Pengasuhan Positif

Cara-cara Untuk Berkawan

Berkawan mungkin kelihatan seperti sesuatu yang mudah dan senang tetapi ia mungkin mencabar bagi sesetengah kanak-kanak. Dan seperti mana-mana hubungan yang lain, mengekalkan persahabatan juga memerlukan usaha.

Rakan pertama kanak-kanak biasanya ialah adik-beradik mereka, diikuti dengan sepupu atau jiran, kemudian rakan sekelas di pusat jagaan dan tadika. Setiap kanak-kanak mempunyai perangai dan perwatakan yang berlainan. Kanak-kanak yang senang mesra juga memerlukan masa untuk menjadi rapat dengan yang lain dan menjalinkan persahabatan. Kanak-kanak yang paling berkeyakinan pun mungkin menghadapi kesukaran berkawan, terutamanya jika pendekatan mereka keterlaluan terhadap kanak-kanak yang pendiam. Mujurlah, berkawan adalah kemahiran yang boleh dikembangkan, dan ibu bapa berperanan besar dalam mengajar kanak-kanak cara untuk berkawan.

Galakkan kemahiran sosial

Ibu bapa boleh bermula dengan membantu anak membina kemahiran sosial yang diperlukan, dan ini termasuklah kemahiran berbual, kawalan emosi dan kemahiran interpersonal. Kanak-kanak yang bagus dalam kemahiran interpersonal seperti rasa empati, mengambil sudut pandangan yang berbeza dan membuat pertimbangan moral selalunya adalah popular dan disukai rakan-rakan mereka.

Terdapat tiga aspek utama dalam membantu anak anda:

  • Jadilah jurulatih emosi. Berbual dengan anak anda tentang perasaannya menggunakan pendekatan yang mengerti dan membantu. Ini membolehkan dia belajar tentang emosi dan mengawalnya dengan lebih baik, dan akan meningkatkan empati dan kebolehan mengambil berat tentang orang lain. Komunikasi terbuka juga memberi anda peluang untuk mendalami pengalaman emosi anak anda dalam dunia sosialnya.
  • Amalkan pengasuhan autoritatif. Selitkan perbincangan dan penerangan tentang peraturan kerana ini dapat membantu membentuk tingkah laku dalam konteks hubungan yang rapat. Kanak-kanak yang dibesarkan sebegini selalunya lebih berdikari, kurang agresif dan pandai mengawal diri ketika berinteraksi dengan orang lain.
  • Jadilah teladan yang baik dalam komunikasi berkesan. Selain daripada melibatkan anak dalam perbualan dua hala, berlatih mendengar kata-kata anak secara aktif – ini termasuklah memberikan pandangan mata yang bersesuaian dan menghalakan badan anda kepada dia ketika dia bercakap. Tumpukan perhatian penuh terhadap apa yang diperkatakan dan balas dengan jawapan yang sepatutnya untuk menunjukkan yang anda sedang mendengar. Ingat, kanak-kanak melihat dan belajar daripada orang dewasa, jadi awasi cara percakapan anda.

Berikan idea untuk perbualan

Anak anda mungkin tidak pasti bagaimana untuk memulakan dan menghabiskan perbualan. Ajar asas kepada dia dan tunjukkan bagaimana anda menggunakannya semasa berinteraksi dengan orang lain. Anda juga boleh tunjukkan kepada anak bagaimana untuk menangani situasi sosial yang mungkin sukar baginya, seperti apabila dia mahu menyertai rakan-rakannya yang sedang bermain, apa yang perlu dibuat atau disebut.

Anda boleh berlatih dengan anak anda. Jika dia berasa kekok, anda boleh cuba dengan menggunakan barang mainan sebagai rakan perbualan dan tunjukkan bagaimana perbualan boleh berlangsung dari situ.

Kesudahannya anda masih perlu beralih kepada perbualan secara bersemuka dengan anak anda (dengan melakonkan situasi) kerana ini dapat membantu dia mengenali bahasa badan dengan lebih baik. Elakkan daripada asyik bertanya atau membolot perbualan – anda mahu dia bercakap untuk diri sendiri!

Asas perbualan mudah untuk kanak-kanak

  • Mulakan dengan sapaan. Terdapat banyak cara untuk memulakan perbualan, dan kebanyakannya bermula dengan sapaan mudah, cth: “Hai, nama saya Aishah. Apa nama awak?”, “Apa yang awak sedang main/ buat tu?” atau “Boleh saya main juga?”
  • Apa yang mahu dibualkan? Topik perbualan boleh melancarkan atau menghentikan sebarang perbualan. Terdapat banyak topik yang boleh digunakan, cth: “Apa permainan/ makanan/warna kegemaran awak?”
  • Bergilir-gilir semasa berbual. Ajar anak untuk berkongsi dan mendengar semasa berbual. Cara mudah untuk mengajak orang lain berbual ialah dengan soalan yang terbuka, cth: “Dalam banyak-banyak kartun, yang mana awak rasa paling baik?”, “Saya suka makan ayam goreng dan minum jus tembikai. Bagaimana pula dengan awak?” atau “Kenapa awak suka warna biru?”
  • Bagaimana untuk menghentikan perbualan? Anda perlu mengajar anak anda menamatkan perbualan secara sopan, cth: “Seronok berbual dengan awak,” atau “Saya kena pergi dulu, jumpa lagi!”

Manusia ialah makhluk sosial

Perkembangan kemahiran interpersonal adalah penting kerana anak anda akan mendapat manfaat apabila dia boleh bergaul dengan lebih baik dengan orang lain. Mereka yang dapat berkawan dengan baik akan mendapat sokongan sosial di dalam kehidupan mereka untuk perkara yang mereka

lakukan dan pengalaman yang mereka lalui. Malah, sebilangan orang yang bertuah menikmati persahabatan yang kekal ke hujung hayat. Oleh itu, cubalah untuk membina kemahiran sosial anak anda dengan mengajar dan membimbing dia setiap kali berpeluang.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen