Pengasuhan Positif

Cirit-birit Berkaitan Antibiotik

Cirit-birit berkaitan antibiotik (antibiotic-associated diarrhoea, AAD) adalah keadaan di mana seseorang mengalami cirit-birit (atau najis cair) sebanyak tiga kali atau lebih dalam tempoh 24 jam selepas mengambil antibiotik. Kes AAD yang sederhana akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan apabila tamat tempoh pengambilan antibiotik. Penyebab utama AAD ialah jangkitan oleh bakteria Clostridium difficile, iaitu bakteria pengeluar toksin yang terlibat dalam lebih kurang 1 dalam setiap 5 kes, dan ia boleh menjadi serius sehingga perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

Antibiotics

Bagaimana AAD berlaku

Antibiotik ialah ubatan yang menjejaskan struktur sel bakteria dan berkebolehan membunuh bakteria. Bagaimanapun, antibiotik tidak mampu membezakan antara bakteria ‘tidak baik’ dan ‘baik’. AAD berlaku kerana disbiosis, iaitu gangguan keseimbangan bakteria ‘tidak baik’ dan ‘baik’ di dalam usus yang menyebabkan peningkatan bakteria ‘tidak baik’. Tambahan pula, bakteria C. difficile berpotensi menghasilkan toksin yang boleh menyebabkan AAD. Hampir semua antibiotik berpotensi menyebabkan AAD, termasuklah jenis spektrum luas yang biasa digunakan seperti sefalosporin.

Dehidrasi teruk akibat AAD ialah komplikasi yang paling serius dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, pastikan anak anda kekal hidrat kerana dehidrasi teruk boleh membawa kepada sawan, kerosakan otak, malah, kematian. Kes AAD yang sederhana tidak akan menyebabkan kehilangan cecair yang banyak, tetapi segera temui doktor jika:

Mencegah AAD

Terdapat bukti menunjukkan bahawa probiotik tertentu (bakteria baik, apabila diambil dalam jumlah mencukupi akan membawa hasil positif) dapat membantu mengurangkan AAD. Setiap strain probiotik itu unik sebagaimana setiap individu boleh dikenal pasti dengan cap jari. Maka, strain tertentu lebih berkesan untuk merawat keadaan tertentu.

Untuk merawat AAD, probiotik bakteria seperti Lactobacillus reuteri, Lactobacillus rhamnosus, dan probiotik berasaskan yis seperti Saccharomyces boulardii telah terbukti berguna untuk merawat AAD. Tidak seperti probiotik bakteria, Saccharomyces boulardii amat disyorkan jika berlaku AAD dengan jangkitan C. difficile kerana reputasinya telah terbukti. Tambahan pula, ia sejenis yis dan tidak akan terjejas dengan pengambilan antibiotik.

Elak AAD

Tidak semua kesakitan disebabkan oleh bakteria, jadi jika anak anda sakit dan pakar pediatriknya tidak memberikan sebarang antibiotik, janganlah kecewa! Antibiotik tidak berkesan dalam menangani jangkitan virus.

Antara sebab anda tidak memerlukan pengambilan antibiotik yang berpanjangan ataupun tanpa keperluan adalah kerana kemunculan ‘super-bugs’, atau mikroorganisma tahan antibiotik. Penggunaan antibiotik apabila ia tidak diperlukan hanya akan memburukkan lagi ketahanan antibiotik. Satu lagi faktor yang meningkatkan kemunculan super-bugs ialah penyalahgunaan antibiotik, contohnya pengambilan antibiotik yang berpanjangan dan berlebih-lebihan, serta tidak mengikut indikasi dan dos yang betul.

Pada masa yang sama, jika anak anda mengalami sebarang komplikasi (contohnya AAD) semasa mengambil antibiotik, dapatkanlah nasihat pakar pediatriknya segera, untuk melihat sama ada anda harus berhenti menggunakan antibiotik atau bertukar kepada antibiotik yang lain.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen