Pengasuhan Positif

Emosi dan Makanan

Anak gadis anda yang telah bertungkus-lumus untuk peperiksaan baru-baru ini, menerima keputusan dan sangat kecewa dengannya. Kemudian, dia membawa beberapa bungkus makanan ringan ke dalam biliknya. Dia mengeluh, “Saya sangat kecewa dengan keputusan saya. Saya mahu makan semua ini.” Pernahkah ini terjadi?

Ini mungkin tabiat makan emosional, di mana seseorang makan dengan banyak untuk melegakan perasaan tertentu, terutamanya perasaan negatif seperti tekanan, kesedihan, kebosanan, kesunyian, atau keresahan. Tabiat makan emosional ini berlaku apabila seseorang itu makan bukan untuk memuaskan rasa lapar, tetapi untuk kelegaan; kerana itu wujudnya istilah ‘comfort food’. Ini membawa kepada kitaran tidak sihat, menjadi tabiat yang berterusan hingga dewasa, di mana akan meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis, dan tekanan darah tinggi. Beberapa kajian yang lepas juga mengaitkan tabiat makan emosional dengan prestasi kognitif yang lemah, khususnya bagi remaja obes.

Lapar fizikal atau emosional?

Apabila anda berada di bawah tekanan, badan anda mengeluarkan lebih banyak kortisol dan ini boleh meningkatkan selera, lalu membangkitkan rasa lapar emosional. Pengambilan gula dan karbohidrat pula menyebabkan pengeluaran dopamin, kerana itulah anda rasa ‘lega’ apabila anda makan dengan terlalu banyak. Lapar emosional mungkin sukar dibezakan daripada lapar fizikal. Berikut adalah beberapa panduan:

Lapar fizikal
  • Datang beransur-ansur dan boleh ditangguh
  • Boleh dipuaskan dengan apa saja jenis atau kuantiti makanan
  • Akan berhenti apabila kenyang
  • Tidak mendatangkan rasa bersalah
Lapar emosional
  • Datang dengan tiba-tiba
  • Mengidam makanan spesifik (seperti: piza, aiskrim, kentang goreng, dll.)
  • Makan lebih banyak berbanding biasa
  • Mendatangkan rasa bersalah

Teenager eating watermelon

Mengawal tabiat makan emosional

Tiada siapa bebas 100% daripada tabiat makan emosional. Ada masanya, anda pun tewas dengan keinginan anda selepas letih bekerja seharian. Anak remaja anda pula lebih cenderung untuk mengalah dengan lapar emosional mereka kerana perubahan hormon yang dialami. Bagaimanapun, terdapat cara untuk mengawal kecenderungan ini agar tidak menjadi tabiat.

  • Periksa rasa lapar: Tanya sama ada dia benar-benar lapar atau hanya lapar emosional. Jika dia baru sahaja selesai makan tengahari sejam lalu dan perutnya tidak berbunyi, mungkin ia hanya lapar emosional. Berikan masa untuk ia berlalu dengan melakukan aktiviti lain atau minum air.
  • Uruskan tekanan: Tabiat makan emosional biasanya disebabkan oleh tekanan. Kenal pasti sumber tekanan itu dan tanganinya. Kurangkan tekanan dengan meditasi, senaman yang kerap, dan tidur yang cukup.
  • Tangani kebosanan: Rasa bosan juga boleh menyebabkan tabiat makan emosional. Lebih baik keluar bersiar-siar, dengar muzik, baca buku atau melakukan hobi, daripada mengunyah snek. Cari aktiviti lain untuk melupakan keinginan tersebut.
  • Elakkan godaan: Jangan simpan makanan kegemarannya di rumah. Tangguh rancangan untuk ke pasaraya jika anak anda rasa marah, sedih atau kecewa.
  • Pilih snek sihat: Ganti makanan kegemarannya dengan snek berkalori rendah, atau beli makanan lebih sihat seperti buah-buahan atau kerepek bijirin penuh tanpa garam.
  • Jurnal makanan: Ajar anak anda untuk mencatat tabiat pemakanannya (apa, bila, dan kuantiti makanan, serta emosinya ketika makan). Lama-kelamaan, dia akan nampak kaitan antara makanan dan emosi, dan ini boleh membantunya membuat pilihan lebih baik.
  • Jadi contoh yang baik: Ingat, anda ialah contoh bagi anak-anak anda. Mereka akan mengikut tabiat anda menerusi pemerhatian. Jika mereka melihat anda makan aiskrim apabila anda sedih, mereka mungkin melakukan perkara sama nanti.
  • Jangan berikan ganjaran makanan: Jika anda memberikan biskut agar anak anda berhenti menangis, mereka akan mula mengaitkan biskut dengan perasaan tenang. Jangan beri ganjaran atau disiplinkan mereka menggunakan makanan kerana mereka mungkin mengamalkan makan emosional apabila membesar.

Masalah tabiat makan emosional adalah apabila nikmat makan itu hilang, perasaan yang menyebabkannya masih ada. Jangan takut mendapatkan bantuan pakar jika masalah itu bertambah teruk. Pakar pemakanan boleh membantu anak anda mengamalkan pemakanan lebih baik, manakala pakar terapi boleh membantu anak anda menangani sumber tekanan yang dialami. Buatlah pilihan pemakanan yang bijak untuk keluarga anda bermula hari ini!

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen