Pengasuhan Positif

Pengaruh Negatif Media Sosial Pada Tabiat Makan

Teh boba, mi ramen pedas, ayam goreng berkeju, dan pelbagai trend makanan lain sering datang dan pergi. Apakah persamaan semua makanan ini? Pertama, semua makanan itu menjadi viral di media, terutamanya di media sosial seperti Facebook dan Instagram, dan kedua, kebanyakannya ialah makanan yang tidak sihat.

Tahukah anda media sosial boleh mempengaruhi cara anda makan dan pilihan makanan anda? Jadilah pengguna bijak, jangan mudah terpengaruh dengan trend makanan yang disebar menerusi media sosial.

Pada zaman digital ini, tabiat makan dan proses membuat keputusan kita banyak ditentukan oleh aplikasi telefon pintar, rancangan televisyen dan media sosial. Antara buktinya, mengambil gambar makanan untuk

Instagram sebelum makan, beratur panjang untuk membeli makanan/minuman yang sedang hangat dalam talian, malah, merakam makan malam mereka secara langsung!

Ini biasanya didorong oleh keinginan untuk memperoleh “like” dan komen iaitu rasa seronok daripada perhatian alam maya yang diperoleh. Sesekali mencuba makanan baharu bersama rakan tidak salah, tetapi kita perlu berjaga- jaga sejauh mana pengambilan pemakanan kita dipengaruhi media sosial dan bagaimana untuk tidak terpedaya.

Walaupun mereka lebih celik teknologi, generasi muda juga lebih mudah tergoda dengan trend makanan, menurut hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 Malaysia berkenaan kesihatan remaja. Media sosial dan televisyen dilaporkan sebagai sumber media utama yang mempengaruhi corak pemakanan remaja di Darjah 4 sehingga Tingkatan 5.

Pengaruh media terhadap corak pemakanan remaja

  • Media sosial = 37.9%
  • Televisyen = 36.7%

*Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017

Mengapa perlu bimbang?

Pepatah Rom “Kita makan dengan mata dahulu” membuktikan masalah ini. Penglihatan kita adalah deria pertama yang terlibat dalam proses makan, sebelum bau dan rasa. Kita suka melihat hidangan yang cantik dan berwarna-warni, dan media sosial memudahkan lagi kelakuan itu melalui beberapa sentuhan skrin. Keinginan untuk melihat makanan ini dipanggil “kelaparan visual (visual hunger)” oleh saintis, yang membawa kepada “tabiat makan luaran (external eating)”, di mana bau atau rupa makanan (penunjuk luaran) menimbulkan rasa lapar, walaupun tiada rasa lapar secara fizikal (penunjuk dalaman). Lebih teruk lagi, ia dikaitkan dengan tabiat makan berlebihan dan boleh menyebabkan peningkatan obesiti.

Trend makanan juga biasanya dihasilkan agar dinikmati oleh deria. Kerana inilah kita sering menjadi pelanggan tetap. Namun, sedarkah anda bahawa teh boba yang anda gemari itu mengandungi hampir 20 sudu gula, ayam goreng berkeju itu tinggi lemak dan kalori, dan kegemaran rahsia anda, mi ramen pedas, boleh membuat anda sakit perut dan berulang-alik ke tandas.

Apa harus kita lakukan?

Langkah pertama adalah untuk menyedari kesan pendedahan media pada tabiat pemakanan kita. Seterusnya, didiklah diri anda dan ambil langkah sewajarnya!

Adakah trend makanan yang sihat?

Tidak semua trend makanan tidak sihat. Yang penting, amalkan panduan pemakanan sihat seperti prinsip Seimbang-Sederhana- Pelbagai (Balance- Moderation-Variety, BMV), Piramid Makanan dan Pinggan Sihat Malaysia. Baca maklumat pemakanan jika ada. Trend makanan sihat seperti mangkuk poké (salad makanan laut Hawaii), teh kombucha (teh ditapai) dan oat semalaman ialah pilihan makanan yang baik.

Mampukah kita melawan godaan?

Godaan yang tidak dikawal boleh membawa kepada corak pemakanan tidak sihat seperti makan berlebihan, pengambilan gula, garam, minyak atau lemak yang berlebihan dan juga hidangan tidak seimbang. Ini membawa akibat buruk seperti obesiti dan penyakit tidak berjangkit (contohnya, diabetes, penyakit jantung dan kanser). Anda boleh mencuba teh boba atau trend makanan lain, tetapi bersederhanalah dengan mengawal pengambilan anda (hadkan sebulan sekali) atau belilah pilihan lebih sihat (contoh: kurang gula). Fikir secara rasional dan ingat bahawa ia hanya trend yang akan berlalu!

Apakah alternatifnya?

Sediakan versi anda sendiri yang lebih sihat. Gunakan kaedah memasak yang lebih sihat (contoh: memanggang, bukannya menggoreng ayam) dan bahan yang lebih berkhasiat (lebihkan bijirin penuh, sayuran, rempah dan herba; kurangkan lemak, minyak, garam dan gula). Dengan ini, anda boleh mengubah rasanya mengikut selera anda (contoh: tahap kepedasan). Seimbangkan pemakanan anda dengan mengambil lebih banyak sayur dan buah untuk makan malam, jika makan tengahari anda ialah burger dan kentang goreng. Jika anda harus cuba makanan itu di restoran, minta mereka kurangkan gula, garam dan sos, atau ambil hidangan lebih kecil dengan berkongsi bersama keluarga atau rakan.

Bagaimana menggunakan media sosial dengan lebih baik?

Media sosial boleh menjadi sumber inspirasi untuk pemakanan sihat dan gaya hidup aktif. Mereka yang mengamalkan pemakanan sihat boleh berkongsi resepi. Ramai juga pakar berwibawa yang berkongsi pendapat mereka berkenaan isu terbaru di media sosial. Antara laman yang anda boleh ikuti ialah Pengasuhan Positif, Nutrition Month Malaysia, Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Trend memang seronok diikuti, tetapi lebih baik anda jadikan pemakanan sihat sebagai trend untuk diri sendiri dan keluarga. Ingatlah, berhati-hati semasa menggunakan media sosial dan jangan mudah terpengaruh dengan trend makanan!

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen