Pengasuhan Positif

Imuniti Kelompok: Perlindungan Untuk Semua

Dunia telah merekodkan bilangan pesakit COVID-19 yang semakin meningkat saban hari dan perlumbaan mengejar masa dalam pencarian vaksin amat sengit. Salah satu terma yang hangat dibincangkan ialah “imuniti kelompok”. Mari ketahui lebih lanjut mengenainya.

Vaksinasi melindungi individu yang telah divaksin secara langsung daripada sesuatu jangkitan. Ia juga telah dibuktikan dapat memberikan perlindungan tidak langsung kepada orang yang tidak divaksin. Ini dipanggil imuniti kelompok/komuniti yang merupakan salah satu aspek penting dalam kawalan wabak.

Baru-baru ini, terdapat gesaan daripada sesetengah pihak untuk membiarkan pandemik ini berleluasa supaya populasi boleh mendapat imuniti kelompok secara “semula jadi”. Kita perlu faham dan sedar bahawa cadangan ini ialah satu salah faham yang serius terhadap konsep imuniti kelompok sebenar.

Konsep sebenar

Untuk memahami imuniti kelompok, kita perlu mengetahui beberapa terma. Pertama, kita harus tahu kebolehjangkitan penyakit, yang diungkapkan dengan nombor reproduksi asas (R0 atau R-nol). Ia bermaksud jangkaan bilangan jangkitan baru yang dihasilkan oleh seorang individu dijangkiti dalam satu populasi yang terdedah sepenuhnya tanpa langkah kawalan.

Sebagai contoh, penyakit berjangkit dengan R0 = 4 bermakna 1 kes dijangka akan menjangkiti 4 orang lain. Lebih tinggi nilai R0, lebih mudah penyakit itu berjangkit. Nilai R0 adalah unik untuk penyakit berlainan dan mungkin berbeza merentas populasi dan masa, bergantung kepada pelbagai faktor.

Nilai R0 menentukan nilai ambang imuniti kelompok (herd immunity threshold, HIT), iaitu tahap minimum liputan vaksinasi atau individu imun yang perlu dicapai dalam populasi untuk menghasilkan imuniti kelompok terhadap sesuatu penyakit berjangkit. Cara mudah untuk mengira HIT adalah HIT = 1 – 1/R0.

Jadi, untuk menghasilkan imuniti kelompok terhadap penyakit dengan nilai R0 = 4, sekurang-kurangnya ¾ atau 75% populasi perlu mempunyai imuniti. Pengiraan ini berdasarkan anggapan bahawa individu yang belum dan telah dijangkiti dalam populasi terdedah kepada satu sama lain dan jangkitan tersebar dengan cara sama.

Contoh penyakit berjangkit dengan nilai anggaran R0 dan HIT

Kesimpulannya, lebih mudah penyakit itu berjangkit, lebih tinggi nilai R0, maka lebih tinggi nilai HIT dan lebih ramai orang perlu divaksin untuk menghasilkan imuniti kelompok.

Manfaat optimum

Antara faktor lain yang berperanan penting untuk memastikan imuniti kelompok yang optimum boleh tercapai melalui vaksinasi ialah:

  • Keberkesanan tinggi vaksin. Ini penting untuk mendapatkan imuniti kelompok optimum. Keberkesanan vaksin berbeza antara populasi dan kawasan berlainan. Namun, bukan semua vaksin boleh memberi imuniti sepanjang hayat dan ini boleh menjejaskan imuniti kelompok. Kesan imuniti yang menurun boleh dikawal dengan meningkatkan liputan vaksinasi atau mengambil suntikan penggalak.
  • Pengurangan potensi penyebaran (atau daya jangkitan) dengan vaksinasi. Vaksinasi perlu menyasarkan sumber utama jangkitan, iaitu kumpulan yang paling berkemungkinan mendapat dan menyebarkan jangkitan. Liputan vaksin yang rendah antara golongan ini boleh menjejaskan imuniti kelompok, walaupun liputan seluruh populasi tinggi. Ini juga bergantung kepada cara penyebaran wabak itu.
  • Pengambilan vaksin yang wajar (liputan, pengagihan, masa). Imuniti kelompok optimum lebih mudah dicapai apabila liputan vaksin lebih tinggi. Antara faktor lain ialah pengagihan yang wajar dengan tumpuan kepada kumpulan yang amat terdedah (cth: pekerja kesihatan) dan lemah (cth: bayi, orang tua). Ketepatan masa menerima vaksin juga menentukan keberkesanan program vaksinasi serta imuniti kelompok.

Kisah kejayaan!

Di United Kingdom, kes penyakit pneumokokus invasif (IPD) di kalangan warga emas berumur 65 tahun ke atas yang tidak divaksin telah menurun sebanyak 81% selepas vaksin konjugat pneumokokus (PCV) dimasukkan ke dalam imunisasi rutin bayi berumur bawah 2 tahun. Semoga perlaksanaan program vaksinasi pneumokokus di negara kita yang bermula Disember ini akan memberi impak yang sama!

Kepentingan imuniti kelompok

Kes senario terbaik adalah untuk mendapat 100% liputan dan keberkesanan vaksin, tapi realiti tidak semestinya begitu. Tiada vaksin yang 100% berkesan dan terdapat orang yang tidak boleh divaksin atau tidak mampu menghasilkan imuniti yang kuat daripada vaksin.

Ini termasuklah bayi baru lahir, orang yang alah terhadap sesetengah vaksin, yang mempunyai sistem imun yang lemah, atau warga tua dengan penyakit kronik. Di sinilah imuniti kelompok berperanan untuk memberi perlindungan kepada golongan ini.

Imuniti kelompok yang optimum melalui vaksinasi juga boleh mengawal kesan imuniti yang menurun. Perlindungan daripada sesetengah vaksin boleh jadi lemah selepas tempoh waktu yang tertentu, contohnya: vaksinasi pertusis mula lemah selepas 2 tahun. Ini boleh menyebabkan pendedahan kepada jangkitan melainkan terdapat imuniti kelompok dan kadar pengambilan vaksin yang tinggi.

Siapa lagi yang perlu divaksin?

Selain golongan lemah, antara kumpulan yang perlu divaksin:

  • Keluarga dan orang yang rapat dengan golongan lemah
  • Penjaga kanak-kanak, orang tua dan pesakit
  • Pekerja hospital/kesihatan

Apabila anda divaksin, anda bukan saja melindungi diri sendiri, tapi juga keluarga tercinta serta golongan lemah dalam populasi. Dengan ini, terbukti bahawa vaksinasi adalah penting dan cara paling selamat untuk mencapai imuniti kelompok!

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen