Pengasuhan Positif

Pemakanan Secara Sedar

Segalanya dilakukan dengan pantas dalam era teknologi dan globalisasi ini, termasuklah makan, iaitu antara keperluan paling asas kita. Contohnya, kerana jadual yang sibuk, kebanyakan daripada kita memilih untuk makan makanan segera sambil bekerja, dan ada yang makan snek sarapan sambil memandu ke tempat kerja. Ini antara contoh tabiat makan tidak sedar yang boleh menyebabkan makan secara berlebihan, dan membawa kepada masalah kesihatan seperti obesiti. Satu cara untuk menghentikan tabiat ini adalah dengan makan secara perlahan dan sedar, sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat.

Perbincangan tentang pemakanan sihat dan pengurangan berat badan biasanya tertumpu pada apa dan amaun yang anda makan. Pemakanan secara sedar pula adalah tentang bagaimana anda makan. Ia tentang menyedari tabiat makan anda dan memberi sepenuh perhatian kepada pengalaman makan dan minum. Tujuannya adalah untuk membezakan kelaparan emosi dan fizikal. Pemakanan secara sedar juga boleh mengajar ibu bapa dan anak untuk lebih menghargai dan menikmati hidangan. Terdapat pelbagai cara untuk mengamalkan pemakanan sedar dalam hidup anda dan keluarga.

Elakkan gangguan

Makan di hadapan televisyen atau sambil bermain gajet sudah menjadi kebiasaan, tetapi kajian menunjukkan amalan ini boleh membawa kepada kenaikan berat badan. “Melihat skrin atau membuat perkara lain sambil makan boleh mengganggu perhatian anda terhadap makanan dan ini boleh membawa kepada makan secara berlebihan, kerana anda asyik menyuap makanan ke dalam mulut tanpa menyedari isyarat daripada badan untuk berhenti makan,” tegas Dr Tan Sue Yee. Maka, amalan terbaik adalah makan di meja makan bersama-sama keluarga anda dan jadikannya zon bebas gajet.

Makan perlahan-lahan

Duduk dan ambil masa untuk menikmati makanan anda, dan bukannya makan sambil bergegas. Makan secara pantas didapati membawa kepada kenaikan berat badan, penyakit jantung, ketidakhadaman, dan refluks asid. “Makan lebih perlahan dan sedikit demi sedikit akan membolehkan makanan dihadam dengan lebih baik. Anda juga akan dapat merasa makanan sepenuhnya, kerana makanan berada dalam mulut lebih lama,” kata Dr Tan. Makan dengan perlahan juga boleh membantu anda sedar apabila anda sudah kenyang.

Nikmati rasa

Tumpukan perhatian kepada rupa, aroma, rasa, tekstur dan bunyi makanan yang anda sedang nikmati. Minta anak-anak anda mengenalpasti bahan dan rasa yang berbeza dalam makanan itu. “Ini akan membantu anda menghargai makanan dan lebih sedar dengan seluruh pengalaman makan itu,” kata Dr Tan. Ia juga membolehkan anda tahu jika makanan itu terlalu masin atau manis, petanda yang ia mengandungi terlalu banyak garam atau gula yang tidak elok untuk kesihatan.

Ketahui makanan anda

Hargai dari mana makanan anda dihasilkan, siapa yang menghasilkannya, dan bagaimana ia disediakan. Menyedari tabiat makan anda akan membuatkan anda lebih prihatin dengan apa yang anda makan. “Satu cara melakukannya adalah dengan membaca label dan mengetahui kandungan nutrien makanan tersebut. Memasak dan menyediakan makanan sendiri juga akan membantu anda lebih menghargainya,” kata Dr Tan. Mengetahui makanan anda akan membantu anda membuat pilihan lebih sihat dan mampan untuk diri anda dan keluarga.

Waktu makan yang teratur

Pengamalan waktu makan yang teratur boleh menggalakkan tabiat pemakanan sihat dalam keluarga anda. Waktu makan sarapan, tengahari dan malam yang teratur adalah penting kerana melangkau waktu makan boleh mengakibatkan makan secara berlebihan pada waktu makan seterusnya. “Orang yang mempunyai rutin makan yang teratur selalunya mempunyai tabiat makan yang lebih sihat, kerana mereka lebih sedar bila mereka perlu makan,” kata Dr Tan. Kurangkan snek kerana ia boleh menyebabkan tabiat pemakanan tidak sedar; namun, pemakanan snek secara sihat dan sedar boleh membantu mengawal saiz hidangan pada waktu makan utama.

Mengetahui bila perlu makan

Kenal pasti isyarat kelaparan daripada badan anda dan berhenti makan apabila kenyang. “Apabila anda rasa mahu makan, tanya diri anda jika ia kerana kelaparan, kebosanan atau tekanan. Jika anda sebenarnya tidak lapar, carilah perkara yang tidak berkaitan dengan makanan untuk dilakukan,” kata Dr Tan. Elakkan makan kerana emosi tertentu (makan beremosi) atau kerana terlihat atau terhidu makanan. Rasa lapar juga boleh disalah tafsir sebagai dahaga, jadi cuba minum segelas air jika anda rasa lapar di luar waktu makan biasa anda.

Tahukah anda?
Waktu makan tidak teratur boleh mendatangkan gangguan dalam sistem sirkadian, iaitu jam dalaman badan yang selari dengan kitaran 24 jam. Ini boleh meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit.

Pemakanan secara sedar adalah satu pendekatan ke arah tabiat makan secara sihat, yang menumpukan pada cara pemakanan anda. Malahan, pemakanan secara sedar boleh menjadi kaedah menurunkan berat badan tanpa melalui program atau diet yang rumit. Pemakanan secara sedar juga boleh membantu mengurangkan berat badan dengan membina semula hubungan anda dengan makanan, lantas mengurangkan tekanan berkaitan makanan dan mengubah tabiat makan negatif anda, seperti makan lewah (binge-eating), makan beremosi (emotional eating), makan luaran (external eating), dan mengidam makanan.

Di zaman serba pantas dan serba banyak ini, pengamalan pemakanan secara sedar mungkin mencabar bagi anda dan keluarga anda. “Bagaimanapun, anda boleh memulakannya dengan memberi komitmen untuk lebih menghormati, menghargai, dan terutamanya, menikmati makanan anda,” nasihat Dr Tan. Dengan mengamalkan petua-petua ini dalam kehidupan seharian, anda akan dapati diri anda lebih berpada-pada dan sedar tentang bagaimana anda makan, serta apa yang anda makan.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen