Pengasuhan Positif

Mengatasi Cabaran Penyusuan Susu Ibu: Bahagian 1

Menyediakan pemakanan yang mencukupi bagi bayi anda adalah amat kritikal, dan perkara paling baik yang anda boleh lakukan adalah memastikan bayi anda diberi susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama dan disarankan penyusuan susu ibu diteruskan sehingga usia dua tahun.

Jangan terkejut atau bimbang sekiranya anda mengalami masalah menyusukan bayi. Ia merupakan suatu kemahiran yang mengambil masa serta latihan sebelum anda mahir dan bukan setiap ibu akan mahir secara automatik. Perkara yang anda perlu pelajari termasuk cara memegang bayi, posisi penyusuan yang berbeza, dan cara untuk melekapkan bayi dan menghentikan penyusuan, dan banyak lagi.

Dalam artikel ini, kami membincangkan beberapa isu atau masalah yang dihadapi oleh ibu yang menyusukan bayi, seperti tidak cukup bekalan susu dan menyusu di tempat awam. Terbitan Panduan Pengasuhan Positif seterusnya adalah mengenai campur tangan ahli keluarga dan masalah memerah susu.

Puan A: Bimbang tentang bekalan susu ibu

“Saya masih ingat betapa risau dan bimbangnya saya beberapa bulan pertama menyusukan bayi kerana saya sentiasa berasa bayi saya tidak mendapat susu ibu secukupnya. Bagaimanapun, saya sentiasa diberi galakan untuk meneruskan apa yang saya sedang lakukan oleh jiran saya yang juga seorang jururawat. Kunjungan seterusnya ke klinik doktor bayi menunjukkan bayi membesar dengan sihat dan penghasilan susu saya mencukupi untuk memenuhi keperluannya. Sokongan jiran saya dan galakan daripada doktor membantu mengurangkan kebimbangan saya. Kini, saya hanya menumpu perhatian kepada menyusukan bayi sehingga dia berhenti menyusu sendiri, daripada membuang masa berasa risau jika dia kenyang atau tidak.”

“Perkara yang paling baik apabila saya menyusukan bayi ialah bagaimana hubungan kami semakin rapat sepanjang masa penyusuan. Sukar untuk menjelaskan perasaan dan emosi apabila menyusukan bayi, tetapi jika anda seorang ibu, saya nasihatkan anda jangan lepaskan peluang keemasan ini! Jika ada sebarang keraguan tentang kebolehan anda untuk menyusukan bayi, dapatkan nasihat doktor bayi anda. Dia akan memeriksanya untuk memastikan bayi anda membesar dengan sempurna dan ini penting untuk membantu meyakinkan anda bahawa kebimbangan anda tidak berasas.”

“Penyusuan bayi juga merupakan masa yang menyedihkan bagi saya. Bukan sahaja saya sentiasa bimbang bayi saya tidak mendapat cukup susu ibu, tetapi paling teruk lagi ialah perasaan seperti saya gagal sebagai seorang ibu. Selain itu, saya rasa saya mengalami kemurungan selepas bersalin dan adakalanya menangis tanpa sebab. Perasaan serba kurang menurunkan keyakinan diri dan merenggangkan hubungan saya dengan suami. Mujurlah dia seorang yang cukup sabar melayan saya. Kemudian saya mendapat tahu dia telah berbincang dengan jiran saya. Jiran saya telah bersetuju untuk melawat saya untuk menceria dan memberi galakan.”

Prof Dr Poh:

Ini merupakan kebimbangan yang agak lazim dalam kalangan ibu yang menyusukan bayi. Mereka berfikir mereka tidak menghasilkan cukup susu kerana bayi mereka kelihatan seolah-olah melekap “sepanjang masa”. Bagaimanapun, bayi baru lahir biasanya menyusu 8-12 kali sehari dalam bulan pertamanya. Satu perkara lagi yang perlu diambil perhatian ialah perut bayi lahir adalah kecil – anggaran saiz sebiji kacang badam. Tidak banyak susu ibu diperlukan untuk mengenyangkan dia dan kerana susu ibu mudah dihadam, dalam sekelip mata sahaja dia akan hendak menyusu lagi.

Ini bermakna yang bayi akan berada di payudara hampir sepanjang masa, dan agak memenatkan bagi seorang ibu yang baru bersalin. Oleh kerana bayi sedang membesar dan penghasilan susu ibu selari dengan keperluan bayi, masa bayi berada di payudara akan berkurangan secara perlahan-lahan. Penyusuan susu ibu mengikut kehendak bayi adalah disarankan kerana ia membantu dalam penghasilan susu ibu yang disesuaikan dengan keperluan bayi, dan dengan itu akan memastikan bayi mendapat cukup susu. Jangan khuatir untuk mendapatkan nasihat doktor anda jika terdapat sebarang kemusykilan.

Puan B: Ya, anda boleh menyusukan bayi di khalayak ramai

“Semasa saya mendapat anak sulung saya, pada mulanya saya teragak-agak untuk menyusukannya di tempat awam. Namun, suami saya sangat menyokong dan sentiasa memberi galakan. Ini telah banyak membantu meningkatkan semangat untuk meneruskan penyusuan. Keluar berjalan-jalan bersama keluarga juga tidak menghalang saya daripada menyusukan bayi, kerana pusat membeli-belah yang kami sering kunjungi mempunyai bilik khas untuk penyusuan. Saya pasti akan membawa kain pelindung menyusu ataupun gendong bayi kerana ia juga boleh digunakan sebagai penutup bila-bila masa saya perlu menyusukan bayi walaupun tiada bilik khas yang disediakan. Dengan menggunakan gendong, anda boleh menyusukan bayi tanpa disedari orang lain walaupun di tempat awam seperti pusat membeli-belah yang sibuk, kerana semuanya masih bertutup.”

“Saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama bayi dan suami dan tidak perlu terperuk di rumah sepanjang hari. Tidak kira sama ada hanya perjalanan dekat atau sepanjang hari di luar kerana saya boleh menyusukan bayi bila-bila masa sahaja.”

“Sedihnya, budaya di Malaysia tidak terbuka seperti di negara Barat, dan ada masanya saya ditenung. Sekiranya suami bersama anda, ia boleh membantu kerana kehadirannya mengelakkan orang daripada memandang saya.”

Prof Dr Poh:

Walaupun kini menyusukan bayi di khalayak ramai sudah menjadi satu kelaziman, masih terdapat orang yang berasa tersinggung apabila ternampak seorang ibu menyusukan bayi. Ini mungkin disebabkan budaya orang Asia yang konservatif. Maka, kami sarankan supaya apabila menyusukan bayi di khalayak ramai biarlah secara kurang menonjol. Cari tempat di mana anda boleh duduk dengan selesa. Untuk tidak menarik perhatian, anda boleh menggunakan selendang, tudung labuh atau kain penutup untuk membolehkan anda menyusukan bayi dan pada masa yang sama memastikan privasi anda dilindungi daripada orang lain. Pastikan kain tersebut diperbuat daripada bahan yang boleh ‘bernafas’ kerana anda tidak mahu anak anda lemas.

Pelajari teknik yang betul

Untuk mengelakkan masalah, adalah penting untuk mempelajari teknik penyusuan bayi yang betul terlebih dahulu kerana ia sangat membantu di kemudian hari. Ini akan mengelakkan masalah seperti pelekapan yang salah dan boleh menyebabkan komplikasi seperti sakit puting, puting merekah atau melecet, bayi tidak dapat menghisap dengan baik (maka tidak mendapat cukup susu), atau kurang selesa semasa menyusukan bayi. Juga jangan lupa, alah bisa tegal biasa! Jika anda tidak pasti, dapatkan nasihat pakar penyusuan, jururawat yang terlatih ataupun ibu yang pernah menyusukan bayinya.

Seperti yang anda dapat lihat, terdapat banyak cabaran dalam penyusuan susu ibu tetapi ia tidak seharusnya membuat anda berputus asa. Anda tidak bersendirian dalam perjalanan penyusuan bayi kerana ramai ibu di luar sana yang menghadapi cabaran yang sama seperti anda. Bersabar dan binalah hubungan rapat dengan anak anda yang berkekalan sepanjang hayat.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen