Pengasuhan Positif

Panduan Percutian Sihat

Adakah keluarga anda akan melancong ke mana-mana ketika cuti sekolah nanti? Bersedialah dan lindungi diri anda dan keluarga daripada penyakit agar percutian tidak bertukar menjadi kecemasan!

Pandemik COVID-19 baru-baru ini telah memberi impak besar ke atas kita semua. Langkah drastik seperti kawalan pergerakan terpaksa diambil untuk mengelakkan penyebaran wabak tersebut. Ramai orang masih risau untuk pergi ke luar negara. Jika anda merancang untuk melancong bersama keluarga di masa hadapan, ambil langkah keselamatan untuk memastikan keluarga anda kekal sihat dan selamat.

Persediaan untuk perjalanan yang sihat dan selamat

Ketahui status kesihatan keluarga anda. Rujuk doktor anda sebelum perjalanan. Ahli keluarga dengan masalah kesihatan sedia ada perlu mendapatkan bekalan ubat yang diperlukan. Sediakan gelang yang tercatat masalah atau alahan anak anda, serta orang yang perlu dihubungi jika ada kecemasan. Jadual vaksinasi semua orang perlulah dipenuhi. Jika sesiapa jatuh sakit, lebih baik perjalanan ini ditunda. Anda masih boleh bercuti di masa hadapan.

Mohon insurans perjalanan. Ini penting apabila ada hal yang tak dijangka – pembatalan perjalanan, kehilangan barang dan kecemasan kesihatan. Ada pelbagai insurans untuk kes berlainan; penyedia insurans akan menasihati anda mengikut keperluan anda.

Kaji destinasi. Adakah terdapat penyakit endemik atau wabak yang sedang menular di destinasi itu? Mungkin ada vaksin yang diperlukan atau disyorkan sebelum melancong ke sesebuah negara. Contohnya, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengambil vaksin demam kuning 10 hari sebelum ke Brazil, Argentina, Peru, Congo dan Ethiopia. Risiko penyakit lain seperti cirit-birit dan demam malaria, juga lebih tinggi di sesetengah negara.

Vaksin perjalanan

Selain daripada vaksin rutin yang tersenarai dalam Program Imunisasi Kebangsaan yang diperlukan ketika zaman kanak-kanak, terdapat juga vaksin perjalanan seperti:

  • Pneumokokus: Berlaku di seluruh dunia tapi lebih tinggi di mana vaksinnya jarang diambil.
  • Meningokokus: Jika mengembara ke jalur meningitis Afrika.
  • Rotavirus: Mudah berjangkit, ia menyebabkan cirit-birit dan penyahhidratan dalam bayi dan kanak-kanak kecil.
  • Taun: Jangkitan cirit-birit teruk akibat makanan/ minuman tercemar, serta kebersihan tak terjaga.
  • Demam kepialu (tifoid): 75% kes berlaku semasa mengembara, kerana makanan/minuman tercemar.
  • Hepatitis A: Jika anda mengembara ke negara membangun di mana tahap kebersihan kurang memuaskan.
  • Influenza: Amat disyorkan jika mengembara semasa musim flu.
  • Demam kuning: Lebih kerap berlaku di Afrika dan Amerika Selatan.

Apa yang perlu dibawa?

  • Kit kecemasan
  • Krim pelindung matahari c Penghalau serangga c Ubat belian kaunter
  • Ubat preskripsi

Ketika perjalanan

  • Berhati-hati apabila makan dan minum. Makanan hendaklah dimasak sepenuhnya dan dihidang panas. Minum air botol atau minuman panas sahaja. Ais mungkin dibuat menggunakan air paip, jadi elakkannya. Pastikan buah segar dibasuh dan dikupas sendiri. Basuh tangan dengan sabun secara kerap sebelum dan selepas makan, dan selepas ke tandas.
  • Cegah gigitan serangga. Nyamuk, kutu, pepijat dan lalat boleh menyebarkan penyakit berbahaya seperti denggi, tifus atau malaria. Sembur atau sapu penghalau serangga dan pakai seluar dan baju lengan panjang. Penghalau serangga tidak boleh digunakan untuk bayi bawah 2 bulan.
  • Jauhi gigitan haiwan. Jangan belai atau sentuh haiwan liar atau jalanan, termasuklah kucing dan anjing. Jika digigit atau dicakar, bilas dengan air dan sabun, dan dapatkan rawatan di klinik terdekat!
  • Elakkan selaran matahari. Guna krim pelindung matahari yang melindungi daripada sinar UVA dan UVB. Sapu pelindung matahari dahulu dan tunggu kering sebelum memakai penghalau serangga. Sapu setiap 2 jam dan selepas berenang atau berpeluh, walaupun anda menggunakan SPF 30 dan ke atas.
  • Utamakan keselamatan fizikal. Pakai alat perlindungan ketika aktiviti lasak. Sentiasa awasi kanak-kanak apabila berada di dalam atau berhampiran air. Jangan berenang dalam air tawar jika kebersihan meragukan, kerana jangkitan seperti leptospirosis mungkin berlaku.
  • Pastikan keselamatan di jalan raya. Kenderaan yang digunakan perlu ada tali pinggang keledar dan ciri keselamatan lain. Pastikan anak anda duduk di atas kerusi keselamatan kanak-kanak yang sesuai. Elakkan menaiki kenderaan yang terlebih penumpang.

Percutian keluarga merupakan peluang terbaik untuk meluangkan lebih masa berkualiti bersama-sama. Namun, terdapat pelbagai risiko yang tak dijangka di tempat baru, yang boleh mengancam kesihatan dan keselamatan keluarga anda. Persediaan rapi memastikan percutian anda sihat, selamat dan sejahtera. Sentiasa patuhi garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa kerana pandemik COVID-19 masih menular!

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen