Pengasuhan Positif

Anak Anda Terlalu Kurus?

Anda sering menerima komen daripada rakan dan keluarga mengatakan anak anda terlalu kurus. Adakah ini benar? Di peringkat global, walaupun prevalens obesiti di kalangan kanak-kanak meningkat secara mendadak tetapi kekurangan pemakanan masih menjadi satu masalah termasuk di Malaysia.

Kekurangan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak terbahagi kepada empat jenis: pembantutan; kekurangan berat badan dan kekurusan; penyusutan badan; dan kekurangan vitamin dan mineral. Bagaimanapun, ‘kurus’ biasanya dirujuk sebagai kekurusan (BMI rendah mengikut umur), kekurangan berat badan (berat badan rendah mengikut umur) dan penyusutan badan (berat badan rendah mengikut ketinggian).

Di Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati, bagi kanak-kanak bawah 18 tahun, terdapat lebih kurang 8% prevalens bagi kekurusan dan penyusutan badan dan prevalens lebih tinggi bagi kekurangan berat badan iaitu pada 13%. Dalam tinjauan sama, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak lebih kecil (5-9 tahun) didapati mencatat prevalens paling tinggi bagi kekurusan dan kekurangan berat badan.

Patutkah anda berasa bimbang?

Anda disyorkan untuk mengawasi tumbesaran dan perkembangan anak anda secara teratur dengan mengukur berat dan tinggi mereka bagi mengira indeks jisim badan (BMI). Kemudian, guna carta rujukan tumbesaran yang sewajarnya (carta BMI mengikut umur) untuk mengetahui sama ada BMI anak anda termasuk dalam kategori normal, kurang berat badan, atau lebih berat badan. Untuk arahan lebih terperinci, sila rujuk infografik ‘Carta Pertumbuhan BMI Mengikut Umur Untuk Kanak-Kanak’ di laman web kami. Dapatkan nasihat pakar kesihatan jika BMI mengikut umur anak anda tidak normal, atau jika terdapat tanda-tanda lain yang membimbangkan seperti kehilangan selera makan secara tiba-tiba atau kehilangan berat badan yang mendadak.

Apa anda harus lakukan jika anak anda terlalu kurus?

Healthy breakfast

  • Sediakan makanan yang menarik: Makanan yang menarik secara visual biasanya lebih menyelerakan. Anda boleh mencuba secara kreatif dengan pelbagai bentuk dan warna makanan.
  • Sedikit tapi kerap: Sediakan makanan secara kerap sepanjang hari tetapi dalam jumlah yang kecil. Ini menggalakkan anak anda makan lebih banyak dan meningkatkan pengambilan makanan secara keseluruhan. Ingat, sediakan makanan yang seimbang, sederhana dan pelbagai.
  • Makan bersama-sama: Jadikan amalan makan bersama-sama satu kebiasaan. Walaupun anak anda kurang berselera, anda boleh berbual dengannya agar dia kekal di meja makan. Kanak-kanak biasanya akan melihat ibu bapa sebagai teladan, jadi janganlah menonton televisyen atau menggunakan gajet semasa waktu makan.
  • Beli bahan dan masak bersama-sama: Bawa anak anda membeli-belah bersama anda dan minta dia pilih satu buah atau sayur untuk dihidangkan dalam hidangan keluarga. Kanak-kanak akan lebih tertarik dengan makanan apabila mereka terlibat dalam proses penyediaan dan hidangan makanan, jadi galakkan mereka untuk membantu di dapur, seperti membasuh sayur atau menyusun pinggan dan alatan di meja makan.
  • Galakkan senaman: Seimbangkan pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal yang kerap. Selain daripada menambah seleranya, senaman dapat menguatkan tulang, membina otot, dan meningkatkan kesihatan jantung.
  • Pengawasan dan bimbingan: Awasi tumbesaran anak anda (tinggi dan berat) setiap 6 bulan, serta ikuti jadual perkembangannya. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan dengan tumbesarannya, dapatkan nasihat doktor segera.

Grocery shopping with your kid

Makanan berkalori tinggi

Doktor mungkin mengesyorkan susu berkalori tinggi untuk kanak-kanak kurang pemakanan bagi melengkapkan keperluan diet mereka. Bagaimanapun, pastikan anda mengesahkan dengan doktor/pakar diet berkenaan tempoh dan kuantiti suplemen kerana pemberian susu kalori tinggi berlebihan boleh menyebabkan obesiti pada masa depan. Selain itu, makanan tinggi kalori seperti ubi kentang, bijirin penuh, telur dan kekacang juga boleh dimasukkan dalam diet untuk memenuhi keperluan tumbesaran anak.

Kekurangan pemakanan: satu kebimbangan

Kekurangan berat badan boleh meningkatkan risiko mortaliti dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya apabila berat badan mereka terlalu rendah. Penyusutan badan pula boleh membawa kepada fungsi sistem imun yang lemah; maka kanak-kanak lebih mudah dijangkiti penyakit. Selain itu, kekurangan vitamin dan mineral akibat kekurangan berat badan dan penyusutan badan juga boleh memberi kesan kepada tumbesaran normal kanak-kanak.

Kekurangan berat badan boleh meningkatkan risiko mortaliti dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya apabila berat badan mereka terlalu rendah. Penyusutan badan pula boleh membawa kepada fungsi sistem imun yang lemah; maka kanak-kanak lebih mudah dijangkiti penyakit. Selain itu, kekurangan vitamin dan mineral akibat kekurangan berat badan dan penyusutan badan juga boleh memberi kesan kepada tumbesaran normal kanak-kanak.

Tumbesaran yang mantap dan berterusan bagi kanak-kanak adalah penting, jadi pastikan anda sentiasa memupuk tabiat makan yang sihat dan gaya hidup aktif dalam keluarga. Anda juga boleh mendapatkan nasihat pakar pemakanan untuk merancang pengambilan kalori dan nutrien anak anda untuk mencapai tumbesaran optimum. Kerjasama rapat antara ibu bapa dan pakar, bermula dengan pengawasan tumbesaran dan diagnosis, hingga ke pengurusan diet adalah penting untuk kesejahteraan anak-anak.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen