Pengasuhan Positif

Petua Pemakanan untuk Ibu Bapa Sibuk

Ibu bapa di zaman moden ini sibuk dengan kerja dan tugasan di rumah dan pejabat, maka anak-anak selalunya dihantar ke pusat jagaan atau pengasuh pada siang hari. Ia menjadi satu cabaran bagi ibu bapa untuk mengawasi apa yang dimakan oleh anak-anak, atau memastikan mereka mengamalkan tabiat makan yang sihat.

Tabiat pemakanan yang tidak baik

Kanak-kanak kecil menjalani proses tumbesaran dan perkembangan yang pantas, dan perlu menerima zat yang mencukupi untuk tumbesaran optimum. Sesetengah pusat jagaan atau pengasuh menyediakan makanan yang mudah dimakan dan mungkin kurang berzat. Kadangkala, anda mungkin terpaksa memilih makanan luar (yang mana nilai pemakanannya tidak mampu anda kawal) untuk makan malam keluarga selepas sibuk bekerja di pejabat. Dan jika anak anda cerewet makan, dia berkemungkinan kekurangan beberapa nutrien penting yang diperlukan untuk tumbesaran yang baik.

Lama-kelamaan, tabiat pemakanan yang tidak baik ini boleh menyebabkan pengambilan tenaga dan nutrien yang tidak seimbang, lalu menjejaskan tumbesaran dan perkembangan anak- anak, dan boleh menyebabkan malpemakanan (contohnya, lebih berat badan atau kurang berat badan). Maka, ibu bapa harus meluangkan masa untuk memupuk tabiat makan yang sihat dalam keluarga.

Pupuk tabiat pemakanan yang sihat sejak awal

  1. Pastikan diet adalah seimbang dengan pengambilan makanan daripada kesemua lima kumpulan makanan untuk memastikan tubuh anak anda memperoleh kesemua nutrien yang diperlukan.
  2. Hidangkan makanan dalam jumlah yang wajar dan sederhana untuk mengelakkan pengambilan yang berlebihan atau berkurangan.
  3. Sediakan pelbagai pilihan makanan dalam setiap kumpulan makanan ketika waktu makan sepanjang hari kerana makanan berbeza memberikan nutrien berbeza (contoh untuk protein – pagi: susu, tengah hari: ikan, malam: ayam).
  4. Sediakan 3 hidangan utama yang sihat dan 1-2 hidangan snek sihat antara hidangan utama, jika perlu.
  5. Sediakan lebih banyak buah- buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh, dan pastikan anak anda minum susu setiap hari.

Berikut ialah contoh rancangan hidangan sihat yang seimbang untuk anak anda:

Petua bijak untuk amalan makan yang sihat

Amalkan petua berikut untuk menerapkan pemakanan yang lebih sihat untuk anak-anak (dan keluarga) anda sebaik mungkin.

  • Bijak berbelanja: Sediakan senarai beli-belah bagi menjimatkan masa dan mengelakkan membeli barangan tidak perlu. Jika anda tahu anak anda memerlukan nutrien tertentu seperti zat besi, pastikan anda beli makanan yang sesuai seperti susu atau daging. Bandingkan kandungan nutrien dalam produk berbeza untuk mengetahui yang mana lebih baik. Pilihlah yang lebih tinggi serat, vitamin dan mineral, tetapi awasi kandungan lemak, natrium (garam) dan gula.
  • Rancang awal: Lihat bila anda boleh luangkan masa untuk memasak, dan rancang hidangan berkhasiat untuk setiap minggu. Sediakan bahan-bahan terlebih dahulu pada hujung minggu. Anda juga boleh masak siap-siap pada hujung minggu, bahagi dan bekukan mengikut hari, dan panaskan semula sebelum makan.
  • Resipi mudah dan pantas: Jimatkan masa dengan hidangan one pot atau resipi semua-dalam-satu, seperti pasta dengan daging cincang dan sayur campur, yang mengandungi semua kumpulan makanan dalam satu hidangan. Sesetengah pasaraya juga menjual makanan sedia untuk dimasak, dengan bahan-bahan mentah yang sudah dipek, yang boleh dijadikan sebahagian daripada hidangan sihat
  • Makanan luar yang sihat: Pilihlah makanan yang lebih berkhasiat apabila makan atau membeli di Pilih ikan kukus, bukan ayam goreng, lebihkan sayuran dan kurangkan nasi, serta pilih susu atau jus segar dan bukannya air soda. Jika boleh, minta supaya kandungan garam, gula dan lemak dikurangkan semasa makanan disediakan.
  • Bawa makanan dari rumah: Sediakan bekal makan tengahari yang sihat dengan jumlah sewajarnya untuk anak anda bawa ke pusat jagaan atau tabika. Arahkan pengasuh untuk memastikan anak anda makan tepat pada waktu dan galakkannya untuk habiskan bekal bagi memenuhi keperluan pemakanannya.
  • Bagi anak yang cerewet: Cuba kreatif dengan warna, rekaan dan susunan semasa menyediakan makanan anak anda. Jika perlukan bantuan, rujuk pakar pemakanan atau pediatrik untuk merancang pelan hidangan khas untuk anak anda agar dia mendapat pemakanan optimum untuk tumbesaran dan perkembangannya.

Dengan mengikuti petua dan idea di atas, anak anda akan memperoleh zat makanan secukupnya dan mengamalkan tabiat makan yang sihat. Berikan lebih tumpuan kepada keperluan pemakanan anak kecil semasa fasa tumbesaran yang pantas ini. Keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian dalam makanan adalah kunci untuk tumbesaran dan perkembangan optimum mereka.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen