Pengasuhan Positif

Mengenali Diabetes Jenis 1

Apabila bercakap tentang diabetes, kita biasanya merujuk kepada diabetes jenis 2 (T2D), iaitu penyakit kronik yang sering dihidapi rakyat Malaysia. Diabetes jenis 1 (T1D) pula kurang diketahui, namun impaknya terhadap kehidupan juga sangat serius.

T1D (sebelum ini dikenali sebagai diabetes juvenil atau diabetes yang bergantung kepada insulin) ialah penyakit kronik yang disebabkan oleh pankreas yang berhenti atau kurang menghasilkan insulin. Insulin ialah hormon yang membantu mengawal tahap gula di dalam darah dan membolehkan sel tubuh menggunakan gula (glukosa) daripada makanan untuk tenaga. Kekurangan insulin menyebabkan gula terkumpul di dalam salur darah, lalu mengakibatkan pelbagai simptom dan komplikasi diabetes.

Satu kemungkinan punca T1D ialah kesilapan reaksi autoimun menghapuskan sel beta yang terdapat di dalam pankreas lalu mengganggu penghasilan insulin. Pendedahan kepada pencetus tertentu dalam persekitaran, seperti virus, juga dikaitkan dengan T1D. Satu perbezaan ketara antara T1D dan T2D adalah T1D bukan disebabkan oleh faktor gaya hidup seperti tabiat pemakanan tidak sihat atau kurangnya aktiviti fizikal.

Simptom umum

Simptom T1D boleh tiba-tiba muncul, tidak seperti simptom T2D yang muncul secara berperingkat dan mudah terlepas pandang. Diagnosis awal penting untuk mengelakkan komplikasi serius seperti ketoasidosis diabetes (DKA), tetapi kesilapan diagnosis seperti gastroenteritis akut atau jangkitan salur kencing boleh berlaku dan harus dielakkan. Antara simptom T1D adalah:

Semasa diagnosis, lebih kurang 70% kes T1D tempatan mengalami simptom DKA, termasuklah muntah-muntah, sakit perut/ abdomen, pernafasan yang laju dan tidak sedarkan diri/pengsan. DKA boleh membawa maut dan mesti dirawat sebagai satu kecemasan.

Komplikasi akut

  • Tahap gula dalam darah menjadi terlalu rendah akibat paras insulin tinggi apabila seorang kanak-kanak dengan T1D lewat makan, tidak makan secukupnya atau terlebih bersenam. Ini berlaku dengan pantas dan memerlukan rawatan segera. Antara simptom termasuklah menggeletar, loya, berpeluh dan keletihan.
  • Tubuh menguraikan sel lemak apabila tidak mendapat glukosa yang mencukupi sebagai bahan bakar, lalu menghasilkan bahan yang dipanggil keton. Ini berlaku apabila seseorang terlepas suntikan insulinnya atau semasa hari sakit yang tidak diuruskan dengan baik. Kombinasi glukosa yang tinggi, dehidrasi dan pengumpulan keton boleh membawa kepada ketoasidosis, yang boleh membawa maut.

Komplikasi kronik

  • Penyakit kardiovaskular. Risiko masalah kardiovaskular, seperti serangan jantung, strok, aterosklerosis, tekanan darah tinggi dan penyakit arteri koronari, meningkat akibat diabetes.
  • Kerosakan organ. Salur darah di dalam organ seperti mata dan buah pinggang boleh rosak akibat diabetes, menyebabkan kegagalan buah pinggang dan masalah mata yang serius seperti katarak, glaukoma atau buta.
  • Kerosakan saraf. Kerosakan saraf bermula dengan rasa sesemut, kekebasan atau rasa pedih di kaki dan merebak perlahan-lahan ke atas. Lama-kelamaan, ini boleh menyebabkan kehilangan deria sentuhan dan kehilangan anggota badan. Kerosakan saraf juga memberi kesan kepada saluran gastrousus.

Pengurusan

  • Pengambilan insulin. Kanak-kanak T1D memerlukan terapi insulin seumur hidup untuk mengawal gula dalam darah. Insulin boleh diambil menerusi suntikan harian atau pam insulin. Terdapat insulin tindakan pendek, cepat atau panjang. Pengambilan insulin harian mengikut jadual yang betul adalah penting dalam menguruskan T1D.

  • Pengawasan gula dalam darah. Pengawasan tahap gula darah yang teliti dan teratur penting untuk memastikan ia berada dalam julat sasaran. Periksa tahap gula darah sebelum dan selepas makan, tidur, bersenam atau ketika mengesyaki paras gula darah rendah. Pengawasan sendiri dengan dextrostix (jalur ujian) ialah cara standard untuk mengukur gula darah, manakala sistem pengawasan glukosa berterusan (secara berjeda atau masa nyata) adalah lebih canggih.

  • Pemakanan sihat. Kanak-kanak T1D dan keluarganya harus faham bagaimana makanan yang berbeza memberi kesan kepada paras gula darahnya. Pakar diet boleh mencadangkan rancangan diet sesuai yang mementingkan bijirin penuh, sayur-sayuran dan buah-buahan. Dos insulin harus disesuaikan dengan pengambilan karbohidrat, jadi kanak-kanak itu dan penjaganya harus belajar mengira kandungan karbohidrat dalam makanan dan minuman. Tiada sekatan diet yang khusus bagi pesakit T1D tetapi pemakanan yang sihat adalah wajib!
  • Aktiviti fizikal. Senaman adalah penting, tetapi kanak-kanak itu harus tahu bahawa ia boleh merendahkan paras gula darah. Maka, gula darahnya harus diawasi dengan lebih kerap apabila memulakan aktiviti baharu untuk melihat sebarang kesan. Rancangan pemakanan atau dos insulinnya mungkin harus diubah agar sesuai dengan aktiviti baharu itu.

Didiagnosis dengan T1D merupakan satu cabaran bagi seorang kanak-kanak dan keluarganya. Selain memerlukan pengurusan yang cermat, T1D juga menelan perbelanjaan yang tinggi. Walaupun insulin adalah percuma di hospital kerajaan, ubatan, kelengkapan dan kos sampingan lain boleh membebankan kewangan keluarga kerana diabetes ialah penyakit jangka panjang. Bagaimanapun, T1D boleh diuruskan dengan cemerlang.

Dengan bantuan dan sokongan betul, terutamanya daripada ibu bapa, ahli keluarga dan pasukan rawatan yang baik, kanak-kanak T1D boleh menguruskan penyakitnya dan hidup dengan normal dan sihat.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen