Menyeimbangkan kerjaya dan keluarga memang sukar, terutamanya bagi ibu yang pertama kali hamil. Mujurlah, ibu bapa muda, majikan yang prihatin dan ahli keluarga mula berganding bahu demi kesejahteraan semua.
Ini sepatutnya waktu istimewa dalam hidup anda, apabila anda dan pasangan memutuskan untuk menimang cahaya mata dan memulakan perjalanan membina keluarga bersama. Bagaimanapun, perjalanan ini selalunya dipenuhi perbincangan (malah pertengkaran!) dan keputusan sukar berkaitan kerjaya, kewangan dan hidup.
Wanita bekerja, khususnya, harus mempertimbangkan kesan mempunyai anak terhadap kerjaya mereka. Kehamilan biasanya membuatkan pasangan mengambil peranan jantina tradisional di mana suami menumpukan pada pencarian nafkah dan isteri mengorbankan kerjayanya untuk menjaga anak-anak di rumah, lalu akhirnya meletakkan wanita dalam keadaan yang sukar, dari segi kesetaraan jantina di tempat kerja.
Dasar cuti ibu bapa yang progresif, seperti yang dilaksanakan di negara-negara Scandinavia seperti Finland, Jerman dan Iceland, boleh membuatkan perjalanan keibubapaan lebih saksama, dengan mengagihkan tanggungjawab antara pasangan. Bagaimanapun, di Malaysia, wanita masih perlu menggalas kebanyakan beban menguruskan keluarga, lebih- lebih lagi kerana undang-undang kita digubal enam dekad lalu dan masih belum melalui pindaan besar.
Di bawah Kelayakan Perlindungan Bersalin dalam Akta Kerja 1955 di Malaysia, ibu-ibu layak mendapat 60 hari cuti bersalin berturut-turut, dan setiap pekerja wanita berhak mendapat cuti bersalin bergaji sehingga anak kelima. Selain itu, bapa yang bekerja dalam sektor swasta tidak berhak dari segi undang-undang untuk memperoleh sebarang cuti paterniti, manakala bapa yang bekerja dalam sektor awam mendapat tujuh hari cuti paterniti bergaji. Kementerian Sumber Manusia pada awal tahun ini mencadangkan pindaan Akta Kerja untuk membenarkan tiga hari cuti paterniti bergaji bagi pekerja sektor swasta.
The Star Online melaporkan pada bulan Jun bahawa penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia hanyalah 55.6%, iaitu antara yang terendah di Asia Tenggara, berbanding 80.7% bagi lelaki, setakat tahun 2018.
Ramai wanita rasa tidak disokong apabila mereka cuba kembali bekerja selepas cuti bersalin tamat. Biasanya tiada sokongan formal bagi para wanita ini yang harus menyesuaikan diri dengan peranan baharu sebagai “ibu bekerja”. Tanggungjawab hampir digalas sepenuhnya oleh ibu untuk menyesuaikan waktu penyusuan dan jadual tidur anak, dan memikirkan cara untuk pergi kerja dan pulang ke rumah tepat pada waktunya, untuk memasak, membersih dan menghantar anak ke sekolah/pusat jagaan, serta bagaimana mereka harus meneruskan penyusuan susu ibu (di mana dan bila harus mengepam susu ibu, bagaimana ia perlu disimpan) sambil menguruskan kerja di pejabat! Ia bukanlah tugas yang mudah! Mereka yang bekerja sendiri pun turut menghadapi cabaran sama.
Ooi See Bee dari Kuching, Sarawak, yang menjalankan perniagaan aiskrim menggunakan trak makanan, berkata penyusuan susu ibu sukar dilakukan apabila dia bekerja semula selepas berpantang.
Ibu kepada dua orang anak itu berkata, “Cabarannya adalah untuk mencari masa untuk menyusukan bayi saya. Saya perlu kerja di luar, jadi mencari tempat untuk memerah susu dan menyimpannya adalah sukar! Selalunya, saya akan lakukannya dalam kereta dengan semua tingkap tertutup dan membawa beg sejuk bersama.”
Bekalan susu ibu biasanya menurun apabila seseorang kembali bekerja, mungkin kerana persekitaran kerja yang tidak kondusif seperti di rumah. Dua puluh tahun lalu, banyak pejabat tidak menyediakan ruang penyusuan, jadi si ibu terpaksa duduk di bilik air atau bilik stor apabila perlu memerah susu. Proses mengepam juga dianggap mengganggu rutin kerja dan mengambil masa makan tengahari atau rehat, lalu menyebabkan rakan sekerja dan majikan beranggapan tidak baik terhadap anda! Bagaimanapun, keadaannya semakin baik hari ini dan ramai wanita mendapati rakan sekerja dan pengurusan semakin terbuka dengan keperluan waktu bekerja yang fleksibel bagi ibu.
Nasa Maria Entaban, wartawan dari Petaling Jaya, berkongsi pengalaman di mana majikannya banyak memberikan sokongan apabila dia mula menjadi seorang ibu.
“Tiada siapa merungut kerana saya mengambil cuti untuk membawa anak-anak menerima vaksinasi atau semasa mereka sakit, dan saya jarang diberikan tugasan selepas waktu kerja sehinggalah anak pertama saya sudah besar sedikit dan kami mengambil pembantu rumah,” kata ibu berumur 37 tahun itu, dengan dua anak, seorang berusia enam tahun dan seorang lagi bayi lapan bulan.
Tempat kerja Nasa di Menara Star mempunyai bilik ibu menyusu di mana para ibu boleh mengepam susu dengan selesa di tempat yang tertutup dan menyimpan susu mereka dalam persekitaran yang selamat dan bersih serta dibenarkan untuk mengepam susu sekerap yang diperlukan.
Namun, Nasa menambah bahawa cabarannya adalah untuk mencari masa yang sesuai untuk membina kerjaya dan menerima lebih banyak tanggungjawab. Katanya, “Walaupun waktu kerja saya tidak teruk dan ada cuti pada hujung minggu, saya masih rasa sukar untuk cuba menyeimbangkan antara membesarkan anak-anak dan memikirkan kerjaya saya, apatah lagi tanggungjawab saya sebagai isteri!”
Jadi, apa yang majikan boleh lakukan lagi untuk memberi peluang yang saksama untuk ibu bekerja, khususnya ibu baharu? Nasa berpendapat, kita perlu lebih memahami kepentingan peranan bapa dalam menjaga anak.
“Jangan menguatkan lagi stereotaip bahawa 90% pengasuhan ialah tugas wanita. Berikan bapa peluang untuk membawa anak berjumpa doktor dan sebagainya. Jika tugas pengasuhan cuma digalas oleh ibu, wanita akan terus ketinggalan dalam tenaga kerja.
“Bagi ibu baharu, sediakan pusat penjagaan di bangunan sama agar ibu boleh kembali bekerja dengan tenang kerana bayi mereka berada berdekatan. Lebih penting, jika mereka memberikan susu ibu kepada bayi, ini membolehkan mereka mengekalkan bekalan susu yang biasanya menurun apabila kembali bekerja sepenuh masa. Atau, tawarkan subsidi bagi pusat penjagaan berdekatan tempat kerja (beberapa syarikat multinasional di KL sudah menawarkannya). Bagi ibu yang bekerja, berikan mereka pilihan untuk bekerja dari rumah. Jangan hukum ibu bapa kerana mahu membesarkan generasi masa hadapan.”
Namun begitu, para ibu masih risau untuk mengambil manfaat dasar kerja fleksibel di syarikat yang menawarkannya kerana takut dilabel sebagai “tidak bercita-cita” atau “terganggu”, lalu diletakkan di jawatan bergaji rendah yang kurang diperlukan. Sementara itu, mereka yang mengambil keputusan untuk bercuti lebih lama juga akan rasa tidak sedap hati. Melepaskan kerjaya, walaupun sebentar, boleh menyebabkan keresahan, dan ramai ibu baharu rasa buntu dengan perubahan kerjaya secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, jika anda mempunyai persefahaman yang baik dengan pasangan dan sudah memutuskan sejak awal sekerap mana anda mahu meluangkan masa untuk keluarga dan juga kerjaya, anda boleh menetapkan keutamaan sejak awal dan mungkin boleh berjaya sebagai ibu dan wanita berkerjaya.
Siti Hajar Abdul Rahman, 39, dari Petaling Jaya, dahulunya bekerja dalam Komunikasi Korporat semasa beliau melahirkan anak lelakinya yang kini berusia empat tahun.
“Pada awalnya saya ambil cuti bersalin tetapi akhirnya terpaksa berhenti kerja kerana saya merasakan tiga bulan tidak cukup untuk berada bersama bayi saya dan saya mahu menyusukannya pada enam bulan pertama. Saya juga tidak bersedia untuk membenarkan orang lain menjaganya. Saya luangkan enam bulan di rumah sebelum kembali bekerja sebagai perunding, dan ini membolehkan saya bekerja dua hari seminggu dengan waktu fleksibel,”
kata Hajar.
“Enam bulan ialah tempoh yang baik untuk saya. Masa yang cukup bukan sahaja untuk menyesuaikan diri dengan rutin tetapi juga memberikan saya masa dan kebolehan untuk memberikan susu ibu secara eksklusif. Tempoh itu juga cukup panjang dan apabila tiba masa untuk saya kembali bekerja, saya tidak sabar! Suami saya memainkan peranan penting pada bulan-bulan pertama dan sehingga hari ini. Selepas melahirkan anak saya, saya sebenarnya mengalami sakit pelvis yang teruk. Saya terpaksa menghadiri sesi fisioterapi setiap dua hari selama tiga bulan sebelum betul-betul sihat. Pada waktu itu, kehadiran suami saya banyak membantu meringankan beban menjaga bayi baru lahir sementara saya melalui proses pemulihan.”
Untuk temu bual lebih mendalam bersama-sama ibu-ibu ini, layari Wanita bekerjaya: Ibu dan Cuti Bersalin
Komen