Pengasuhan Positif

Lemak Menyokong Pembelajaran, Tumbesaran & Perkembangan Kanak-Kanak

Bukan semua lemak tidak baik untuk kesihatan. Terdapat sesetengah jenis lemak sihat yang penting untuk keperluan pemakanan anak anda, dan ada lemak yang menyokong perkembangan tumbesaran dan pembelajaran.

Ibu bapa perlu pastikan anak mereka menerima makronutrien dan mikronutrien yang mencukupi dalam diet mereka. Ini adalah kerana kekurangan nutrien atau zat makanan boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan dan perkembangan, termasuk kerencatan tumbesaran, lesi kulit dan hati berlemak.

Lemak sering dikaitkan dengan penambahan berat badan dan obesiti, namun terdapat jenis lemak yang berbeza dengan fungsi berlainan. Tubuh kita memerlukan lemak supaya fungsi fisiologi tertentu dapat berjalan dengan lancar, contohnya membantu proses penghadaman serta membantu tubuh kita menyerap dan mengangkut vitamin A, D, E dan K.

Anak anda memerlukan lemak sihat

Pemakanan sihat adalah penting bagi menyokong perkembangan otak yang optimum dan mencapai hasil kognitif yang positif. Lemak ‘sihat’ memainkan peranan penting kerana ia padat dengan kalori iaitu mengandungi dua kali ganda kalori daripada karbohidrat.

Menyediakan lemak yang mencukupi (tetapi tidak berlebihan) dalam diet anak anda adalah penting untuk menyokong tumbesaran dan perkembangan. Asalkan pengambilan lemak yang mencukupi diamalkan, anda tidak perlu terlalu bimbang kerana anak yang aktif tetap akan menerima kebaikannya; ini kerana perut mereka kecil dan mereka makan dalam kuantiti lebih kecil berbanding orang dewasa.

Asid Lemak Perlu & Otak

Otak manusia terdiri daripada hampir 60% lemak dan pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa asid lemak amat diperlukan untuk perkembangan dan fungsi otak yang baik. Ini antara peranan lemak sihat serta nutrien yang penting selain daripada membekalkan kalori.

Pilih lemak yang betul

Makanan manakah yang mengandungi jenis lemak yang betul? Secara amnya, lemak boleh dibahagikan kepada dua jenis utama:

Lemak tepu

  • Ini jenis yang “tidak sihat” dan biasanya didapati di bahagian berlemak pada daging dan ayam/itik (contohnya kulit ayam), minyak sapi, mentega, minyak kelapa, santan, kek dan biskut.
  • Pengambilan yang berlebihan tidak disyorkan kerana boleh meningkatkan aras kolesterol dan trigliserida dalam jangka panjang, lalu mengakibatkan arteri tersumbat dan meningkatkan risiko penyakit jantung.

Lemak tidak tepu

  • Ini ialah lemak “sihat” yang terdiri daripada lemak politaktepu atau monotaktepu. Lemak jenis ini menyediakan vitamin, antioksidan dan asid lemak perlu yang tidak boleh dihasilkan oleh tubuh kita.
  • Didapati dalam sumber tumbuhan seperti kekacang, bijian, minyak sayuran dan ikan.

Menyokong tumbesaran, perkembangan & pembelajaran

Lemak tidak tepu adalah penting dan harus dibekalkan ke dalam diet anak anda dalam kuantiti yang sederhana. Contohnya, asid lemak politaktepu (PUFA) merupakan komponen utama untuk mata dan otak manusia; jika anak anda tidak menerima bekalan asid lemak penting yang mencukupi, prestasi kognitif dan kelakuannya boleh terganggu.

PUFA (cth: omega 3 & 6, DHA, ALA) tidak boleh dihasilkan oleh tubuh tetapi diperlukan untuk pembelajaran, tumbesaran dan perkembangan. Sumber PUFA dalam makanan termasuk:

  • Ikan/makanan laut seperti ikan yang berminyak (salmon, tuna, sardin) dan ikan laut (seperti kembung dan siakap), minyak ikan dan kerang-kerangan (kerang, tiram).
  • Bijirin tumbuhan dan kekacang, seperti kacang dal atau kacang tanah.
  • Makanan diperkaya: susu, jus buah atau telur yang diperkaya dengan omega-3.

Membran globul lemak susu (atau MFGM, membran yang menyelaputi titisan lemak) yang diperkaya dalam susu rumusan kanak-kanak juga sumber PUFA yang baik. MFGM ialah membran protein-lemak kompleks yang mengelilingi globul lemak dalam susu. Kajian menunjukkan ada banyak manfaat kesihatannya, termasuk menyokong perkembangan sistem imun semula jadi dan bolehsuai. Ia juga berperanan penting dalam menyokong perkembangan saraf serta membentuk mikrobiota usus dan sistem imun yang sedang matang.

Membesar dengan kuat

Ibu bapa perlu sentiasa ingat bahawa tiada makanan tunggal yang boleh menyokong tumbesaran dan perkembangan anak. Jadi, elakkan daripada terlalu menumpukan pada hanya satu nutrien tertentu. Keperluan pemakanan anak anda patut bergantung pada gabungan pelbagai jenis makanan yang sihat termasuk makanan yang mengandungi lemak baik, sambil mengurangkan pengambilan lemak tidak sihat, yang biasa terdapat dalam makanan bergoreng.

Diet sihat yang berkhasiat patut berpandukan prinsip asas seperti keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian (BMV) dan hidangan makan utama haruslah berdasarkan Piramid Makanan Malaysia. Ini harus disokong dengan asas kesihatan baik yang lain seperti tidur yang mencukupi dan gaya hidup aktif setiap hari.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen