Pengasuhan Positif

Pusat Berpantang: Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Kebimbangan terhadap peningkatan pusat berpantang di Malaysia dikupas dalam Pengasuhan Positif Isu 2/2019. Dan kini kita akan mengupas perkara yang harus diketahui semasa memilih pusat berpantang.

Selepas bersalin, ibu boleh memilih untuk menjalani tempoh berpantang atau tidak. Berpantang ialah amalan tradisional yang membantu ibu berehat dan pulih secara fizikal dan emosi, serta mempersiapkan mereka sebagai seorang ibu. Amalan khusus bergantung kepada budaya seseorang, tetapi biasanya para ibu akan dinasihatkan untuk berada di dalam rumah sepanjang tempoh berpantang dan harus mematuhi keperluan pemakanan tertentu.

Kini, para ibu ada pilihan untuk melalui tempoh berpantang di pusat berpantang swasta, bukan dengan pembantu pantang di rumah. Dengan mendaftar di pusat berpantang, para ibu mempunyai seseorang yang bersedia untuk menjaga dan membantu mereka sepanjang masa. Anda juga boleh bertemu dan meluangkan masa dengan ibu lain, agar pengalaman berpantang anda tidak begitu terasing. Kebanyakan pusat berpantang juga menyediakan kelas untuk mempersiapkan para ibu dengan asas penjagaan bayi.

Bagaimanapun, seperti yang disebut dalam artikel sebelum ini, terdapat beberapa kebimbangan berkenaan status dan peraturan berkaitan pusat berpantang yang samar. Selain itu, pusat berpantang yang bagus lebih mahal berbanding pembantu pantang. Dan bukan semua pusat berpantang mempunyai polisi yang sama, oleh itu, penting untuk membandingkan setiap pusat. Pusat yang beroperasi di kediaman persendirian juga bukanlah pilihan yang ideal kerana ia mungkin tidak memenuhi keperluan tertentu untuk beroperasi sebagai pusat penjagaan kesihatan.

Apa yang perlu diperiksa?

Jika anda memutuskan untuk menjalani tempoh berpantang di pusat berpantang, ada beberapa perkara yang harus diperiksa sebelum mendaftar.

Pakej

  • Pakej berpantang yang standard biasanya turut disertakan dengan tempat tinggal, makanan, kakitangan sokongan dan perkhidmatan dobi.
  • Periksa tempat tinggal yang disediakan kepada anda dan bayi, dan sama ada anda akan diberikan bilik persendirian atau berkongsi.
  • Adakah produk berpantang, barangan bayi dan perkara lain seperti kelas atau sesi urutan turut disertakan dalam pakej itu? Jika tidak, bersedialah untuk membayar lebih atau menyediakan barangan yang mungkin diperlukan nanti supaya anda tidak perlu membayar kos tidak diingini.

Kakitangan

  • Kakitangan sokongan, termasuklah pembantu pantang, jururawat dan bidan, biasanya sedia berkhidmat 24 jam sehari di pusat itu.
  • Pastikan ada pakar pediatrik atau obstetrik sepenuh masa di pusat itu.
  • Jurumasak dan kakitangan dapur terlatih dalam penyediaan dan kebersihan makanan.
  • Tenaga pengajar bagi kelas atau sesi tambahan ialah profesional yang berkelayakan.
    Nota: Ketika ini, pusat berpantang tidak berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan hanya diiktiraf sebagai perniagaan. Ibu bapa perlu meneliti kontrak mereka sebelum mendaftar masuk ke pusat berpantang.

Dasar

  • Pastikan pusat itu menyokong dan mengutamakan penyusuan susu ibu. Mereka tidak seharusnya memberi tekanan kepada para ibu untuk menggunakan susu formula.
  • Adakah suami dibenarkan tinggal bersama isteri? Jika tidak, semak waktu melawat.
  • Periksa jika pusat itu mempunyai cara yang khusus dalam penjagaan bayi. Contohnya, adakah bayi diberikan puting? Adakah terdapat jadual pemberian susu yang tetap? Adakah cara mereka fleksibel atau sesuai dengan pendirian anda, dan adakah mereka terbuka dengan cadangan?
  • Ketahui dasar pusat itu berkenaan amalan berpantang tertentu yang mungkin sudah lapuk.
  • Pusat itu harus menyediakan perjanjian yang merangkumi sebarang kes pertikaian atau kejadian tidak diingini. Dari segi undang-undang, pusat berpantang hanya dianggap perniagaan umum, sama seperti pusat kecantikan atau spa. Pusat berpantang tidak diawasi oleh mana-mana undang-undang khusus seperti Akta Penjagaan Kanak-kanak 1984, yang mengawal pusat penjagaan kanak-kanak.
  • Periksa sebarang dakwaan yang dibuat oleh pusat berpantang itu, contohnya bilik bayi yang disterilkan (betapa steril?), pegawai berkelayakan (disahkan oleh siapa?), dan sebagainya.

Kemudahan

  • Pusat itu harus mampu menguruskan sebarang kecemasan.
  • Mereka bersedia untuk memenuhi pelbagai keperluan para ibu. Bagaimanapun, jika pusat itu dan kakitangan mereka berkelayakan sekali pun, mereka tidak dibenarkan untuk mengendali alatan perubatan jika tidak berdaftar di bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
  • Ketahui jumlah penghuni yang biasanya ada pada satu-satu masa dan sama ada anda selesa dengan jumlah itu.

Kerajaan masih belum mengeluarkan panduan dan peraturan khusus untuk pusat berpantang. Jika anda merancang untuk menjalani tempoh berpantang di pusat berpantang, anda dinasihatkan untuk melakukan sedikit kajian sebelum membuat keputusan. Kementerian Kesihatan juga menyediakan penjagaan selepas bersalin dan lawatan rumah oleh jururawat untuk mengawasi status ibu dan bayi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen