Kes pembuangan bayi di Malaysia, terutamanya dalam kalangan remaja, masih berleluasa walaupun kita sudah memasuki 2020. Usaha yang lebih bersepadu untuk menangani isu sosial ini harus dimulakan sekarang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semasa melancarkan kempen pencegahan pembuangan bayi pada Ogos tahun lepas, menyatakan bahawa 1,010 kes dicatat sejak 2010 sehingga Mei 2019 dan bayi ditemui tidak bernyawa dalam 64% kes tersebut. Ini bermakna, setiap tiga sehingga empat hari, seorang bayi dibuang dan mungkin mati.
Masalah pembuangan bayi sangat berkait rapat dengan pelbagai isu lain berkaitan remaja contohnya kehamilan remaja, pornografi, permulaan seksual yang awal dan aktiviti seksual yang meningkat dalam kalangan remaja. Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia 2014 (MPFS-5) menunjukkan peningkatan daripada 2.2% (2004) kepada 4.8% (2014) dalam peratusan remaja yang terlibat dalam hubungan seksual, dan 35.3% pula terdedah kepada pornografi.
Mengapa ini berlaku?
Faktor-faktor yang mengakibatkan masalah ini perlu diakui secara jujur dan ditangani dengan berani agar perubahan sebenar boleh berlaku. Di sebalik setiap kes pembuangan bayi ialah satu kehamilan yang tidak dirancang, yang kerap kali berlaku akibat hubungan seks tidak selamat dan tanpa perlindungan. Hubungan seks tidak selamat dan kehamilan tidak dirancang boleh berlaku akibat kekurangan pendidikan dan pengetahuan seks. MPFS-5 melaporkan antara remaja yang pernah melakukan hubungan seks, hanya 35.1% yang menggunakan alat pencegah kehamilan.
Stigma yang kuat juga dikaitkan dengan ibu tidak berkahwin lalu mendorong ibu tunggal muda mengabaikan bayi mereka kerana malu dan takut. Kekurangan sokongan emosi daripada ahli keluarga menjadikan keadaan lebih teruk. Remaja hamil takut untuk meminta bantuan daripada saluran sewajarnya, bukan hanya kerana prejudis sosial, tetapi juga kerana undang-undang yang menghukum hubungan seks konsensual oleh sesiapa di bawah 18 tahun.
Apa yang sudah dijalankan?
Usaha untuk memasukkan beberapa versi pendidikan seks di sekolah telah dijalankan. Ini termasuklah Program Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang diperkenalkan pada 2012, dan seterusnya, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang kini sedang diajarkan di sekolah di bawah sukatan Pendidikan Jasmani, Moral, Sains dan Pendidikan Islam bagi Tahun Satu sehingga Tingkatan Lima.
Satu lagi usaha menangani pembuangan bayi ialah pusat perlindungan bayi yang diperkenalkan di seluruh negara oleh OrphanCare dan hospital KPJ untuk menyediakan saluran bagi ibu yang mahu meninggalkan bayi mereka di tempat yang selamat secara rahsia. Remaja bermasalah juga boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Talian Kasih 24 jam di 15999. Tahun lepas, program “Save A Life”, satu kempen pencegahan pembuangan bayi, juga dilancarkan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, usaha dilakukan sekarang tidak membawa impak jangka panjang dan kelihatan tidak menangani punca utama masalah ini, tetapi hanya menyelesaikan gejalanya.
Apakah yang perlu diperbaiki?
Faktor pembuangan bayi harus dipertimbangkan dengan teliti bagi mencapai penyelesaian sebenar kepada masalah ini.
- Peranan ibu bapa. Ibu bapa perlu lebih proaktif dan prihatin akan isu pembuangan bayi. Jadilah terbuka dan mudah didekati oleh anak-anak, walaupun mereka bertanya soalan intim. Pendidikan seks harus bermula dari rumah sejak kecil dengan penekanan sama untuk anak lelaki dan perempuan. Galakkan mereka untuk membincangkan isu dan mengesahkan fakta yang dijumpai dalam talian. Kenali rakan-rakan mereka dan awasi sebarang petanda masalah.
- Hapuskan prejudis. Ibu yang tidak berkahwin memerlukan sokongan daripada ahli keluarga dan pakar kesihatan. Stigma akan membuat mereka menjauhkan diri daripada meminta bantuan daripada sumber yang tepat. Apabila terdesak, mereka akan memilih untuk membuang bayi. Stigma ini boleh dikurangkan secara berperingkat menerusi pendidikan dan kesedaran dalam masyarakat. Sistem sokongan yang lebih baik harus disediakan kepada remaja hamil dan ibu tunggal oleh pihak berkuasa dan masyarakat.
- Akses kepada alat pencegah kehamilan. Alat pencegah kehamilan harus disediakan kepada remaja yang dikenal pasti sebagai aktif secara seksual. Walaupun pendidikan tentang seks selamat harus diutamakan dalam pendekatan ini, alat pencegah kehamilan harus disediakan tanpa menghukum.
- Pendidikan seks yang menyeluruh. Pendidikan seks yang sepadan dengan umur dan menyeluruh harus digariskan dan diperkenalkan di sekolah di seluruh negara. Pendidikan seks menyeluruh terbukti akan melambatkan permulaan hubungan seks dan mengurangkan kelakuan seksual berisiko. Sukatan sekarang ini tidak lengkap dan kekurangan maklumat penting berkenaan alat pencegah kehamilan.
- Pindaan undang-undang. Undang-undang berkaitan harus diteliti supaya tidak mendiskriminasi dan meningkatkan lagi stigma terhadap remaja hamil yang tidak berkahwin dan ibu tunggal, serta untuk menyokong pelaksanaan cadangan-cadangan ini.
Strategi yang hanya menyelesaikan gejala masalah ini sudah tidak lagi memadai. Penyelesaian sebenar yang menyasarkan punca utama pembuangan bayi harus dilaksanakan dan semua pihak, bermula dengan ibu bapa, guru, serta badan bukan kerajaan dan kerajaan, harus menyelesaikan masalah ini dengan segera dan memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.
Komen