Pengasuhan Positif

Anak Cerewet Makan: Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan?

Cerewet makan ialah satu masalah biasa bagi kanak-kanak. Menurut kajian, kadar prevalens di seluruh dunia bagi cerewet makan adalah antara 6% ke 50%. Adakah anak anda cerewet makan?

Cerewet atau memilih makan ialah keengganan mencuba makanan baru atau mempunyai kecenderungan kuat terhadap suatu jenis makanan. Kelakuan cerewet makan biasanya akan hilang apabila kanak-kanak membesar. Namun jika tidak diberi perhatian, kelakuan ini boleh memberi kesan pada diet mereka, lalu mengakibatkan masalah tumbesaran dan perkembangan. Mari lihat beberapa soalan yang sering ditanya.

Kenapa anak saya cerewet apabila makan?

Masalah ini muncul daripada interaksi pelbagai faktor, dan bukannya satu punca sahaja, sama ada neofobia makanan (takut makanan baru), sejarah trauma makanan (cth: tercekik), tabiat pemakanan ibu bapa, kaedah dan kawalan pemberian makanan (terlalu tegas atau sambil lewa), sensitiviti rasa yang tinggi, dll. Cerewet makan juga dikaitkan dengan cara pemberian makanan pelengkap yang salah, cth: memberi makanan pelengkap terlalu awal sebelum umur 6 bulan. Punca-punca lain adalah masalah kesihatan tersembunyi, seperti masalah motor oral, penyakit refluks gastroesofagus (GERD) dan alahan.

Bagaimana ia boleh menjejaskan diet dan tumbesaran anak saya?

Cerewet makan boleh menyebabkan kurangnya kepelbagaian makanan dalam diet, kerana kanak-kanak cuma makan jenis makanan yang sama. Kurang pengambilan sayur, buah atau daging akibat masalah ini akan menyebabkan diet tidak seimbang dan kekurangan nutrien yang penting untuk tumbesaran dan perkembangan seperti protein, serat dan mikronutrien (contohnya zat besi dan zink). Oleh itu, masalah berat dan tumbesaran seperti kurang berat, terlebih berat dan kebantutan mungkin berlaku. Terdapat juga risiko masalah kesihatan lain, seperti cirit-birit, masalah gigi, malah masalah pemakanan lain di masa depan.

Apa yang saya boleh buat?

Berikut adalah beberapa cadangan untuk membantu anak anda mencuba pelbagai makanan:

  • Sediakan makanan bersama-sama. Biarkan dia pilih sayur untuk dimasak dan berikan tugasan dapur yang mudah dan sesuai dengan umur dan kemahiran motornya. Pendedahan kepada pelbagai bahan masakan boleh menggalakkannya untuk mencuba makanan baru.
  • Kreatif dengan resipi. Gabungkan makanan yang dia sudah biasa atau gemar dengan makanan baru atau yang dia kurang gemar. Hidangkan makanan baru dengan warna, rasa atau tekstur yang sama dengan makanan kegemarannya.
  • Hidangkan makanan sama untuk seluruh keluarga. Anak anda tidak perlu hidangan “istimewa”, tapi sertakan juga makanan yang dia boleh terima. Ini peluang untuk menunjukkan contoh pemakanan sihat.
  • Hadkan snek dan makan mengikut masa. Jangan beri snek terlalu dekat dengan masa makan kerana ini boleh menurunkan selera makannya.
  • Puji anak anda kerana mencuba makanan baru, dan terus hidangkan makanan itu secara kerap atau dalam cara berlainan. Tapi jangan beri ganjaran atau “rasuah” kerana cubaannya.
  • Tawarkan saiz hidangan kecil. Hias hidangannya dengan cara yang menarik dan berwarna-warni agar makanan kelihatan lebih menyelerakan (cth: kotak bento). Kanak-kanak juga suka makanan cekut (finger food).

Saya kecewa melihat anak saya asyik meragam semasa makan. Patutkah saya berikan saja apa yang dia mahu?

Tawarkan dua pilihan sihat kepadanya dan biar dia pilih salah satu. Namun, jangan paksa atau menghukumnya jika dia enggan makan. Ingat peraturan mudah ini: ibu bapa tentukan apa yang dihidang dan anak pilih apa yang mahu dimakan. Terus tawarkan pelbagai pilihan makanan baru kepadanya. Anda mungkin perlukan 20 kali percubaan sebelum dia menerimanya. Kekal konsisten, tapi anda boleh selang-selikan percubaan.

Bagaimana saya boleh pastikan si cerewet saya membesar dengan baik?

Satu cara mudah adalah dengan sentiasa memantau tinggi dan beratnya untuk mengesan perubahan mendadak dalam tumbesarannya. Carta tumbesaran WHO (berat-mengikut-umur dan tinggi-mengikut-umur) boleh didapati di laman web kami. Jangan panik jika tinggi atau beratnya seperti berada di bawah lengkung tumbesaran yang disyorkan. Selagi mana corak tumbesarannya progresif dan meningkat, dia masih dikira membesar dengan baik. Diari makanan boleh diguna untuk melihat jika dia mengambil makanan dan nutrien secukupnya. Pengesanan awal adalah penting untuk menangani masalah tumbesaran dan mengelakkannya menjadi masalah seumur hidup. Rujuk pakar jika anak anda tidak bertambah berat (sedikit/tiada pertambahan) atau berkurangan berat badan.

Apa lagi yang boleh saya sertakan dalam dietnya?

Susu harus jadi sebahagian daripada diet harian bagi kanak-kanak membesar untuk menyumbang kepada keperluan tenaga dan nutriennya. Anak yang cerewet makan mungkin kekurangan nutrien penting, oleh itu susu tepung rumusan kanak-kanak, yang diperkaya dengan pelbagai nutrien dan komponen makanan lain boleh dijadikan sebahagian diet hariannya. Namun, anda perlu ingat susu tidak boleh dijadikan pengganti makanan hariannya. Teruskan mengikuti petua di atas untuk menambah baik diet anak anda.

Diet sihat yang seimbang dan pelbagai penting untuk tumbesaran anak anda. Selain itu, memeriksa berat dan tingginya secara kerap serta memantau tabiat pemakanannya juga penting. Masalah cerewet makan boleh diatasi jika anda berusaha untuk menanganinya. Rujuk pakar kesihatan jika masalah ini masih sukar diatasi atau anda risau tentang tumbesaran anak anda.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen