Pengasuhan Positif

Masalah Penyusuan Susu Ibu: Puting Merekah atau Melecet

Penyusuan susu ibu secara eksklusif disarankan sehingga bayi mencapai usia dua tahun. Bagaimanapun, satu alasan lazim yang diberikan oleh ibu-ibu menyusu yang berhenti awal menyusukan bayi secara eksklusif ialah kesakitan puting berulang. Ini kerap berlaku disebabkan oleh pelekapan atau posisi bayi semasa menyusu yang tidak betul. Kesannya, ibu yang menyusukan bayi boleh mengalami puting sakit yang kemudiannya boleh membawa kepada puting merekah atau melecet.

Keadaan ini bukan sahaja menyakitkan ibu, ia juga boleh menyebabkan ibu mengalami gangguan dari segi psikologi. Selain itu, ia juga boleh menjejaskan kualiti hidup ibu, contohnya, kesan negatif pada moodnya, tidurnya dan hubungan kasih sayang bersama bayinya. Bagaimanapun, anda tidak perlu lagi risau, dengan penjagaan dan teknik penyusuan yang betul, puting merekah atau melecet tidak akan menjadi penghalang untuk meneruskan penyusuan.

Punca kemungkinan puting merekah atau melecet termasuk:

  • Bayi tidak melekap dengan betul, lalu menekan puting anda antara lidah dan lelangit.
  • Kulit kering atau eczema.
  • Penggunaan pam payudara yang tidak betul dan mungkin mencederakan puting anda.

Kunci Penyusuan Susu Ibu yang Betul

Untuk menyusukan bayi tanpa banyak masalah, anda perlu mencapai posisi dan pelekapan yang betul, iaitu bayi harus berada dalam posisi yang selesa bagi anda berdua dan dia harus melekap dengan betul pada puting anda.

Berikut adalah tiga posisi asas untuk menyusukan bayi untuk membantu mencapai posisi yang betul:

Berikut adalah cara melakukan pelekapan yang betul:

  1. Dukung bayi rapat dengan hidungnya sama paras dengan puting anda.
  2. Dongakkan sedikit kepalanya ke belakang dengan bibir atasnya menyentuh puting anda. Ini akan menggalakkan dia membuka mulutnya dengan luas.
  3. Posisikan mulutnya agar dagu menyentuh payudara dahulu, pastikan kepala mendongak ke belakang – ini membolehkan lidahnya mendapat seberapa banyak payudara yang boleh dan puting anda harus menghala ke lelangit.
  4. Apabila menghisap, dagunya hendaklah menyentuh payudara anda dengan kukuh dan hidungnya harus bebas daripada sebarang halangan. Pipinya akan kelihatan penuh dan bulat semasa dia menyusu.

Penting!

Jangan berputus asa untuk menyusukan kerana anda masih boleh meneruskannya walaupun mengalami puting merekah atau melecet. Ingatlah bahawa penjagaan dan kebersihan diri yang mudah akan banyak membantu. Walau bagaimanapun, jika puting merekah tidak sembuh setelah anda berusaha melegakannya, pergi berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Bagaimana Memastikan Pelekapan yang Betul

Anda akan tahu bila bayi anda melekap dengan betul melalui tanda-tanda berikut:

  • Mulutnya terbuka luas dengan dagunya mencecah payudara yang dia sedang menyusu.
  • Pipinya harus bulat dan penuh.
  • Tiada bunyi mengecap-ngecap atau menghirup.
  • Anda harus merasa kesan sedutan yang kuat yang pada mulanya tidak selesa, tetapi rasa sakit tersebut akan beransur hilang.

Jika anda mengalami tanda-tanda berikut pula, ia bererti bayi anda tidak melekap dengan baik:

  • Penyusuan yang menyakitkan.
  • Ritma hisapannya kekal pendek atau sentiasa bergetar-getar (walaupun ini mungkin berlaku pada fasa permulaaan pelekapan, tetapi harus beransur-ansur berubah menjadi perlahan dan sedutan lebih panjang apabila dia meneruskan penyusuan).
  • Pipinya tertarik ke dalam dan berlekuk.
  • Dia gelisah dan kerap tertanggal daripada payudara.

Dalam keadaan ini, anda boleh cuba perkara-perkara berikut:

  • Cuba posisi penyusuan berbeza dan mungkin bayi boleh melekap dengan lebih baik.
  • Jika puting anda perlu lebih masa untuk sembuh, anda boleh cuba memerah susu berbanding menyusukannya secara langsung.
  • Pakai pelindung puting untuk mencegah puting anda daripada bergesel pada bra/coli anda di antara setiap penyusuan (pastikan anda mendapat nasihat doktor tentang cara penggunaannya yang betul).

Apa anda boleh lakukan untuk melegakan puting merekah:

  • Sebelum setiap sesi menyusu, urut perlahan-lahan payudara anda untuk mengeluarkan susu. Sapukan beberapa titik susu ibu pada puting yang merekah untuk membantu menyembuhkannya.
  • Mulakan penyusuan pada payudara yang kurang rekah sebelum menukar ke payudara yang lebih rekah selepas “let-down reflex” yang dikenali sebagai semburan susu.
  • Guna sedikit krim lanolin untuk melegakan kesakitan dan membantu menyembuhkan puting dengan lebih cepat. Anda tidak perlu mengesat atau mencucinya sebelum menyusukan bayi.
  • Jangan guna sabun atau alkohol untuk membersihkan payudara kerana ia boleh menyebabkan puting menjadi kering.
  • Jika kesakitannya teruk, ambil ubat tahan sakit seperti parasetamol atau ibuprofen 30 minit sebelum penyusuan.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen