Pengasuhan Positif

Menangani Tekanan Rakan Sebaya

“Hey, kamu harus cuba ini,” rakan anda menawarkan sepuntung rokok selepas sekolah. Anda menolaknya kerana tahu merokok tidak elok. “Cubalah sekali. Kami semua sudah cuba.” Kini anda mula rasa tekanannya.

Pernahkah anda menghadapi dilema seperti ini semasa muda? Anda mungkin pernah, dan kini anak remaja anda mungkin sedang menghadapinya.

Definisi tekanan rakan sebaya

Rakan sebaya anak remaja anda adalah mereka yang lebih kurang umurnya dengan pengalaman dan minat yang sama. Mereka boleh jadi rakan sekolahnya, remaja lain di kawasan kejiranan, atau rakan di kelas tuisyen. Pengaruh rakan sebaya tidak semestinya buruk. Mendengar dan belajar daripada satu sama lain adalah normal. Pengaruh positif daripada rakan sebaya boleh menggalakkan anak anda menjadi lebih baik, menjadi contoh baik, mendedahkan pengalaman membina, dan memberikannya nasihat yang baik.

Bagaimanapun, rakan-rakannya juga boleh memberi pengaruh negatif kepada anak anda. Tekanan rakan sebaya berlaku apabila anak anda rasa terpaksa melakukan sesuatu yang tidak biasa dia lakukan agar dia disukai, dapat menyesuaikan diri dalam kumpulan, serta mengelakkan dari ditinggal atau diejek. Contoh tekanan rakan sebaya yang negatif termasuklah merokok semasa lepak, menyertai buli atau cabaran berbahaya, serta ponteng kelas atau sekolah. Tekanan rakan sebaya berlaku kepada setiap golongan umur, tetapi remaja adalah golongan paling terkesan kerana perubahan hormon menjadikan mereka lebih sensitif dan sedar akan pandangan orang terhadap mereka.

Menangani tekanan rakan sebaya

Pengalaman anda sendiri berguna untuk membantu anak remaja anda. Berikut adalah beberapa cadangan tambahan bagi membantu anda menangani tekanan rakan sebaya dialami anak anda.

Betul dan salah. Nasihatkan anak anda bahawa dadah, mencuri, atau berlumba basikal secara haram adalah salah. Futsal pada lewat malam masih boleh diterima. Anak anda harus tahu apa yang betul dan salah, serta akibatnya, walaupun ia nampak ‘cool’. Ini akan membantunya berpegang kepada prinsip dan teguh integriti.

Saling menghormati. Menghormati pilihan orang lain akan membantu mereka menghormati keputusan anak anda, sekiranya aktiviti itu tidak berbahaya. Namun, jika melibatkan aktiviti berbahaya atau jenayah, dia harus beritahu pihak berkuasa atau orang dewasa yang dipercayai.

Kenali rakan-rakannya. Pastikan anak anda berkawan dengan rakan yang baik. Galakkan mereka mencari rakan dengan nilai sama yang akan saling membantu apabila perlu. Lagipun, rakan baik akan setia dengannya pada waktu sukar. Anda boleh berkongsi kerisauan dengan ibu bapa mereka jika anda sudah mengenali mereka.

Keyakinan diri. Remaja yang yakin dengan diri mereka kurang terpengaruh dengan tekanan rakan sebaya dan lebih tegas menahan diri mereka dari terlibat dalam aktiviti atau situasi bahaya dan tidak wajar.

Setuju untuk tidak setuju. Rakan-rakan tidak perlu setuju dengan semua perkara. Tidak bersetuju dengan pendapat yang berlawanan tidak menjadikannya rakan yang tidak baik. Memahami bahawa semua orang berhak mempunyai pendapat sendiri akan membantu anak anda kurang bersikap mempertahankan diri dan tidak rasa terpaksa untuk melakukan perkara yang tidak disukai.

Dorong minatnya. Jika dia berminat dalam muzik, hantarnya ke kelas muzik. Selain mempelajari muzik, dia boleh bertemu rakan dengan minat sama. Dia akan menghadapi kurang tekanan rakan sebaya apabila meluangkan masa dengan rakan yang mempunyai minat sama.

Menggalakkan komunikasi. Bersikap terbuka dengan anak anda dan pupuk kejujuran dalam dirinya. Yakinkannya yang anda boleh dirujuk jika dia rasa ditekan untuk melakukan perkara yang salah atau berisiko.

Menjadi berbeza bukan masalah. Anak anda harus tahu menjadi berbeza juga boleh bermaksud menjadi diri yang sebenar. Dia tidak perlu sentiasa mengikut apa yang orang lain lakukan hanya untuk menyesuaikan diri.

Rancangan lepaskan diri. Nasihatinya tentang cara melepaskan diri daripada situasi tidak selesa atau berbahaya. Contohnya, dia boleh menyediakan alasan untuk meninggalkan tempat itu apabila ditawarkan dengan rokok, atau anda boleh meyakinkannya anda sentiasa sedia mengambilnya jika dia rasa tidak selamat.

Katakan ‘tidak’. Beritahu anak anda, ‘tidak’ juga jawapan yang diterima. Jika dia rasa tidak selesa, dia harus belajar untuk menjelaskan dengan tenang kenapa dia tidak berminat untuk melakukan sesuatu. Rakan yang baik sentiasa akan menghormati keputusan anak anda.

Berbincanglah dengan guru atau kaunselor anak remaja anda untuk mengetahui jika dia mempunyai masalah tekanan rakan sebaya, dan berundinglah dengan pakar kesihatan mental jika anda risau tentang perlakuan dan emosinya. Ingatkannya, dia tidak harus memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang tidak disetujui. Pastikan dia faham bahawa lebih baik menyertai golongan cerdik daripada berkawan dengan mereka yang tidak keruan.

Dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen