Pengasuhan Positif

Mengatasi Cabaran Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 2

Bayi anda memerlukan pemakanan sempurna yang boleh dicapai dengan mudah hanya dengan menyusukannya secara eksklusif bagi enam bulan pertama sejak dari lahir, dan penyusuan susu ibu disarankan sehingga berumur dua tahun.

Artikel ini adalah sambungan daripada terbitan terdahulu Panduan Pengasuhan Positif mengenai tidak cukup bekalan susu dan menyusu di tempat awam. Dalam terbitan ini, kami membincangkan masalah seperti campur tangan ahli keluarga dan kesukaran memerah susu ibu.

Puan C: Mengatasi campur tangan ahli keluarga lain

“Mertua saya selalunya mudah bertolak ansur, tetapi, apabila anak saya dilahirkan (yang juga cucu lelaki pertama mereka), semuanya menjadi tegang. Ibu mertua saya sentiasa berlebih-lebih dalam menjaga bayi saya dan akan mengkritik beberapa keputusan saya, seperti penyusuan susu ibu. Pada dia, penyusuan susu ibu sahaja tidak mencukupi dan dia selalu menyuruh saya memberi bayi saya susu formula pada sebelah malam. Dia mengambil masa yang lama sebelum dapat menerima bahawa penyusuan susu ibu adalah yang terbaik – ia melibatkan beberapa sesi ‘mesyuarat’ di antara suami saya, saya, dan dia, dan beberapa kali kami terpaksa membawa dia ke janji temu doktor supaya doktor boleh mendidiknya tentang kebaikan penyusuan susu ibu.”

“Akhirnya mendapat izin ibu mertua saya untuk menyusukan bayi saya adalah satu kenangan pahit manis. Ia bukan sahaja membantu mengeratkan kasih sayang di antara saya dan bayi tetapi juga telah membuat ibu mertua saya lebih terbuka kepada idea dan cadangan saya tentang cara untuk membesarkan bayi saya.”

“Ia adalah masa yang amat mencabar dan memenatkan saya dari segi mental selepas setiap konfrontasi tetapi saya gembira kerana saya bertegas dengan keputusan untuk menyusukan bayi saya. Kehadiran suami saya yang sentiasa memberi sokongan moral dan memberi keyakinan kepada saya untuk terus menyusukan bayi kami juga banyak membantu.”

Prof Dr Poh:

Penyusuan susu ibu mempunyai banyak kebaikan untuk ibu dan bayi. Walau bagaimanapun, penyusuan susu ibu yang berjaya memerlukan sokongan daripada pasangan anda dan juga ahli keluarga anda. Pada mulanya, ia mungkin sangat memenatkan dan melemahkan (dari segi emosi dan fizikal) oleh itu sokongan emosi dan juga bantuan untuk melakukan kerja-kerja rumah (contohnya, memasak, membersihkan rumah, mencuci pakaian) banyak membantu dalam memastikan bahawa penyusuan susu ibu boleh berterusan seberapa lama yang boleh.

Penyusuan susu ibu juga cara terbaik dan paling mudah untuk mengeratkan kasih sayang di antara bayi dan ibu. Tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa susu ibu adalah makanan terbaik yang anda boleh berikan kepada bayi kerana ia membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh bayi anda, dan juga membantu melindunginya daripada penyakit. Perkara yang sangat unik tentang susu ibu ialah komposisinya yang berubah-ubah setiap hari untuk memenuhi keperluan bayi yang sedang membesar. Akhir sekali, kini dalam suasana ekonomi yang mencabar, penyusuan susu ibu merupakan langkah yang bijak kerana ia juga menjimatkan!

Puan D: Memerah susu ibu

“Kebanyakan ibu bekerja terpaksa berhadapan dengan masalah lain seperti bagaimana hendak memastikan bekalan susu mereka tidak kehabisan. Cara paling mudah bagi saya ialah dengan memerah di tempat kerja dan menyimpannya untuk digunakan kemudian. Sekurang-kurangnya dengan cara ini, saya dapat memastikan bayi saya boleh mendapat bekalan susunya, walaupun ketika saya sibuk bekerja. Sememangnya, terdapat masalah lain yang perlu diatasi, seperti mencari tempat untuk memerah dan menyimpan susu ibu perahan dengan selamat, agar ia selamat sampai di rumah. Jika anda seorang ibu kali pertama dan tidak pernah cuba memerah susu sebelum ini, anda harus mendapatkan nasihat doktor tentang bagaimana untuk melakukannya.Terdapat juga banyak jenis pam di pasaran – nasihat saya ialah untuk menyemak ulasan-ulasan sebelum membeli. Anda boleh semak secara atas talian atau bertanya kepada kawan-kawan atau rakan sekerja yang pernah menggunakan pam untuk memilih yang sesuai untuk anda.”

“Memerah susu telah memberi saya keyakinan untuk menumpukan perhatian pada kerja. Saya tidak perlu lagi risau bahawa bayi saya tidak mendapat cukup susu walaupun saya berjauhan. Ia juga bermakna bahawa saya boleh terus sambung menyusukannya apabila balik selepas bekerja, dan satu lagi kebaikan ialah dia akan mempunyai cukup bekalan susu ibu perahan, walaupun jika saya perlu bekerja jauh untuk beberapa hari.”

“Baru-baru ini saya terpaksa membuat lawatan kerja selama dua hari dan agak sukar untuk mencari masa dan tempat untuk memerah susu semasa lawatan tersebut. Saya juga sedih kerana terpaksa membuang kebanyakan susu yang diperah kerana saya menaiki kapal terbang dan tidak ingin mengambil risiko susu menjadi basi.”

Prof Dr Poh:

Apabila wanita membentuk peratusan besar tenaga kerja, memerah susu ibu dan menyimpannya dengan sempurna bukan sahaja satu kemahiran yang berguna, malah ia adalah penting untuk meneruskan penyusuan susu ibu sehingga enam bulan dan seterusnya. Selain itu, menyimpan susu ibu juga memberi peluang kepada orang lain seperti pasangan anda untuk menyusukan bayi, atau menyimpan bekalan susu untuk kecemasan.

Pelajari teknik yang betul

Seperti penyusuan susu ibu, memerah susu ibu juga memerlukan latihan. Luangkan sedikit masa berlatih menggunakan pam dalam keselesaan rumah anda. Dengan cara ini, anda tidak perlu membuang masa terkial-kial menggunakan peralatan apabila anda betul-betul perlu memerah susu.

Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan ialah penyimpanan dan melabel susu ibu perahan. Berhati-hati agar menyimpan susu ibu perahan dengan sempurna untuk mengurangkan kerosakan. Ini boleh dicapai sama ada dengan menyimpannya di dalam peti sejuk dengan serta-merta atau menyimpan di dalam beg penyejuk yang mengandungi beberapa pek ais (ini membolehkan anda menyimpan susu perahan sehingga 24 jam dengan syarat anda pastikan bahawa pek ais sentiasa bersentuhan dengan bekas susu dan hadkan kekerapan membuka beg penyejuk).

Pastikan setiap pek atau bekas susu yang disimpan dilabelkan dengan tarikh dan masa diperah. Apabila disimpan di dalam peti sejuk, ia boleh bertahan sehingga tiga hari – jika disejuk beku, ia boleh disimpan sehingga tiga bulan (guna dalam tempoh 24 jam selepas dicairkan). Buang jika terjadi gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan susu menjadi cair atau jika ia disimpan melebihi tiga bulan.

Seperti yang anda dapat lihat, penyusuan susu ibu bukan tanpa cabarannya, tetapi anda harus meneruskannya. Jangan takut untuk berbincang dengan seseorang tentang cabaran yang anda hadapi – anda bukan keseorangan! Ramai ibu lain di luar sana yang berhadapan dengan cabaran yang sama, oleh itu kuatkan semangat dan tabahkan hati. Ketahuilah bahawa dengan banyak bersabar dan ketabahan, anda boleh menyusu dengan berjaya!

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen