Peperiksaan akhir tahun yang semakin hampir boleh menjadi punca stres dan tekanan bagi remaja. Lebih-lebih lagi apabila mereka bakal menduduki peperiksaan besar seperti SPM atau PT3.
Stres atau tekanan tidak semestinya satu perkara yang buruk. Sedikit tekanan positif boleh memotivasikan anak remaja anda agar bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Masalah timbul apabila anak anda menghadapi tekanan yang terlampau tinggi untuk mencapai keputusan cemerlang, malah ini boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan dan pencapaian keseluruhannya.
Gejala stres
Anak anda yang menghadapi tekanan peperiksaan mungkin menunjukkan tanda-tanda berikut:
Simptom fizikal
- Sakit kepala atau sakit perut
- Turun atau naik berat badan (perubahan dalam selera makan)
- Tidur terlalu banyak atau terlalu sedikit
- Gadis remaja mungkin mengalami perubahan dalam kitaran haid
Kelakuan dan emosi
- Rasa tertekan, mudah marah dan suram
- Mudah jengkel dan resah
- Lebih sensitif daripada biasa apabila dikomen ibu bapa atau orang lain
Pada tahap stres lebih serius
- Hilang minat dalam aktiviti yang digemari
- Mood negatif yang berterusan dan rasa tiada harapan
- Serangan panik
- Keinginan untuk berseorangan
Apakah yang anda boleh lakukan?
Berikut ialah perkara yang anda boleh lakukan untuk menyokong dan memperkasakan anak remaja anda untuk menangani stres:
Organisasi
- Pengurusan masa: Bantu anak anda untuk menyediakan jadual visual atau jadual waktu. Jadual tersebut boleh disusun secara mingguan ataupun dalam bentuk senarai tugas harian yang ringkas. Maklumbalas anda akan membantu tetapi mungkin lebih bermanfaat sekiranya anda membimbing anak anda untuk merancang strategi atau pelan tindakannya yang sendiri.
- Tempat belajar yang kondusif: Sediakan meja dan kerusi belajar yang selesa dan ergonomik, dan pastikan cahaya mencukupi. Susun buku dan alat tulis agar mudah diambil kerana barangan yang bersepah boleh mengganggu tumpuan. Kurangkan gangguan digital seperti TV dan gajet elektronik.
- Tugas dan rutin harian: Fahamilah bahawa peperiksaan ialah keutamaan anak anda pada ketika itu, jadi janganlah terlalu tegas dengan tugasan rumahnya. Susun semula senarai tugasan atau rutin keluarga yang lain agar tidak bercanggah dengan waktu belajarnya.
- Waktu rehat: Otak dan mata yang letih tidak dapat menumpukan perhatian. Dalam jadual anak anda, bantu anak anda merancang tempoh rehat yang pendek semasa belajar. Dia boleh melakukan sedikit senaman ringan, berjalan sebentar, mendengar muzik, bermain dengan haiwan peliharaan, atau tidur sebentar.
Pemakanan dan kesihatan fizikal
- Pemakanan yang sihat: Pastikan makanannya berkhasiat dan dia tidak ketinggalan masa makan.
Sediakan snek sihat semasa sesi belajar seperti buah- buahan segar, susu, yogurt, sandwic, atau biskut bijirin penuh. Elakkan produk mengandungi kafein. - Tidur yang cukup: Sekurang-kurangnya 8 jam tidur diperlukan agar daya tumpuannya di tahap optimum pada keesokan hari.
- Kekal aktif: Senaman dan aktiviti fizikal boleh membantu mengurangkan tekanan. Endorfin yang dihasilkan dalam badan semasa senaman membantu badan dan minda untuk relaks dan kekal positif.
Kesihatan emosi dan mental
- Tunjukkan sokongan: Beri respons positif kepada keperluan dan perasaannya. Jangan anggap keresahannya tidak berasas. Jadilah ibubapa yang mudah didampingi dan luangkan masa istimewa bersama.
- Bincang tentang kebimbangannya: Berasa bimbang tentang peperiksaan adalah normal. Yang penting ialah cara dia menghadapinya. Dengarlah luahan hatinya sama ada tentang kekurangan masa atau kesukaran memahami topik tertentu. Sekiranya dia rasa mahu putus asa, ingatkannya tentang matlamat atau cita-citanya.
- Jangan tambah tekanan: Cuba elakkan berleter kepadanya semasa tempoh ini (walaupun ini sukar bagi ibu bapa!). Kekal tenang, positif dan yakinkannya semasa dia tertekan. Elakkan kritikan negatif dan jangkaan tidak realistik. Beritahunya anda tetap menyayanginya walau apa pun keputusan peperiksaannya; yang penting adalah untuk berusaha sehabis baik.
- Hadiah dan ganjaran: Ganjaran kecil selepas seharian belajar boleh menggalakkannya untuk terus berusaha, sama ada dengan makanan kegemarannya atau menonton satu episod rancangan kegemarannya. Merancang aktiviti untuk dilakukan selepas peperiksaan juga boleh menjadi motivasi baginya.
Kesimpulannya, peperiksaan hanyalah sebahagian kecil daripada hidup kita. Masa depan tidak hanya ditentukan oleh keputusan peperiksaan. Pelbagai faktor lain dalam hidup menyumbang kepada perkembangan dan kesejahteraan seseorang. Terlalu mementingkan keputusan peperiksaan tanpa mengambil kira kebolehan anak remaja anda hanya akan menambah tekanannya dan boleh membawa kepada masalah mental yang serius. Penting untuk mengetahui kebolehan anak dan menyesuaikan jangkaan anda, sambil menyokongnya berdasarkan kelebihan dan kelemahannya yang unik.
Komen