Pengasuhan Positif

Susu yang Dirumuskan untuk Kanak-kanak

Kaya dengan nutrien, susu ialah antara pilihan terbaik untuk melengkapi diet anak anda dan menggalakkan tumbesaran dan perkembangan. Terdapat pelbagai jenis susu – susu segar, susu penuh krim, susu UHT serta susu berperisa. Anak anda boleh minum susu-susu ini kerana ia mengandungi nutrien yang diperlukan.

Namun, perlu diingatkan bahawa susu rendah lemak dan susu tanpa lemak (susu skim) tidak disarankan untuk kanak-kanak. Apabila lemak disingkirkan daripada susu, nutrien perlu seperti asid lemak dan vitamin larut lemak juga tersingkir.

Ibu bapa juga boleh mempertimbangkan untuk memberi susu yang diformulasikan untuk kanak- kanak kepada anak petatih atau prasekolah. Susu tepung rumusan kanak-kanak (formulated milk powder for children, FMPC) disediakan untuk kanak-kanak pelbagai umur dan difortifikasi dengan pelbagai nutrien. Bacalah untuk tahu lebih lanjut tentang FMPC serta cara penggunaannya yang betul untuk memenuhi keperluan pemakanan anak anda.

Mengapa FMPC?

Bagi kebanyakan keluarga hari ini, kedua-dua ibu bapa perlu bekerja untuk menyara hidup. Oleh itu, mereka sering sibuk atau tidak berpeluang untuk menyediakan diet seimbang untuk anak mereka. Anak yang sedang membesar ini selalunya dijaga oleh datuk/nenek, pengasuh atau pusat jagaan.

Para penjaga mungkin kurang peka dengan keperluan pemakanan anak jagaan mereka atau mudah akur dengan permintaannya yang kurang sihat. Kesannya, kanak-kanak tersebut mungkin banyak mengambil gula, garam, lemak dan minyak, serta kurang pengambilan sayur dan buah, dan ini menyebabkan tabiat pemakanan yang kurang sihat. Kanak-kanak yang memilih makan pula mungkin berhadapan dengan akibat yang lebih teruk jika ibu bapa gagal memantau pemakanan mereka sejak kecil.

Dalam situasi begini, FMPC boleh disyorkan sebagai sebahagian diet harian anak, untuk membantu memenuhi jurang nutrien kesan diet yang kurang sihat. FMPC, yang sebelum ini digelar “formula tumbesaran”, ialah produk yang dirumuskan berdasarkan keperluan pemakanan (atau pengambilan nutrien yang disyorkan (RNI)) untuk kanak-kanak membesar yang berumur antara satu ke sembilan tahun. Produk ini juga difortifikasi dengan pelbagai nutrien dan komponen makanan lain untuk menambah nilai pemakanan.

Fortifikasi FMPC

Peraturan-peraturan Makanan 1985 menetapkan bahawa setiap produk FMPC perlu mematuhi piawai kualiti dan kandungan nutrien agar memenuhi keperluan pemakanan anak yang membesar. Ia perlu mengandungi lemak dan protein dalam jumlah tertentu, kandungan tenaga minimum dan beberapa vitamin dan mineral. FMPC ialah sumber yang bagus untuk pelbagai nutrien penting yang sedia terkandung dalam susu seperti protein, kalsium, kalium, fosforus dan beberapa vitamin seperti vitamin D, A, B12 dan riboflavin.

Selain itu, untuk menambah nilai pemakanan FMPC, ia juga difortifikasi dengan beberapa nutrien untuk meningkatkan kandungannya serta menambah nutrien dan komponen makanan lain yang tidak ditemui dalam susu. Berikut ialah beberapa contoh:

Penggunaan FMPC yang wajar

FMPC berfungsi sebagai pelengkap kepada diet harian anak yang membesar, bukan untuk menggantikan makanan kebiasaannya. Penggunaan susu ini disaran supaya dapat membekalkan sehingga 1/3 keperluan nutrien harian anak. Namun, diet yang seimbang dan pelbagai masih perlu diutamakan. Susu tidak sepatutnya menjadi satu-satunya sumber nutrien.

Sebagai panduan:

Pilih berdasarkan kumpulan umur anak. FMPC di pasaran boleh didapati dengan beberapa komposisi nutrien yang sedikit berbeza dan disasarkan untuk pelbagai kategori umur kanak-kanak. Lebih baik jika anda pilih produk yang sesuai dengan umur anak anda.

Periksa label/panel maklumat pemakanan

  • Jangan keliru dengan bahan atau terma rumit pada label. Buat bacaan untuk mengetahui maknanya. Sesetengah akuan pemakanan boleh diragui, dan ada juga sekadar terma pemasaran.
  • Pilih produk yang kurang atau tiada gula dengan memeriksa senarai kandungan. Gula juga mungkin disenaraikan dengan nama yang berbeza seperti sukrosa, dekstrosa, glukosa, fruktosa, dll. Anda juga boleh bandingkan kandungan gula dalam produk yang berlainan. Susu berperisa selalunya lebih tinggi kandungan gula.

Hampir semua nutrien perlu terkandung dalam susu, menjadikannya antara komponen yang penting dalam diet anak anda. Pilih produk susu yang sesuai bergantung pada keperluan dan pilihan rasa anak anda, serta kemampuan anda. Galakkan anak anda minum susu untuk memenuhi pengambilan susu yang disarankan iaitu 2-3 hidangan sehari, selain hidangan harian yang seimbang untuk tumbesaran dan perkembangan yang sihat.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen