Pengasuhan Positif

Makanan Pelengkap: Kunci Tumbesaran Optimum

Pemberian makanan pelengkap ditakrifkan sebagai proses yang bermula apabila susu sahaja tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan nutrien bayi, oleh itu, makanan dan cecair lain diperlukan, berserta susu ibu. Sebarang makanan yang bukan susu ibu serta cecair berkhasiat yang diberikan kepada kanak-kanak pada tempoh ini dipanggil sebagai makanan pelengkap.

Polisi Penyusuan Susu Ibu Malaysia telah dibentuk pada 1993 dan dikaji semula pada 2005, di mana penyusuan susu ibu secara eksklusif disyorkan untuk 6 bulan pertama, dan penyusuan susu ibu yang berterusan disyorkan sehingga 2 tahun. Makanan pelengkap harus diperkenalkan pada usia 6 bulan. Memperkenalkan makanan pelengkap pada waktu yang tepat, serta yang mencukupi dari segi kualiti dan kuantiti, dan juga sesuai untuk umurnya, penting untuk tumbesaran dan perkembangan anak semasa “tempoh kritikal” ini iaitu sejak lahir sehingga usia dua tahun.

Mengapa 6 bulan?

Menjelang usia 6 bulan, bayi semakin membesar dan menjadi lebih aktif, dan tubuh mereka perlukan lebih banyak tenaga dan khasiat berbanding apa yang susu boleh berikan, khasnya protein, zat besi, zink, dan vitamin larut lemak seperti vitamin A dan D. Maka, makanan pelengkap, di samping susu ibu, diperlukan untuk memenuhi keperluan nutrien tambahan bayi. Tambahan, kebanyakan bayi bersedia dari segi tahap perkembangan untuk menerima makanan lain pada usia ini.

Bagaimanapun, jika makanan pelengkap diperkenalkan terlalu awal, sistem penghadaman bayi mungkin tidak cukup matang untuk menghadam pepejal, dan ini boleh membawa kepada masalah penghadaman dan risiko mendapat alahan makanan. Ia juga boleh mengakibatkan tempoh penyusuan yang lebih singkat dan risiko obesiti yang lebih tinggi pada masa depan akibat pemberian makanan yang berlebihan. Manakala, lewat memperkenalkan makanan pepejal boleh menjejaskan perkembangan oral-motor bayi, lalu menyebabkan kesukaran menerima makanan. Ia juga meningkatkan risiko malpemakanan termasuklah kebantutan.

Asas pemberian makanan pelengkap

Semua bayi dan kanak-kanak haruslah diberi makan dengan mengikut masa, mencukupi, selamat, sesuai, dan menggunakan cara betul.

  1. Menepati masa: Perkenalkan makanan pelengkap semasa bayi anda mencecah usia 6 bulan. Berikut ialah tanda-tanda bayi anda bersedia menerima makanan pelengkap:
    • Boleh mengawal pergerakan leher dan lidah dengan baik.
    • Membuat pergerakan mengunyah.
    • Duduk tegak dengan sokongan minimum.
    • Meletakkan objek dalam mulut.
    • Menunjukkan minat dengan apa yang anda makan.
  2. Mencukupi: Pastikan pemberian makanan pelengkap mencukupi dengan meningkatkan saiz hidangannya mengikut usia. Berikan bayi anda makan dengan lebih kerap apabila usianya semakin meningkat:
    • 6-8 bulan: 2-3 kali sehari dengan 1-2 snek berkhasiat.
    • 9-11 bulan: 3-4 kali sehari dengan 1-2 snek berkhasiat.
    • 1-3 tahun: 4-5 kali sehari dengan 1-2 snek berkhasiat.
  3. Bersesuaian: Jenis makanan yang boleh diambil oleh bayi ditentukan oleh perkembangan saraf-otot mereka. Pastikan tekstur makanan yang disediakan untuk bayi anda sesuai dengan usia bagi mengelakkan bayi tercekik:
    • 6-8 bulan: Makanan yang dipuri, dilenyek dan separa pepejal.
    • 9-11 bulan: Makanan dicincang, kerana kemahiran mengunyah sudah dikembangkan; makanan cekut seperti biskut lembut dan buah-buahan juga boleh diberi.
    • 12 bulan ke atas: Makanan keluarga, kerana kemahiran menggigit sudah dikembangkan.
  4. Kepelbagaian: Bayi yang sedang membesar memerlukan semua khasiat penting seperti karbohidrat, protein, lemak, zat besi, zink, kalsium, Vitamin A, Vitamin C dan folat untuk perkembangannya. Berikan bayi anda makanan yang terdiri daripada kumpulan makanan berikut setiap hari:
    • Bijirin, produk bijirin
    • Kekacang (lentil, kacang)
    • Susu dan produk susu (yogurt, keju)
    • Ikan, daging, telur
    • Buah-buahan dan sayur-sayuran

Selain daripada panduan pemakanan di atas, pemberian makanan pelengkap harus diamalkan dengan penyediaan makanan yang selamat dan bersih. Pemberian makan yang responsif harus diamalkan dengan bertindak segera apabila bayi anda menunjukkan isyarat lapar atau kenyang, dan melayannya dengan kasih dan mesra semasa memberinya makan. Pemberian makanan pelengkap yang baik akan memastikan tumbesaran dan perkembangan yang optimum untuk bayi anda, lalu menjamin permulaan yang baik untuk masa depannya. Anda boleh dapatkan lebih banyak petua penyediaan dan pemberian makanan pelengkap untuk bayi anda di laman web kami: mypositiveparenting.org.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen