Pengasuhan Positif

Kemurungan Remaja

Sebagai seorang remaja atau dalam peralihan ke alam dewasa, ini merupakan satu tempoh yang meresahkan dengan banyak perubahan fizikal, psikologi dan sosial yang mengiringi peringkat kehidupan ini. Apabila kemerosotan mood mengganggu keupayaan untuk berfungsi hari demi hari, ia menandakan satu kecelaruan emosi serius yang memerlukan perhatian iaitu kemurungan.

Kemunculan Tren yang Membimbangkan

Kemurungan ialah lebih daripada setakat berasa susah hati atau sedih – ia merupakan keadaan serius yang menjadikan pengendalian kehidupan menjadi teramat sukar. Bagi remaja, masalah sering dirasakan sebagai terlalu membebankan dan kesakitan yang berkaitan diperbesarkan dan tidak dapat tertahan sehingga menjurus kepada pemikiran negatif yang boleh merosakkan diri.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan peningkatan drastik dalam prevalen morbiditi psikiatri, termasuk keresahan dan kemurungan. Dalam kalangan penduduk dewasa berumur 16 tahun dan ke atas, prevalennya ialah 29.2%. Manakala dalam kalangan kumpulan 5-15 tahun, morbiditi psikiatri ialah 12.1%. Jelas sekali masalah ini perlu diberi perhatian serius, memandangkan terdapat peningkatan kes kemurungan remaja dan bunuh diri yang dilaporkan baru-baru ini.

Punca & Simptom Kemurungan

Faktor yang mencetuskan kemurungan dalam remaja lazimnya adalah yang berkaitan dengan isu-isu harga diri, buli, prestasi akademik yang rendah, orientasi seksual dan juga pernah menjadi mangsa penganiayaan fizikal atau seksual. Sekiranya simptom kemurungan berterusan, ia juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan mungkin juga menjurus pada mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.

Tidak seperti orang dewasa yang menunjukkan simptom kemurungan klasik, meleraikan simptom kemurungan dalam remaja adalah sukar. Sesetengah mereka mungkin mempunyai kecenderungan genetik ke arah kemurungan atau personaliti yang rapuh. Mungkin sukar untuk membezakan antara suka dan duka yang menjadi sebahagian daripada kebiasaan seorang remaja, dengan kemurungan remaja.

Sering kali terdapat perubahan ketara dalam pemikiran dan tingkah laku mereka. Mereka akan menyepikan diri, selalunya bersendirian berjam-jam di dalam bilik tidur. Mereka juga mungkin hilang minat dalam aktiviti yang menyeronokkan, diiringi dengan kehilangan selera makan dan kemerosotan kebersihan diri.

Selain daripada mood rendah yang berpanjangan (berlarutan sehingga dua minggu atau lebih), mungkin juga terdapat rungutan sakit dan sengal (contohnya, sakit belakang dan sakit kepala) atau lesu kesan daripada punca psikologi. Ia juga dikenali sebagai rungutan psikosomatik. Dalam sesetengah kes, terdapat tanda-tanda perilaku melawan, cepat marah atau jenayah.

Salah guna alkohol atau dadah untuk membantu mereka tidur atau bertenang juga bukan sesuatu yang luar biasa. Membunuh diri sering kali menjadi tindakan terdesak terakhir untuk melepaskan diri daripada keperitan kemurungan. Tanda-tanda remaja mengalami kemurungan termasuk: menyuarakan secara terbuka perasaan putus harapan akan masa depan, memberi barang-barang kegemarannya kepada orang lain atau menulis nota selamat tinggal, selalunya melalui media sosial (contohnya, Facebook, Twitter).

Mencegah Kemurungan dari Awal

Kemurungan remaja boleh dicegah dengan menggalakkan kesihatan fizikal yang baik melalui amalan diet sihat, mendapat senaman yang mencukupi dan mempunyai interaksi sosial yang wajar. Para remaja mesti digalakkan untuk meluahkan perasaan mereka kepada guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat. Jika bantuan diperlukan, akses kepada kaunselor, pakar psikologi dan pakar psikiatri juga mesti digalakkan walaupun terdapat stigma yang dikaitkan dengannya. Ibu bapa juga harus lebih berhati-hati untuk mencegah anak remaja mereka daripada salah guna alkohol dan dadah.

Teknik pengasuhan dan komunikasi yang berkesan boleh membantu mengurangkan stres bagi remaja. Ibu bapa harus menggantikan hukuman yang memalukan anak dengan pengukuhan positif (positive reinforcement) kerana hukuman yang memalukan boleh membuat remaja rasa tidak berharga dan serba kekurangan. Setiap anak adalah unik maka ibu bapa tidak sepatutnya membandingkan anak mereka dengan anak orang lain. Perlunya satu usaha bersepadu untuk memastikan sekolah dan kolej mempunyai kaunselor atau guru terlatih dalam kaunseling yang mencukupi, yang boleh mengesan kes-kes dan merujuk kes kepada profesional seperti pakar psikologi klinikal atau pakar psikiatri, jika perlu.

Jangan abaikan kemurungan dalam remaja kerana ia boleh menjadi teruk dengan pantas dan membawa kesan buruk. Beranikan diri untuk mendapatkan sokongan daripada profesional kesihatan mental. Kemurungan merupakan isu kesihatan mental dan janganlah dianggap sebagai kemalasan atau masalah personaliti. Anda boleh berasa lega kerana hakikatnya anda bukan keseorangan. Terdapat banyak kumpulan sokongan di luar sana untuk membantu anda dan anak remaja anda mengharung perjalanan ini. Sebagai contoh, anda boleh menghubungi Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, The Befrienders dan Talian Nur. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web organisasi tersebut.

Dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen