Pengasuhan Positif

Awas Pneumonia!

Menurut Jabatan Statistik, pneumonia merupakan antara lima penyebab paling utama kematian kanak-kanak di Malaysia. Apakah yang menjadikan pneumonia amat berbahaya kepada kanak-kanak?

Pneumonia ialah jangkitan peparu yang menyebabkan kantung udara (alveoli) dalam peparu dipenuhi cecair atau nanah. Ia menyebabkan kesukaran bernafas dan tidak mendapatkan oksigen yang mencukupi untuk badan. Sesiapa sahaja boleh dijangkiti, tetapi kanak-kanak serta mereka yang berusia atau ada penyakit lain paling berisiko akibat sistem imun mereka yang lebih lemah.

Beban penyakit

Lebih kurang 1.4 juta kanak-kanak bawah 5 tahun meninggal dunia akibat pneumonia setiap tahun. UNICEF juga melaporkan ramai penjaga tidak mengenali gejala pneumonia dan hanya separuh daripada kanak-kanak yang dijangkiti mendapat rawatan sewajarnya. Gejala pneumonia hampir serupa dengan selesema biasa atau flu, oleh itu ramai ibu bapa tidak sedar anak mereka berada dalam keadaan bahaya sehinggalah terlambat.

Jenis pneumonia

Pneumonia boleh dikategorikan kepada cara atau di mana jangkitan bermula:

  • Pneumonia dari hospital berlaku ketika seseorang dimasukkan ke hospital atau menerima rawatan pesakit luar. Penyakit ini boleh jadi lebih teruk jika bakteria itu kebal terhadap antibiotik.
  • Pneumonia dari komuniti bermula di mana-mana selain hospital atau kemudahan kesihatan. Pneumonia jenis ini lebih kerap berlaku dan boleh disebabkan oleh bakteria, virus, kulat atau bahan kimia.

Punca penyakit

Pneumonia juga dikategorikan berdasarkan punca berikut.

  • Bakteria. Streptococcus pneumoniae (pneumokokus) ialah punca pneumonia bakteria paling utama serta punca kematian berkaitan pneumonia paling tinggi di kalangan kanak-kanak. Bakteria lain termasuklah Haemophilus influenzae jenis B (Hib), Klebsilla pneumoniae, Mycoplasma pneumoniae, dll.
  • Virus. Virus sinsitium pernafasan (RSV) adalah punca pneumonia virus paling kerap di kalangan kanak-kanak. Virus lain termasuk virus influenza (jenis A dan B), rhinovirus (virus selesema biasa) dan koronavirus (seperti wabak COVID-19 dan SARS).
  • Kulat. Pneumocystis jirovecii ialah satu contoh pneumonia kulat yang jarang berlaku. Ia sering menjangkiti mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik atau sistem imun lemah.
  • Kimia. Bahan kimia toksik dan beracun, gas dan zarah kecil boleh menyebabkan keradangan peparu apabila terhidu.

Adakah ini pneumonia?

Mengenal pasti gejala dalam kanak-kanak mungkin sukar. Ia boleh jadi sederhana atau teruk, bergantung kepada punca dan tahap kesihatan anak anda. Gejalanya termasuklah:

  • Demam
  • Batuk
  • Nafas berdehit
  • Bernafas laju
  • Kesukaran bernafas
  • Kulit, bibir atau hujung jari kelihatan biru
  • Gejala di kalangan bayi kurang jelas, seperti kuat menangis atau sukar menyusu

Rawatan awal amat penting

Jika rawatan ditangguh, komplikasi mungkin timbul.

  • Bakteremia. Jangkitan ini tersebar ke dalam saluran darah, mengakibatkan kejutan septik dan tekanan darah menurun ke paras bahaya.
  • Abses peparu. Nanah mungkin terkumpul dalam peparu. Anak anda mungkin memerlukan pembedahan untuk mengeluarkan kepulan nanah.
  • Pleurisi. Pleura (dua lapisan tisu yang meliputi peparu) menjadi bengkak dan menyebabkan sakit dada semasa menarik nafas. Jika bengkak itu tidak dirawat, cecair boleh memenuhi ruang antara pleura, dan jika bernanah menyebabkan empiema.
  • Kegagalan pernafasan dan organ. Peparu mungkin tidak berfungsi dengan sempurna untuk memindahkan oksigen ke darah dan menyingkirkan karbon dioksida daripada darah. Ia boleh membawa maut kerana organ seperti buah pinggang dan jantung juga boleh gagal berfungsi.

Perlindungan daripada pneumonia

  • Lindung. Amalkan kebersihan diri dan cuci tangan dengan betul, sediakan pemakanan optimum, elakkan pencemaran dalam bangunan dan merokok, serta kurangkan faktor risiko lain.

  • Cegah. Imunisasi terhadap pneumokokus, influenza, Hib, campak dan pertusis amat penting. Vaksin Hib, campak dan pertusis termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) dan vaksin pneumokokus akan diperkenalkan tidak lama lagi dalam NIP. Vaksin influenza tahunan boleh didapati di klinik dan hospital awam dan swasta.

  • Rawat. Mengenal pasti gejala dengan tepat dan segera penting untuk rawatan awal dan sewajarnya, yang mana perlu untuk mencegah komplikasi selanjutnya dan kematian. Jika tidak pasti, dapatkan nasihat doktor dan jangan tunggu hingga keadaan anak anda menjadi lebih teruk.

Bagi pneumonia, rawatan awal amat penting untuk mengelakkan Sumbangan daripada komplikasi dan kematian. Anda  disarankan untuk sentiasa  mengambil langkah-langkah  perlindungan dan pencegahan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen