Pengasuhan Positif

Kurang Lebih Baik: Kurangkan Gula untuk Hidup Lebih Sihat

Kanak-kanak (serta orang dewasa!) tertarik kepada makanan dan minuman manis, kerana itulah banyak kedai menjual minuman dan makanan tinggi gula seperti teh boba dan pencuci mulut. Bagaimanapun, kita sering mengambil makanan ini secara kerap dan berlebihan, yang boleh menyebabkan kesan tidak sihat dalam jangka masa panjang.

Angka yang membimbangkan!

11.8% kanak-kanak bawah 18 tahun adalah obes menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, dan 1.65 juta kanak-kanak sekolah dijangka mengalami berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2025 jika tiada langkah diambil untuk mencegah isu ini.

Gula ialah bentuk karbohidrat paling ringkas dan membekalkan tenaga kepada badan kita untuk berfungsi, tetapi gula tidak mengandungi nutrien lain. Dua jenis gula boleh didapati dalam makanan: ekstrinsik dan intrinsik. Gula ekstrinsik ialah gula yang ditambah ke dalam makanan semasa proses pembuatan untuk meningkatkan rasa atau untuk fungsi teknologi. Sebaliknya, gula intrinsik ialah gula semula jadi yang ada dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan produk susu.

Kesan terhadap kesihatan

Pengambilan gula yang berlebihan membawa kepada pengambilan kalori/tenaga yang tidak wajar. Kalori berlebihan yang tidak digunakan akan menjadi lemak dalam badan. Ini merupakan salah satu faktor bagi prevalens tinggi masalah berat badan berlebihan dan obesiti di Malaysia, yang membawa kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kronik seperti diabetes jenis 2 dan penyakit jantung koronari.

Pengambilan gula yang kerap juga menjadi faktor terjadinya karies gigi. Ini berlaku apabila bakteria pada plak gigi bertindak balas dengan gula dalam makanan atau minuman untuk menghasilkan asid yang perlahan-lahan akan melarutkan enamel gigi. Selain itu, kajian juga mendapati bahawa pemakanan tinggi gula mungkin mengurangkan pengambilan mikronutrien dalam kalangan kanak-kanak.

Faktor obesiti

Berat badan berlebihan dan obesiti disebabkan oleh pengambilan kalori berlebihan berserta gaya hidup tidak aktif. Pengambilan kalori berlebihan boleh berlaku dengan pengambilan berlebihan gula, makanan berlemak, bergoreng atau berminyak, dan makanan karbohidrat.

Kurang lebih baik

Ikuti cadangan berikut untuk mengawal pengambilan gula keluarga anda.

  • Kurangkan makanan bergula. Tukar kek, biskut dan aiskrim kepada pilihan lebih sihat seperti buah-buahan segar, jagung kukus dan kacang tanah. Semasa menikmati pencuci mulut dan kuih, pilihlah yang kurang gula, krim dan aising. Ambil saiz hidangan yang lebih kecil dan hadkan pengambilan agar tidak lebih sekali sehari. Ingat, makanan tidak manis (savoury) juga mungkin mengandungi gula.
  • Kurangkan minuman manis. Pilih air kosong atau susu, bukan minuman bergula, untuk diminum semasa hidangan utama dan menghilangkan dahaga di antara waktu makan atau sebelum tidur. Pilih susu biasa, susu soya atau susu berkultur yang kurang gula. Ingat, jus buah juga mengandungi gula yang tinggi dan pengambilan berlebihan harus dielakkan.
  • Pilih produk tanpa gula atau rendah gula. Semasa membeli barang dapur, baca panel maklumat pemakanan pada label dan bandingkan dengan produk lain. Semak kandungan gula dan nama lain seperti sukrosa, sirap jagung atau karamel dalam senarai bahan. Jika ia diletakkan di permulaan senarai, maksudnya gula ialah salah satu bahan utama. Pilih produk dengan label “tanpa gula” atau “kurang gula”.
  • Mula dari awal. Elakkan daripada memberi makanan atau minuman bergula kepada kanak-kanak bawah 1 tahun, agar mereka tidak menjadi penggemar makanan manis. Kurangkan gula dalam penyediaan makanan dan semasa memasak. Juga, cuba jangan berikan snek manis sebagai ganjaran kepada kanak-kanak.

Kita harus amalkan cadangan ini dan mengajar kepentingan pemakanan sihat kepada anak-anak kita. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membuat pilihan makanan lebih sihat untuk diri mereka dan ahli keluarga. Pilih makanan dan hidangan yang rendah gula, garam, lemak dan minyak, dan pilih lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Ambil hidangan seimbang dan sentiasa makan dalam jumlah sederhana. Ingat, pemakanan sihat bukan hanya mengurangkan atau mengelak sesuatu makanan atau nutrien. Pemakanan sihat ialah sebuah pakej.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen