Pengasuhan Positif

Jangan Makan Lewat Malam!

Kebelakangan ini, budaya makan di Malaysia telah banyak berubah. Makanan sentiasa boleh didapati dan kita cenderung untuk makan di luar dengan lebih kerap, termasuk pada lewat malam.

Trend makan/minum lewat malam ini memberi kesan kepada keluarga. Disebabkan pelbagai makanan boleh didapati lewat malam, kita tertarik untuk makan walaupun tidak lapar. Memandangkan kanak-kanak sering mencontohi tabiat makan ibu bapa mereka, mereka juga akan ada keinginan untuk makan lewat malam.

Adakah ini membimbangkan?

Ibu bapa perlu sedar makan lewat malam tidak sihat, terutamanya bagi kanak- kanak. Dia akan cenderung untuk makan lebih daripada yang diperlukan badannya, terutamanya jika dia telah pun makan malam. Kita cenderung untuk makan lagi selepas makan malam, bukan kerana lapar, tetapi kerana mengidam, kebosanan atau stres, dan ini membawa kepada makan berlebihan.

Makan lewat malam biasanya berlaku terlalu dekat dengan waktu tidur kanak-kanak, ketika metabolismanya lebih rendah dan badannya kurang membakar kalori. Kalori berlebihan itu akan disimpan sebagai lemak. Tambahan pula, sistem pencernaannya tidak cukup masa untuk rehat kerana menghadam makanan yang diambil lewat malam. Kualiti pemakanan pada lewat malam juga kurang memuaskan, kerana makanan tinggi karbohidrat diproses lebih digemari.

Malaysia berada pada kedudukan pertama bagi prevalens obesiti kanak- kanak dalam kalangan negara ASEAN. Ini amat membimbangkan, dan makan lewat malam mungkin salah satu faktor di sebalik statistik ini. Maka, kanak-kanak harus makan pada waktu yang sesuai untuk membasmi epidemik ini.

Kesan negatif

Jika makan lewat malam menjadi tabiat, berat kanak-kanak akan meningkat akibat makan berlebihan, lalu mengakibatkan berat badan berlebihan atau obesiti. Makan lewat malam juga dikaitkan dengan gangguan jam biologi, kerana tindak balas glukosa dan insulin terhadap makanan yang diambil pada waktu ini terganggu, dan lama-kelamaan membawa kepada rintangan insulin. Makan sebelum waktu tidur juga boleh menyebabkan refluks asid atau menyebabkan karies gigi, terutamanya dalam kalangan kanak- kanak dengan gigi susu. Tanpa intervensi awal, tabiat makan lewat malam akan berterusan sehingga dewasa dan menjadi lebih sukar untuk dikawal. Masalah-masalah ini boleh menjadi kronik, membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Godaan waktu malam

Bagi mengelakkan makan lewat malam, ingat beberapa perkara berikut:

  • Waktu makan teratur. Ikut waktu makan utama yang teratur dengan waktu snek sihat. Contohnya, anak anda makan sarapan pada 7pg, snek pagi pada 10pg, makan tengahari pada 1ptg, snek petang pada 4ptg, dan makan malam pada 7mlm. Ini mencegah rasa mengidam dan makan berlebihan sepanjang hari, terutamanya pada lewat malam.
  • Makan malam sihat. Makan malam yang seimbang dengan pelbagai kumpulan makanan akan menghalang anak anda daripada menginginkan snek lewat malam.
  • Elakkan berlapar. Melewatkan atau tidak makan boleh menyebabkan makan berlebihan pada waktu makan seterusnya. Seseorang cenderung untuk makan lebih pada lewat malam jika mereka tidak makan malam sebelum itu.
  • Tabiat tidur sihat. Jadual waktu tidur yang teratur boleh mencegah makan lewat malam. Kanak-kanak berumur 6-13 tahun memerlukan 9-11 jam tidur setiap hari, jadi arahkan anak anda tidur awal dan tepat masa setiap malam.
  • Pengasuhan baik. Ibu bapa ialah pengaruh besar kepada anak mereka. Jika anda kerap makan lewat malam, anak anda akan fikir ia perlakuan yang boleh diterima, lalu akan mencontohi tabiat itu. Bertegas dengan anak anda untuk memastikan dia tidak mengambil snek yang tidak diperlukan, terutamanya jika dia berlebihan berat badan.
  • Lebihkan masa bermain, kurangkan waktu skrin. Kurangkan waktu skrin sebelum waktu tidur agar
    dia boleh tidur dengan lebih mudah. Pendedahan berlebihan kepada cahaya biru daripada skrin membuatkan badan kekal
    terjaga, dan anak anda lebih cenderung untuk makan snek ketika hampir waktu tidurnya. Galakkan lebih banyak masa bermain dan bersukan semasa siang hari bagi menggantikan waktu skrin/snek pada waktu malam.

Makan malam yang lebih sihat

Makan lewat malam amat tidak digalakkan, tetapi jika anak anda tetap lapar selepas makan malam:

  • Pilih snek lebih sihat. Pilih snek bernutrien dan rendah kalori seperti buah-buahan, mil oat, susu, dan sebagainya.
  • Elak makan di luar. Akan ada lebih banyak godaan untuk makan makanan kurang sihat apabila di luar, terutamanya ketika lewat malam. Pilihan sihat juga sukar didapati.
  • Tiada gangguan. Jangan benarkan TV atau gajet dipasang semasa makan lewat malam (atau ketika mana-mana waktu makan). Gangguan boleh menyebabkan makan berlebihan.
  • 3 jam sebelum waktu tidur. Bagi mengelakkan ketidakhadaman, makanan harus diberikan 3 jam sebelum waktu tidur.

Makan lewat malam ialah amalan yang boleh memudaratkan kesihatan. Sebaliknya, anda dan anak anda harus menetapkan waktu makan yang teratur yang sebaiknya dimasak di rumah, serta tidur yang mencukupi. Ini semua sebahagian daripada gaya hidup yang sihat, termasuklah pemakanan seimbang dan senaman yang kerap.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen