Pengasuhan Positif

Kemurungan Kanak-kanakdan Keinginan Bunuh Diri

Bunuh diri ialah sebab kematian KEDUA tertinggi dalam kalangan belia (15-29 tahun) – WHO, 2016

Golongan remaja dan praremaja menghadapi pelbagai tekanan semasa menyesuaikan diri di zaman remaja. Semua kekacauan dan ketidaktentuan yang mereka hadapi semasa fasa transisi dalam hidup ini sering membawa kepada kemurungan (depression), dan apabila mereka rasa tiada orang yang prihatin, bunuh diri mungkin menjadi pilihan.

Pada Mei tahun ini, seorang remaja perempuan 16 tahun di Sarawak membunuh diri dengan terjun dari bangunan, selepas memuat naik undian di akaun Instagram dengan tajuk “Really Important, Help Me Choose D/L” (Amat Penting, Tolong Saya Pilih D/L), di mana D bermaksud ‘death’ (mati) dan L bermaksud ‘live’ (hidup). Enam puluh dua peratus responden memilih D, lalu membawa kepada kejadian malang itu. Siasatan polis mendedahkan remaja itu disyaki mengalami kemurungan akibat masalah keluarga.

Beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kes sama telah berlaku, menunjukkan betapa seriusnya masalah kemurungan kanak-kanak di Malaysia dan seluruh dunia.

Apa itu kemurungan kanak-kanak?

Dr Yen Teck Hoe, seorang pakar perunding psikiatri, berkata kemurungan berbeza dengan perasaan sedih yang biasa atau emosi harian lain. “Kemurungan ialah satu penyakit mental dengan manifestasi simptom yang berterusan seperti kesedihan yang menguasai diri dan kehilangan minat, lalu mengganggu kebolehan seseorang untuk berfungsi dan bersosial,” jelasnya.

Kemurungan meningkatkan risiko kelakuan membunuh diri. Masalah lain seperti oppositional defiant disorder (ODD), masalah tingkah laku, masalah penyalahgunaan dadah dan keresahan (anxiety) juga kerap dikaitkan dengan kemurungan. “Semua ini boleh menjejaskan perkembangan psikologi dan interpersonal kanak-kanak. Perkembangan akademik di sekolah dan kebolehan adaptif lain juga akan terganggu. Masalah kemurungan juga meningkatkan risiko kecelaruan bipolar dan masalah serius lain dalam kanak-kanak,” jelas bekas presiden Persatuan Psikiatri Malaysia itu.

Sebelum kajian terkini dalam psikiatri perkembangan, kemurungan dianggap sebagai masalah yang hanya dialami oleh orang dewasa. Kanak- kanak dianggap tidak cukup matang untuk mengalami kemurungan, dan bersikap pemarah atau sedih hanya dilihat sebagai kelakuan biasa bagi remaja akibat perubahan emosi atau ketidakseimbangan hormon.

“Salah faham ini masih wujud dalam kalangan ibu bapa hari ini; kemurungan sering kali tidak didiagnosis kerana simptom kemurungan dianggap sebagai perubahan emosi normal yang dikaitkan dengan tumbesaran,” tambahnya.

Apakah statistiknya?

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017, prevalen kemurungan, keresahan dan tekanan dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun masing-masing adalah 18.3%, 39.7% dan 9.6%. Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula melaporkan hampir 800,000 kes bunuh diri setiap tahun. Malah, bunuh diri ialah sebab kematian kedua tertinggi dalam kalangan belia (15-29 tahun).

“Pada 2016, kadar bunuh diri di Malaysia adalah 6.2 daripada setiap 100,000 penduduk, lebih rendah daripada purata global iaitu 10.6. Bagaimanapun, jumlah sebenar dianggarkan lebih tinggi – cubaan bunuh diri salah di sisi undang-undang Malaysia, menyebabkan kekurangan laporan dan salah klasifikasi (punca kematian) satu kebimbangan,” komen Dr Yen.

Mengapa ini berlaku?

Bagi menyelesaikan isu kemurungan kanak-kanak dan kecenderungan bunuh diri, penting untuk mengenal pasti sebab di sebalik kelakuan itu. Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Dato’ Dr Andrew Mohanraj menjelaskan: “Biasanya, kemurungan berlaku disebabkan oleh kombinasi beberapa faktor, tetapi kejadian yang menyebabkan trauma seperti kematian orang tersayang, juga boleh menjadi pencetus.” Secara umumnya, faktor ini termasuklah masalah keluarga, penderaan fizikal, emosi atau seksual, penyakit fizikal, sejarah kemurungan atau gangguan mental dalam keluarga, atau kejadian yang mengakibatkan tekanan.

Contoh kes kemurungan kanak-kanak

Lisa (bukan nama sebenar), 13 tahun, ialah seorang anak tunggal. Ibu bapanya kerap bertengkar. Dia rapat dengan neneknya yang mempunyai sejarah masalah kemurungan. Dia seorang anak yang baik dan pelajar yang pintar tetapi kerap dibuli oleh rakan sebaya kerana dia lebih suka mengalah. Bapanya pula sering tegas dan mempunyai jangkaan yang tinggi terhadapnya, serta sentiasa mahukan prestasi yang baik daripadanya di sekolah.

Ketika dia masih cuba menyesuaikan diri di sekolah menengah, neneknya meninggal dunia. Kemudian, prestasi akademiknya menurun dan dia mula meluangkan banyak masa melayari internet, bermesej dengan kawan dan bermain permainan video. Selepas didenda kerana berbual di dalam kelas, dia semakin menyendiri. Dia semakin mudah marah dan menunjukkan kelakuan menyakiti diri sendiri seperti melukakan pergelangan tangannya. Dia juga mula bercakap tentang membunuh diri.

Ibunya risau dengan perilakunya dan membawanya berjumpa pakar psikiatri. Penilaian psikiatri mendapati dia mempunyai fungsi kognitif yang baik dari segi kebijaksanaan dan memori. Bagaimanapun, dia melaporkan mengalami gangguan tidur dan selera yang berkurangan. Dia berkongsi tentang kesedihannya dan kehilangan minatnya terhadap aktiviti harian. Dia juga kerap bercakap tentang mengakhiri hidupnya dan membayangkan apa perasaan ibunya jika dia meninggal dunia. Dia didapati mengalami Kemurungan Klinikal. Dia kemudian diberikan ubat antidepresan dan mula menyertai sesi terapi kelakuan kognitif.

Bilangan kes kemurungan dan kejadian bunuh diri yang semakin meningkat mungkin juga berkait dengan modenisasi dan kesannya pada hubungan manusia. Profesor Madya Dr Alvin Ng Lai Oon, pakar psikologi klinikal dan presiden pengasas Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, berkata bahawa kehidupan yang sibuk mengurangkan waktu pergaulan dengan keluarga dan kawan, dan ini boleh membawa kepada rasa keterasingan.

Kemunculan media sosial – atau lebih tepat lagi, “media tidak sosial” – nampaknya memburukkan lagi keadaan akibat budaya negatif “trolling” dan peningkatan narsisisme (“syok sendiri”), dan mengalihkan perhatian daripada isu-isu kemasyarakatan yang lebih penting. Buli siber pula menjadi satu bentuk buli yang baharu. Walaupun kelakuan itu mungkin tidak berlaku dalam dunia sebenar atau secara fizikal, buli siber boleh menjadi lebih teruk kerana pelaku bersembunyi di sebalik skrin. “Harus diakui bahawa internet mempunyai pelbagai faedah, akan tetapi, internet juga boleh memberi ruang untuk sesetengah orang berkelakuan buruk,” kata Dr Ng.

Tanda & petunjuk

Ibu bapa tidak boleh menunggu sehingga masalah bertambah buruk sebelum mengambil langkah, nasihat Dr Andrew, yang juga seorang pakar perunding psikiatri. “Berjumpalah pakar kesihatan profesional jika anak anda menunjukkan simptom kemurungan. Ini termasuklah kesedihan yang menguasai diri, hilang minat terhadap aktiviti kegemaran, rendah keyakinan diri, rasa bersalah yang berlebihan, berfikir tentang bunuh diri, gangguan tidur dan selera makan, serta sukar menumpukan perhatian,” tambahnya lagi.

“Tiada perbezaan antara kemurungan dewasa dan kanak-kanak dari segi diagnosis, tetapi terdapat simptom tertentu yang berkaitan umur, seperti sering meragam, sukar naik berat badan, hiperaktif atau kemerosotan prestasi di sekolah, yang boleh berlaku kepada kanak-kanak. Simptom fizikal yang tidak dapat dijelaskan seperti sakit kepala, sakit perut atau terkencing tanpa sengaja, juga boleh dikaitkan dengan kemurungan kanak-kanak.”

Secara umumnya, ibu bapa perlu mengambil perhatian jika anak- anak mereka mula menghadapi masalah di sekolah atau jika mereka lari daripada rumah. Ibu bapa juga harus mengawasi tanda-tanda penyalahgunaan dadah atau alkohol, ketagihan internet atau permainan video, dan kelakuan ganas atau luar biasa.

Peranan Semua Pihak

Semua pihak termasuk ibu bapa, keluarga, guru, masyarakat dan kerajaan, semuanya bertanggungjawab ke atas kesejahteraan mental kanak-kanak. Ibu bapa memainkan peranan paling penting kerana merekalah yang paling rapat dengan anak mereka. “Jika anda rasa anak anda mengalami kemurungan atau keresahan, berbincanglah dengannya dan tanya bagaimana perasaannya dan sekiranya terdapat masalah di sekolah atau rumah. Malah, ini harus menjadi kebiasaan antara anda dan anak anda. Adalah penting untuk memperakui perasaannya agar dia tahu dia boleh lakukan sesuatu untuk menguruskannya,” kata Dr Ng.

“Selepas didiagnosis dengan kemurungan, doktor mungkin akan mengesyorkan psikoterapi, ubatan atau kombinasi kedua-duanya, bergantung pada tahap keseriusannya,” jelas Dr Yen. Jika simptom tidak teruk, psikoterapi atau sesi kaunseling boleh dicadangkan dahulu dan sekiranya tiada perubahan, antidepresan boleh dipertimbangkan.

Nasihat lain untuk membantu anak anda menghadapi kemurungan termasuklah:

  • Menggalakkan gaya hidup sihat. Amalkan pemakanan sihat serta senaman dan tidur yang mencukupi. Kawal penggunaan peranti digital dan luangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan kawan.
  • Ajarkan cara mengurus tekanan. Tekanan tidak dapat dielakkan dalam hidup. Yang penting adalah cara anda menanganinya. Bantunya mencari cara untuk bertenang dan melihat masalah secara positif. Membahagikan masalah kepada beberapa bahagian boleh membantu.
  • Pastikan keselamatannya. Siasat sebarang isu berkaitan buli. Bantunya untuk menghadapi kehilangan (contohnya, kematian orang tersayang). Cuba jangan tambah tekanan tidak wajar kepadanya. Simpan objek berbahaya seperti pisau, tali panjang/kabel atau ubatan luar daripada pengetahuannya.
  • Didik orang sekelilingnya tentang masalah kemurungan dan gejalanya. Gejala kemurungan mungkin kelihatan seperti sifat pemalas atau panas baran, tetapi sebenarnya berbeza. Membincangkan sejarah kemurungan dalam keluarga ialah satu cara untuk menjelaskannya.
  • Sediakan rancangan keselamatan. Pastikan dia hadir terapi dan ambil ubatannya. Sediakan senarai orang untuk dihubungi jika dia rasa murung. Awasi sebarang kelakuan bunuh diri dan sediakan senarai tindakan ketika kecemasan (contohnya, siapa perlu dihubungi, apa harus dilakukan dan sebagainya).

Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pengasuhan Positif, mengakui, “Kadangkala, lebih mudah untuk ibu bapa menafikan daripada menerima bahawa anak mereka mengalami kemurungan. Stigma sosial yang dikaitkan dengan penyakit mental
masih wujud pada era ini.”

Ibu bapa harus memahami kemurungan dan juga kepentingan pengesanan dan rawatan awal. Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kesihatan mental dan kemurungan. Orang ramai harus sedar bahawa kemurungan bukan semata-mata “angin tidak baik” dan ia bukan masalah yang boleh pulih sendiri tanpa rawatan yang sepatutnya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen