Pengasuhan Positif

Suku Suku Separuh: Panduan Hidangan Sihat & Seimbang

Jika anda rasa pemakanan sihat adalah sesuatu yang sukar untuk dicapai, fikir lagi sekali! Terdapat beberapa cara anda boleh amalkan pemakanan yang baik untuk mengekalkan kesihatan. Salah satu caranya bermula dengan pinggan anda!

Pinggan Sihat Malaysia yang menekankan konsep Suku Suku Separuh merupakan teknik visual pantas yang membantu anda untuk serta-merta mengenal pasti sama ada sesuatu hidangan itu sihat dan seimbang atau tidak.

Suku Suku Separuh ialah panduan pengambilan hidangan tunggal. Anda hanya perlu “membahagikan” pinggan anda seperti berikut:

  • ¼ pinggan bijirin atau produk bijirin, semestinya bijirin penuh seperti nasi perang atau roti mil penuh
  • ¼ pinggan ikan atau ayam itik, daging atau telur
  • ½ pinggan buah-buahan dan sayur-sayuran

Minumlah air, ia lebih baik daripada minuman manis dan tanpa kalori.

Berikut ialah beberapa contoh hidangan tempatan yang mematuhi panduan Suku Suku Separuh.

Saiz pinggan juga penting!

Hanya mematuhi konsep Suku Suku Separuh tidak mencukupi. Elakkan daripada menggunakan pinggan saiz dewasa untuk kanak-kanak kerana anda akan tertipu dengan jumlah makanan yang anda mahu hidangkan kepada mereka. Tidak pasti tentang saiz pinggan yang betul? Berikut ialah panduan mudah:

  • Dewasa – 23cm (9 inci)
  • Kanak-kanak – 18 cm (7 inci)
    Jumlah makanan yang sama atas saiz pinggan berbeza

BMV dalam satu pinggan

Tahukah anda bahawa Pinggan Sihat Malaysia adalah sejajar dengan prinsip diet sihat dan ini mematuhi konsep utama bagi Keseimbangan (Balance), Kesederhanaan (Moderation) dan Kepelbagaian (Variety) serta Piramid Makanan Malaysia?

  • Keseimbangan. Hidangan yang lengkap mengandungi kumpulan makanan utama dalam Piramid Makanan supaya seseorang itu boleh mendapatkan nutrien yang diperlukan setiap hari iaitu nasi dan bijirin yang merupakan karbohidrat; ikan, ayam itik, daging, telur dan kekacang sebagai sumber protein; dan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk vitamin dan mineral.
  • Kesederhanaan. Kekalkan jumlah yang disarankan untuk setiap hidangan demi mencapai hidangan yang diperlukan bagi setiap kumpulan makanan dalam Piramid Makanan.
  • Kepelbagaian. Pelbagaikan kumpulan makanan utama dalam pinggan anak anda supaya anak anda mendapat “keriangan” harian atau dalam setiap hidangan, tetapi yang lebih penting adalah menggunakan pelbagai makanan memastikan anak anda memperoleh nutrien berbeza yang diperlukan untuk badan.

Kaedah memasak yang lebih sihat

Kaedah memasak memainkan peranan besar dalam menentukan sihatnya sesuatu hidangan itu. Contohnya, makanan bergoreng mengandungi lebih banyak minyak yang tidak menyihatkan. Pilihlah makanan yang disediakan dengan kaedah seperti mengukus, membakar, memanggang atau mencelur.

Mengekalkan kesihatan si cilik

Didik anak anda sejak kecil tentang konsep Suku Suku Separuh dalam Pinggan Sihat Malaysia. Selain itu, pastikan anak anda mengambil tiga kali hidangan sihat setiap hari dengan 1-2 snek sihat antara waktu makan. Paling penting, sebagai ibu bapa, jadilah contoh dan amalkan peraturan ini semasa setiap waktu makan, sama ada di rumah atau makan di luar.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen