Zaman remaja sememangnya mencabar kerana ini adalah waktu berlakunya perubahan yang ketara. Akil baligh disertai dengan perubahan hormon, kesedaran diri, kebimbangan dan keresahan – kesemuanya boleh menyumbang kepada kekecohan semasa membesar.
Si remaja juga terpaksa menghadapi peningkatan tekanan sosial disebabkan pandangan rakan sebaya terhadap penampilan mereka. Penampilan fizikal seorang remaja boleh membawa kepada perhatian yang tidak diingini daripada rakan sebaya, menjadikan mereka terlalu risau dengan penampilan dan sensitif terhadap pandangan orang terhadap mereka.
Kepentingan imej badan yang positif
Media massa dan media sosial sering memaparkan badan lelaki atau wanita secara tidak realistik. Jangkaan dan sikap sosial juga boleh memberi kesan negatif kepada imej badan dan merendahkan harga diri. Remaja yang melalui perkembangan fizikal yang lebih ketara atau pantas juga mungkin menerima layanan berbeza oleh rakan sebaya atau orang dewasa. Kesemua faktor ini boleh membawa kepada desakan untuk akur sahaja dengan keadaan.
Mempunyai imej badan yang positif semasa tumbesaran akan membantu remaja menghadapi ketidaksempurnaan fizikal, sama ada ketidaksempurnaan itu benar atau sekadar persepsi. Walaupun tidak salah untuk menetapkan matlamat fizikal untuk dikecapi (contohnya, berpakaian dengan cara tertentu atau bersenam untuk membina otot), ini menjadi masalah jika memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal atau mental remaja.
Komunikasi dua hala adalah penting. Oleh itu, tidak perlu tunggu sehingga ada masalah sebelum anda mula memupuknya.
Apa boleh anda lakukan
Anda boleh bersikap proaktif dan mengambil beberapa langkah wajar untuk mengelakkan kesan negatif. Memupuk hubungan rapat dengan anak remaja anda adalah penting supaya anda boleh sentiasa berada di sisinya untuk memberi sokongan.
Dalam menghadapi isu sebegini dengan remaja, ingat beberapa perkara penting ini:
- Akil baligh membawa perubahan fizikal. Jadi, sebelum ia berlaku, jelaskan kepada mereka apa yang harus dijangkakan.
- Hormati keperluan privasi mereka sambil galakkan mereka untuk berkomunikasi dengan anda secara terbuka.
- Anda harus lebih memahami berkenaan kehendak mereka untuk mengikuti trend fesyen kerana penampilan adalah penting dalam kalangan rakan sebaya. Pada masa sama, anda boleh berbincang dengannya beberapa idea atau strategi untuk memperbaiki penampilan fizikal mereka, sambil memberikan panduan untuk membuat pilihan yang baik (contohnya, isu kebersihan diri). Jika boleh, kongsikan pengalaman anda sendiri.
- Jangan sesekali mengejek atau mengkritik penampilan mereka kerana mereka amat sensitif dan ini boleh menjejaskan harga diri mereka.
- Berwaspada dengan cubaan mereka mengubah paras rupa badan secara keterlaluan (contohnya, diet melampau) kerana ini boleh menjejaskan kesihatan mereka.
- Berilah sokongan untuk mereka menerima sebarang kelemahan fizikal yang mereka miliki, bukannya mengejar kesempurnaan fizikal yang ideal. Seandainya anda menerima sepenuhnya anak anda secara sedia ada, besar kemungkinan anak anda juga akan membesar menjadi seorang remaja dan seterusnya dewasa, yang selesa dengan diri mereka.
Tangani sejak awal
Sesetengah remaja mungkin menyamakan rupa mereka dengan maruah peribadi, dan ini boleh menjadikan mereka mudah terpengaruh oleh komen terhadap penampilan fizikal mereka. Anda boleh mengetahui pandangannya terhadap diri sendiri dengan lebih tepat sekiranya anda meluangkan masa berkualiti dengannya.
Dengan meluangkan masa untuk betul-betul mengenali anak remaja anda yang sedang membesar, anda boleh menggalakkannya untuk memupuk penghargaan diri lebih baik dalam cara lain yang tidak berkaitan dengan rupa bentuk fizikal. Kita mahukan anak remaja kita diperkasa dengan kelebihan peribadi mereka yang unik, dan mampu menjalinkan perhubungan positif dengan rakan sebaya dan orang lain.
Ini sememangnya mencabar, kerana sesetengah orang dewasa juga mengaitkan rupa fizikal dengan harga diri. Kuncinya terletak pada cara anak remaja anda mengawal emosi berkenaan rupa fizikal mereka. Jadi anda harus perhatikan tanda-tanda ini. Tetapi, ini tidaklah bermaksud anak remaja anda harus mengabaikan keterampilan diri mereka.
Komen