Pengasuhan Positif

Cara Memotivasikan Anak Anda

Adakah anda selalu memberikan anak anda ganjaran kerana mendapat keputusan cemerlang di sekolah? Ini satu cara untuk memotivasikannya untuk mencapai sasaran tertentu. Tapi apakah kaedah terbaik untuk memotivasikan anak anda?

Motivasi ialah proses atau sebab yang mendorong tingkah laku kita dan menentukan pilihan kita. Terma ‘motivasi’ berasal daripada perkataan Latin movere, yang bermaksud ‘gerak’ – ia menggerakkan kita untuk mencapai cita-cita dalam hidup. Setiap ibu bapa mahu anak-anak mereka berjaya; motivasi yang kuat penting untuk tujuan itu.

Intrinsik & ekstrinsik

Pelbagai teori telah dicadangkan untuk menjelaskan motivasi. Menurut teori insentif, motivasi terbahagi kepada dua.

  • Motivasi intrinsik datang dari naluri seseorang yang terdorong untuk mencapai ganjaran dalaman seperti kepuasan diri, keseronokan atau kemajuan diri. Contohnya: belajar suatu subjek kerana anda rasa ia mengagumkan atau menyelesaikan teka-teki untuk mencabar diri.

  • Motivasi ekstrinsik datang dari luar dan melibatkan ganjaran luaran seperti markah tinggi, duit, hadiah atau pujian. Contohnya: belajar bersungguh-sungguh kerana mahukan markah yang bagus atau menyelesaikan  untuk dapatkan hadiah.

Motivasi intrinsik sering dianggap lebih baik daripada motivasi ekstrinsik. Kanak-kanak bermotivasi intrinsik selalunya lebih melibatkan diri secara aktif dalam kelas dan dapat memahami topik baru dengan lebih mendalam. Motivasi ini juga bertahan lebih lama, membawa perubahan jangka panjang, dan menyumbang kepada kesejahteraan mental.

Ganjaran: ya atau tidak?

Kesan berbeza daripada kedua-dua jenis motivasi telah dibuktikan dalam beberapa kajian. Dalam satu kajian, sekumpulan kanak-kanak tadika diberitahu mereka akan dihadiahkan sijil yang cantik jika mereka melakukan satu aktiviti melukis. Dua kumpulan lain diberi hadiah itu sebagai kejutan selepas aktiviti atau tidak diberi apa-apa. Kumpulan pertama didapati kurang berminat dengan aktiviti tersebut berbanding dua kumpulan lain.

Fenomena ini digelar kesan pewajaran berlebihan (overjustification effect), di mana ganjaran luaran yang berlebihan boleh mengurangkan motivasi intrinsik jika sesuatu perbuatan itu sudah mempunyai ganjaran dalaman. Dalam kajian di atas, aktiviti melukis biasanya menyeronokkan bagi kanak-kanak. Tetapi apabila ganjaran ditawarkan, aktiviti “bermain” mungkin terasa seperti “bekerja”, lalu mengurangkan faktor keseronokan.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna motivasi ekstrinsik tiada peranan dalam perkembangan kanak-kanak. Apabila diterapkan secara berstrategi, ia boleh menggalakkan kanak-kanak untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang kurang menarik atau memberi motivasi agar mereka mempelajari kemahiran baru. Ganjaran luaran juga boleh menjadi petunjuk bahawa mereka telah melakukan tugas yang baik dan layak diberi penghargaan.

Memupuk motivasi intrinsik

Motivasi ini telah sedia ada sejak awal, apabila bayi menunjukkan rasa ingin tahu terhadap objek dan pengalaman baru. Anda boleh memupuk motivasi intrinsik sejak kecil dengan cara-cara ini.

  • Rangsang rasa ingin tahu. Satu perkara yang sukar bagi ibu bapa adalah untuk membenarkan anak-anak meneroka dan mengambil risiko. Selagi mana ia tidak keterlaluan, berilah dia peluang untuk menentukan apa yang mahu dibuat. Apabila anak anda melontar sesuatu ke atas lantai atau membongkar sesuatu, dia sebenarnya cuba mempelajari kesan perbuatannya. Rasa ingin tahu dan penerokaan berterusan sepanjang zaman kanak-kanak (dan patut berterusan hingga dewasa!) dan boleh mendorong pembelajaran secara berdikari.
  • Galakkan dia bermain. Bermain memudahkan pembelajaran kerana ia menambah motivasi. Bermain boleh memperkaya sesuatu pengalaman dari segi emosi. Ia menggalakkan penglibatan aktif dan mengurangkan stres, yang mana penting untuk mengekalkan motivasi seseorang.
  • Sokong agar dia berdikari. Apabila memberikan tugas kepada anak anda, beri pilihan jika boleh dan jadi fleksibel. Biar dia tentukan cara dia mahu lakukannya. Dia akan jadi lebih bermotivasi dan bersemangat jika dia terlibat secara aktif, dan tugas itu jadi lebih bermakna.
  • Bahagikan sasaran. Sasaran lebih kecil akan lebih mudah dicapai, lalu mendatangkan kejayaan berterusan. Ini menanam cara fikir yang menyokong pertumbuhan dan menggalakkan motivasi intrinsik yang berterusan. Anak anda juga akan belajar cara untuk mencapai sasaran utama dengan menetapkan sasaran jangka pendek dahulu. Ini memupuk etika kerja yang sihat yang pasti berguna dalam hidupnya kelak.
  • Puji proses. Pujian akan menjadi ganjaran verbal jika anda cuma fokus pada hasil. Namun, memuji usaha dan kesungguhan anak anda akan mengajar bahawa usaha lebih penting untuk kejayaan seseorang berbanding kebolehan atau bakat semata-mata.

Nilai yang dipupuk menggunakan semua strategi ini boleh membantu anak anda menjadi tekun, cekal dan berani dalam mencapai perkara penting dalam hidupnya. Inilah motivasi intrinsik.

Namun, motivasi ekstrinsik juga mempunyai peranan dalam mendorong anak anda. Sebagai pembimbing anak anda, fahami bagaimana kedua-dua jenis motivasi boleh memberi kesan pada kelakuannya dan belajar menggabungkannya untuk mendapatkan hasil terbaik daripada anak anda. Tetapi, jika dia tidak mencapai sasaran walaupun telah berusaha, anda mungkin perlu merujuk pakar untuk melihat sekiranya terdapat halangan, seperti ketidakupayaan pembelajaran atau masalah perkembangan, yang memerlukan sokongan tambahan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen