, para pemimpin dari 4 buah agensi PBB (UNICEF, FAO, WFP dan WHO) dalam satu kenyataan memberi amaran bahawa isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak dijangka akan terus meningkat disebabkan COVID-19, dan menyeru agar tindakan segera diambil oleh pihak bertanggungjawab dan penggubal dasar. Selain isu berat badan berlebihan, obesiti, penyusutan badan (wasting) dan kekurangan mikronutrien, kebantutan (stunting) juga antara masalah utama yang dinyatakan.

Malah sebelum pandemik lagi, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan melaporkan peningkatan masalah kebantutan dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah daripada 17.7% pada 2015 ke 21.8% pada 2019. Ini bermakna 1 daripada 5 kanak-kanak di Malaysia mengalami kebantutan dan angka ini mungkin meningkat lagi akibat pandemik!

Apakah itu bantut?

Bantut merujuk kepada kegagalan untuk mencapai potensi tumbesaran sepenuhnya dari aspek ketinggian. Ini merupakan tanda-tanda biasa bagi masalah kekurangan pemakanan yang kronik dalam kanak-kanak. Menurut WHO, kanak-kanak dikira terbantut jika tinggi-untuk-umurnya adalah lebih daripada dua sisihan piawai di bawah median Piawaian Tumbesaran Kanak-Kanak.

Bantut berlaku akibat interaksi kompleks antara pelbagai faktor risiko. Pandemik yang berlaku kini boleh merumitkan keadaan. Berikut antara faktor-faktor penyebab:

  • Pemakanan dan kesihatan ibu yang kurang memuaskan
  • Penyusuan yang kurang mencukupi
  • Kekurangan pemberian makanan pelengkap
  • Kekurangan akses kepada makanan berkualiti
  • Jangkitan yang berulang
  • Kemiskinan isi rumah
  • Kebersihan (makanan, air, isi rumah)
  • Kekurangan dari segi penjagaan
  • Kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan
  • Kekurangan kesedaran ibu bapa

Kesan tumbesaran terbantut

Bantut semakin sukar dipulihkan apabila kanak-kanak semakin membesar. Ketinggian kanak-kanak yang hilang tidak boleh dikembalikan sekiranya tiada tindakan susulan diambil, tidak sama seperti berat yang boleh dinaikkan semula. Tambahan pula, pemakanan yang kurang berkualiti akan mempengaruhi tumbesaran, perkembangan otak dan kesihatan.

Jangka masa pendek

  • Peningkatan risiko kematian dan morbiditi
  • Jangkitan yang berulang
  • Kelewatan perkembangan

Jangka masa panjang

  • Kesan kekal ke atas tumbesaran dan perkembangan otak
  • Risiko penyakit metabolik semasa dewasa
  • Fungsi kognitif & keupayaan pembelajaran yang rendah
  • Pencapaian akademik yang lemah
  • Kurang produktif dalam sektor ekonomi
  • Peningkatan kos kesihatan
  • Kitaran malpemakanan dan kebantutan ke atas generasi seterusnya

Mengoptimumkan tumbesaran

Ketinggian ialah ciri yang boleh diwarisi, namun ketinggian ibu bapa bukan penentu utama ketinggian kanak-kanak. Kajian menunjukkan semua kanak-kanak mempunyai purata tumbesaran yang sama pada tahun-tahun awal tumbesaran, jika faktor tumbesaran adalah optimum seperti berikut:

1000 hari pertama (sejak kehamilan hingga umur 2 tahun)

  • Tempoh peluang yang terbaik
  • Penyusuan eksklusif untuk 6 bulan pertama
  • Amalan pemberian makanan pelengkap yang baik

Pemakanan yang baik

  • Anak: Diet yang pelbagai dan seimbang, kekerapan sajian harian yang sesuai
  • Ibu: Semasa kehamilan dan penyusuan untuk peringkat tumbesaran awal anak

Aktiviti fizikal yang mencukupi

  • Merangsang pengeluaran hormon tumbesaran
  • Menghasilkan serotonin, memperbaiki selera makan dan kualiti tidur

Kualiti tidur yang baik

  • Dengan masa dan tempoh yang sesuai

Menjejak tumbesaran anak anda

Dengan mengukur, merekod dan memantau tinggi dan berat anak anda, serta mengawasi pengambilan makanannya, ibu bapa boleh mengesan dan memulihkan sebarang masalah di peringkat awal sebelum ia menjadi semakin serius. Anda boleh mengambil langkah berikut, menggunakan aplikasi digital, atau dengan merujuk kepada doktor anda:

  • Mengambil ukuran secara berkala (menggunakan carta ketinggian dan penimbang berat)
  • Aplikasi penjejak tumbesaran
  • Diari makanan
  • Soalan saringan/senarai semak (cth. Kaedah Saringan Pemakanan Pediatrik atau Paediatric Nutrition Screening Tool, PNST)

Gangguan kepada perkhidmatan pemakanan dan kesihatan, ditambah lagi dengan krisis ekonomi semasa pandemik ini akan mengeruhkan masalah malnutrisi sekiranya tiada langkah diambil untuk mengatasinya dengan segera. Memastikan pemakanan yang baik untuk kanak-kanak dan ibu adalah perkara yang paling utama. Rujuk pakar jika ada sebarang kebimbangan. Nasihat pemakanan dan makanan tambahan mungkin diperlukan bagi mengatasi sebarang masalah tumbesaran.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen