Pengasuhan Positif

Jangan Lupa Tentang Flu!

Walaupun COVID-19 akan terus menjadi tumpuan di masa mendatang, kita tidak harus melupakan penyakit berjangkit lain yang masih menjadi ancaman kepada kesihatan dan kesejahteraan kita.

Contohnya influenza, ia mengakibatkan kes jangkitan dan kematian yang tinggi setiap tahun di seluruh dunia. Ia antara penyakit pernafasan yang paling mudah berjangkit dan virus influenza kekal aktif sepanjang tahun di kawasan bercuaca tropika seperti Malaysia – maka ia boleh berlaku bila-bila masa.

Bahaya masih ada

Sejarah telah membuktikan bagaimana influenza boleh mencetuskan bencana. Terdapat banyak contoh seperti: flu Sepanyol, juga dikenali sebagai pandemik influenza 1918 (1918-1920), yang menjejaskan 1/5 populasi dunia; pandemik flu Asia 1957-1958 akibat virus influenza A jenis H2N2 yang menyebabkan sekitar 1.1 juta kematian sedunia; serta pandemik flu burung pada 2009.

Malaysia turut sama terkesan dengan beberapa wabak tempatan, seperti wabak flu di Perak (Julai-Ogos 2003). Terdapat juga siri wabak di seluruh Malaysia pada Disember 2019 hingga Januari 2020 (sebaik sebelum COVID-19 melanda), di mana sekolah-sekolah di Selangor dan Pulau Pinang teruk terjejas, di samping beberapa kes di Perak, Terengganu, Johor dan Pahang.

Pantas tersebar

Virus influenza mudah tersebar kerana jangkitan melalui titisan – apabila seseorang dijangkiti (kanak-kanak atau orang dewasa) bernafas, bercakap atau bersin, mereka boleh menyebarkan virus. Kanak-kanak terutamanya, yang masih tidak faham tentang kepentingan menjaga kebersihan tangan, dan kurang suka memakai pelitup muka apabila sakit atau ketika bermain dengan rakan yang sakit. Ini meningkatkan risikonya dijangkiti influenza.

Bayi dan kanak-kanak kecil di pusat jagaan harian juga berisiko tinggi untuk dijangkiti. Pada usia ini, mereka amat bergantung pada pengasuh mereka dan kualiti jagaan yang disediakan pusat jagaan tersebut. Jika anak anda sakit, lebih baik jika dia diasingkan daripada rakan-rakannya. Jika anda bekerja sepenuh masa, anda atau pasangan mungkin perlu bekerja dari rumah atau mengambil cuti untuk menjaganya. Jika anda masih menghantarnya ke pusat jagaan, ini hanya akan mendedahkan kanak-kanak lain kepada risiko jangkitan.

Gejala flu tidak sukar untuk dikenal pasti. Antaranya ialah demam panas, kerap menggigil/rasa seram sejuk, sakit otot/sendi, keletihan, batuk, hidung berair/tersumbat, loya, muntah, cirit-birit, sakit kepala dan sakit kerongkong. Komplikasi yang dikaitkan dengan flu ialah pneumonia, resdung, jangkitan telinga dan dalam kes-kes tertentu, kematian.

Influenza BOLEH dicegah

Komplikasi influenza boleh jadi berbahaya dan tiada sesiapa mahu melihat anak mereka merana akibatnya. Pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kebersihan tangan dapat mengurangkan risiko jangkitan, tapi mendapatkan imunisasi influenza patut jadi keutamaan, lebih-lebih lagi bagi orang berisiko tinggi yang boleh mendapat komplikasi yang mengancam nyawa. Ini termasuklah kanak-kanak kecil yang mempunyai sistem imun yang belum matang, serta warga tua berumur lebih 60 tahun kerana sistem imun yang semakin lemah.

Ketika ini, imunisasi influenza belum termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan, maka ia sering dilupakan. Imunisasi influenza tahunan yang disarankan boleh diberi kepada bayi seawal umur 6 bulan, jadi bertanyalah kepada doktor anak anda (serta doktor anda) untuk mengetahui lebih lanjut tentang imunisasi tersebut dan mendapatkannya untuk keluarga anda (termasuk anda dan ibu bapa anda).

Jangan mencuba nasib

Sistem imun kanak-kanak masih tidak matang semasa baru dilahirkan dan mengambil masa untuk berkembang. Oleh itu, bayi dan kanak-kanak kecil sangat terdedah kepada penyakit. Imunisasi boleh mencegah penyakit dengan merangsang sistem imun untuk membina pertahanan terhadap penyakit tertentu yang disasarkan oleh vaksin tersebut.

Pandemik COVID-19 telah mengajar kita pelbagai kaedah yang mudah dan berguna untuk menghalang penyebaran penyakit. Semoga apa yang kita pelajari pada tahun lepas akan terus diamalkan pada masa depan kerana penyakit seperti COVID-19 dan influenza amat berbahaya jika seseorang yang lemah dijangkiti.

Bagi kanak-kanak, influenza boleh jadi parah kerana ia menyebabkan komplikasi teruk dan membawa maut. Maka, jangan cuai! Berikan imunisasi influenza kepada anak anda. Anda mungkin boleh menyelamatkannya.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen