Pengasuhan Positif

Pencemaran Udara dan Kesihatan

Pencemaran udara boleh berlaku di dalam atau luar bangunan. Pencemaran luar bangunan yang sering kita hadapi ialah jerebu, manakala yang lebih jarang berlaku termasuklah bahan kimia atau gas di udara.

Kualiti udara

Pada tahun 2018, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa 9 daripada 10 orang bernafas dalam udara yang mengandungi bahan cemar di paras tinggi terdiri daripada sulfat, nitrat dan karbon hitam.

Bahan cemar ini boleh menembusi peparu dan sistem kardiovaskular kita, lalu berpotensi menyebabkan masalah pernafasan, penyakit kronik, peningkatan risiko kemasukan hospital, dan yang paling teruk, kematian awal.

Penyebab pencemaran udara yang kita sering hadapi, iaitu jerebu dan pembakaran terbuka, biasanya mengandungi zarah karbon hitam dalam kuantiti yang tinggi. Tahap keterukannya ditentukan berdasarkan konsentrasi jirim zarah (PM), iaitu zarah kecil yang terapung di udara dan menjejaskan kesihatan kita. Zarah halus dengan diameter kurang daripada 2.5 µm (biasanya dirujuk sebagai PM 2.5) lebih berbahaya kerana mudah diserap dalam darah.

Petua untuk bernafas lebih baik

Awasi kualiti udara di sekeliling rumah anda. Sentiasa awasi indeks pencemaran udara (IPU) dengan melayari laman web Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIM). Pastikan bayi baru lahir dan kanak-kanak kecil berada di dalam rumah jika IPU tinggi (melebihi 80).

Walaupun jerebu baru berlalu, ia sudah menjadi kejadian tahunan. Apabila berlaku lagi, ia bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan tetapi mengganggu aktiviti luar.

Sekolah juga terpaksa ditutup (namun peperiksaan awam biasanya dijalankan seperti biasa!). Jadi, apa yang ibu bapa boleh lakukan untuk bersiap-sedia? Berikut ialah cara untuk mengurangkan kesan kualiti udara yang teruk:

  • Semak tahap IPU. Elakkan aktiviti luar yang lasak jika IPU berada pada tahap tidak sihat (lebih 100) dan jangan keluar langsung jika IPU berada pada tahap tidak sihat atau sangat berbahaya (lebih 200).

  • Tutup pintu dan tingkap. Beli dan pasang pengedap pintu/tingkap untuk jadikan rumah anda “kalis jerebu”. Ini paling berkesan jika anda mempunyai pembersih udara. Pada hari tanpa jerebu/pencemaran udara, bukalah pintu/tingkap agar udara mengalir.

  • Beli pembersih udara. Alat ini membantu mengekalkan udara di rumah anda bersih daripada zarah udara yang tercemar. Periksa spesifikasi pembersih udara itu untuk memastikan ia berkesan dengan saiz bilik yang anda mahu letakkannya. Gantikan penapis apabila perlu (kebanyakan model terbaru akan memberi isyarat apabila penapis perlu ditukar).

  • Pastikan badan  terhidrat.  Minum lebih banyak air berbanding biasa. Mengekalkan hidrasi badan membantu mencairkan kahak yang terkumpul di hidung/tekak, menjadikannya lebih mudah keluar apabila bersin atau batuk.

  • Gunakan penutup hidung dan mulut. Gunakan jenis N95 (atau lebih tinggi) dengan saiz yang sesuai dan pakainya dengan betul untuk menapis udara di luar. Penutup pakai buang ini harus dibuang selepas setiap penggunaan. Penutup hidung dan mulut biasa atau jenis perubatan (yang tiga lapis) boleh digunakan jika jenis N95 tidak didapati, tetapi ia kurang sesuai kerana tidak mampu menapis kebanyakan zarah halus. Penutup hidung dan mulut jenis kain adalah pilihan paling teruk kerana ia tidak sesuai untuk tujuan ini dan boleh menjadi sumber jangkitan jika basah.

Penutup hidung dan mulut N95 direka untuk orang dewasa, tetapi kanak-kanak lebih tua boleh memakainya. Bagaimanapun, bayi dan kanak-kanak kecil tidak akan mendapat manfaat daripada penggunaannya, jadi pastikan mereka berada di dalam rumah.

Contoh penutup hidung dan mulut N95.

Ingatlah, penutup hidung dan mulut N95 memerlukan lebih banyak usaha untuk bernafas, jadi ia mungkin tidak sesuai untuk orang tua, pesakit dengan penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung atau strok, atau wanita di peringkat akhir kehamilan.

Berjaga-jagalah

Selain jerebu, terdapat beberapa kes pencemaran udara dan air yang disebabkan oleh pelupusan bahan kimia/ buangan industri secara haram (contohnya, kejadian Sungai Kim Kim di Johor) yang menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.

Dari segi langkah-langkah pencegahan, tidak banyak yang boleh kita lakukan selain berhati-hati dengan tanda- tanda kesukaran bernafas atau kecemasan, dan mengurangkan pendedahan kepada kualiti udara yang teruk sebanyak mungkin. Langkah terbaik adalah untuk kekal berjaga-jaga dan ambil langkah aktif bagi memastikan udara lebih bersih untuk anak-anak dan keluarga.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen