Pengasuhan Positif

Penyakit Kelamin dan Remaja

Remaja berada dalam fasa di mana mereka sangat ingin tahu tentang badan mereka. Hormon mereka kadangkala membawa mereka kepada aktiviti seksual tanpa mengambil kira akibat. Ini boleh membawa kepada risiko penyakit kelamin (sexually transmitted diseases, STD), selain kehamilan yang tidak dirancang.

STD ialah penyakit yang berjangkit antara individu menerusi sentuhan seksual atau hubungan seks yang tidak selamat (menerusi faraj, dubur atau seks oral). Mendidik anak remaja anda tentang STD harus menjadi sebahagian daripada pendidikan seks bagi mereka. Mulakan pendedahan berkaitan risiko jangkitan STD seawal mungkin.

Apakah cara untuk mengesannya?

Lebih 25 jenis STD yang disebabkan oleh bakteria atau virus sudah dikenal pasti. Pada peringkat awal, kebanyakan STD mungkin tidak menunjukkan simptom. Jadi, cara terbaik untuk memastikan seseorang itu bebas daripada STD ialah melalui ujian.

Simptom bagi setiap STD berbeza. Umumnya, anak remaja anda harus bertemu doktor serta-merta jika terdapat lelehan kuning, kelabu atau hijau yang berbau busuk daripada bahagian kemaluan mereka. Rasa sakit, pedih atau terdapat ruam di kemaluan atau abdomen mungkin tanda-tanda awal STD dan perlu diambil perhatian oleh anak remaja anda.

Sesetengah STD mempunyai simptom yang unik. Contohnya, sifilis menyebabkan kelenjar limfa bengkak serta lepuh yang tidak sakit di kawasan kemaluan. Ini akan merebak ke tapak tangan/kaki di peringkat lebih serius. Manakala, jangkitan gonorea juga boleh berlaku pada anggota badan lain, menyebabkan sakit tekak, lelehan dubur atau rasa sakit semasa membuang air besar.

Penyakit papilomavirus manusia (HPV) menyebabkan ketuat yang gatal di kawasan kemaluan, (termasuk faraj, dubur dan serviks). Kebanyakan jangkitan HPV tidak membawa apa-apa petanda tetapi dalam jangka masa yang panjang ia dikaitkan dengan kanser pangkal rahim (serviks).

Bagi virus imunodifisiensi manusia (HIV), sesetengah orang mungkin mengalami simptom-simptom seperti selsema ketika pertama kali mereka dijangkiti HIV, tetapi selepas beberapa tahun ia akan berkembang menjadi sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS).

Seriuskah kesannya?

Sesetengah STD seperti klamidia dan gonorea boleh dirawat, tetapi virus STD seperti herpes dan HIV tidak dapat dirawat sepenuhnya; ubat-ubatan boleh diambil untuk mengurangkan simptom sahaja. Bagi wanita, sesetengah STD yang tidak dirawat boleh membawa kepada penyakit keradangan pelvis, yang menyebabkan sakit kronik di kawasan pelvis dan juga kemandulan. Di peringkat lebih serius, sifilis dan HIV yang tidak dirawat boleh membawa maut.

Apakah langkah pencegahan yang boleh diambil?

Pendidikan seks ialah langkah pertama yang perlu diambil untuk pencegahan. Ibu bapa boleh memperkenalkan topik ini secara beransur-ansur kepada anak-anak mereka. Mulakan sejak umur tadika dengan mengajarkan tentang bahagian-bahagian sulit dan sentuhan yang selamat. Semakin mereka membesar, ubahlah perbincangan dengan topik yang sesuai dengan umur mereka. Ini mungkin satu topik yang sensitif dalam masyarakat kita, tetapi ibu bapa harus bersikap terbuka dengan anak-anak.

Langkah pencegahan yang paling berkesan ialah dengan menahan diri daripada hubungan dan sentuhan seksual. Didik anak anda untuk berkata ‘tidak’ kepada aktiviti berisiko seperti mengambil dadah dan alkohol, yang boleh membawa kepada hubungan seks. Ajar mereka tentang harga diri dan menghormati hak orang lain. Dalam sesuatu perhubungan, tiada ayat “Kalau awak sayang saya, awak akan lakukannya dengan saya.” Pasangan seharusnya tidak perlu membuktikan cinta mereka dengan melakukan sesuatu yang mereka tidak selesa, termasuklah mengadakan hubungan seks.

Langkah-langkah lain yang boleh mengurangkan risiko jangkitan STD ialah dengan menggunakan kondom dengan betul, memastikan pasangan tidak menghidap STD, serta tidak mengamalkan hubungan seks rambang melibatkan ramai pasangan.

Vaksin juga boleh membantu mencegah dua jenis STD, Hepatitis B dan HPV, yang termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Suntikan vaksin HepB diberikan semasa bayi, manakala suntikan vaksin HPV diberikan kepada perempuan berumur 13 tahun. Remaja lelaki juga boleh mendapatkan vaksin HPV atas permintaan sendiri. Bagaimanapun, vaksin bagi mencegah STD lain masih belum dihasilkan.

Jadilah lebih bertanggungjawab!

Perkasakan anak remaja anda dengan menggalakkan mereka bertanggungjawab terhadap tubuh mereka. Kesihatan seksual ialah pengetahuan yang penting, bukan sahaja untuk mencegah kehamilan tidak dirancang, tetapi juga STD. Mulakan pendidikan seksual sejak dari awal untuk menghindari daripada terjerumus apabila dewasa kelak. Menghidap STD boleh menjadi pengalaman penuh trauma. Ingat, bukan semua STD boleh dirawat, dan akibatnya boleh membawa maut. Cegah sebelum kena.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen