Jika dibandingkan dengan generasi kita, kanak-kanak hari ini menghadapi banyak perbezaan dalam cara pengasuhan mereka, dan paling ketara, mereka tidak banyak berpeluang bermain di luar.
Rasa takut terhadap mikroorganisma penyebab penyakit telah mendorong ibu bapa mengekalkan persekitaran steril yang bebas kuman. Walaupun tidak dinafikan kebersihan adalah penting, ada juga yang terlampau bersih. Ini mengehadkan atau membantutkan peluang anak untuk didedahkan kepada pelbagai jenis mikrob ‘baik’ untuk melatih sistem imunnnya untuk bertindak sewajarnya kepada rangsangan.
Malangnya, istilah ‘mikroorganisma’ sering dikaitkan dengan kuman dan virus pembawa penyakit, lalu membuatkan ramai orang takut akan semua mikroorganisma. Para saintis mengatakan pengurangan kepelbagaian mikrobiom manusia (mikroorganisma yang hidup dalam badan manusia) telah membawa kepada peningkatan penyakit alahan dan ini dikenali sebagai ‘hipotesis kebersihan’.
Pembantu kecil
Bukan semua mikroorganisma menyebabkan penyakit – mikroorganisma yang pelbagai dalam usus kita dikenali sebagai mikrobiota. 80% daripada seluruh sistem imun kita terletak pada usus, dan usus ialah barisan pertahanan pertama terhadap jangkitan.
Demi membina sistem imun yang kuat, kita perlu mengekalkan keseimbangan sihat antara bakteria baik dan tidak baik (masing-masing sebanyak 85% dan 15%). Bakteria baik membentuk halangan pada dinding usus, lalu menghalang pembiakan mikroorganisma berbahaya. Ia juga membantu memodulasi tindakan sistem imun terhadap ancaman luar, yang berguna dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit alahan.
Sistem imun yang lebih kuat juga membantu anak anda lebih menikmati aktiviti luar. Anda akan lebih tenang apabila tahu sistem imunnya cukup kuat untuk melindunginya dan
bertambah kuat dengan setiap pendedahan.
Menguatkan usus
Untuk permulaan yang baik, pilihlah kelahiran semula jadi berbanding pembedahan caesarean kerana laluan faraj mengandungi bakteria yang membantu memulakan mikrobiota usus anak anda, yang tidak terganggu oleh sebarang bakteria sejak mula.
Jangan bimbang jika anda terlepas peluang itu, kerana masih banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesihatan usus anak anda:
- Nikmati alam semula jadi. Bawa anak anda keluar untuk meneroka persekitaran alam semula jadi (seperti taman rekreasi, ladang, hutan). Ini membantu meningkatkan pendedahan kepada pelbagai jenis mikroorganisma yang membantu mematangkan sistem imunnya dan menyihatkan tubuhnya. Akademi Pediatrik Amerika (AAP) juga mengesyorkan bermain di luar untuk meningkatkan kemahiran deria dan koordinasi fizikal kanak-kanak.
- Main dengan haiwan peliharaan. Benarkan anak anda memelihara haiwan. Jika keadaan tidak membenarkan, bawalah anak anda ke zoo haiwan jinak.
- Elakkan antibiotik. Antibiotik digunakan hanya apabila diberikan oleh pakar pediatrik. Antibiotik tidak berkesan terhadap penyakit viral.
- Amalkan pemakanan seimbang dan sihat. Sediakan lebih serat pemakanan dalam hidangan anak anda. Serat pemakanan seperti kekacang, bijirin penuh, buah-buahan dan sayur- sayuran diperlukan untuk mengekalkan usus yang sihat.
- Pilih makanan kaya prebiotik dan probiotik. Serat pemakanan tertentu juga bertindak sebagai prebiotik, iaitu makanan untuk bakteria baik di dalam usus. Mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus yang sihat memerlukan pengambilan kedua-dua prebiotik dan probiotik.
Perkara lain yang harus dilakukan setiap hari termasuklah memastikan anak anda bergiat aktif, mendapat tidur yang cukup, dan meminum air yang secukupnya.
Jangan abaikan kebersihan
Kekalkan kebersihan tetapi bukan secara keterlaluan. Bahaya muncul apabila idea di sebalik hipotesis kebersihan diambil terlalu ringan dan terlampau ekstrem. Terlalu bersih mahupun terlalu kotor tidak disarankan.
Penerokaan di luar juga harus digalakkan asalkan langkah berjaga-jaga diambil kira. Dua perkara penting yang harus diingati adalah bukan semua mikroorganisma adalah tidak baik dan kebersihan masih perlu diamalkan.
Komen